INFO SIARAN MEDIA

SIARAN MEDIA

 

WORLD BAMBOO DAY MALAYSIA (WBD) 2023

PERKASA PEMBANGUNAN INDUSTRI BULUH MALAYSIA KE

PERINGKAT GLOBAL

 

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof hari ini telah menyempurnakan perasmian sambutan World Bamboo Day Malaysia 2023 ke-12 anjuran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Insititut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Auditorium FRIM, Kepong.

Objektif sambutan WBD ini adalah untuk meningkatkan kesedaran penggunaan buluh di peringkat global, melindungi sumber semulajadi dan alam sekitar, memastikan penggunaan buluh secara mampan dan menggalakkan perladangan buluh sebagai industri baharu. 

Pada tahun 2022, industri perkayuan di Malaysia telah menyumbang sebanyak RM25.21 bilion kepada pendapatan eksport negara dengan peningkatan sebanyak 10.6% berbanding nilai eksport yang dicatat pada tahun 2021. Daripada jumlah tersebut, nilai eksport produk buluh pada tahun 2022 berjumlah RM14.46 juta, meningkat 66.1% berbanding tahun 2021 yang berjumlah RM8.7 juta. Manakala nilai import produk buluh dicatatkan berjumlah RM129.18 juta. 

Pada masa ini, terdapat sebanyak 577 pengusaha buluh yang terlibat secara langsung merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan tekstil, perladangan, makanan dan arang serta kraftangan. Malaysia mempunyai lebih kurang 70 spesies buluh, di mana 45 daripada spesies tersebut merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semulajadi di kawasan hutan. Dari segi taburan, sebanyak 31% rumpun buluh terdapat di Semenanjung Malaysia, 45% di Sarawak dan 24% di Sabah. 

Bagi memastikan industri buluh di Malaysia terus berkembang maju, Kementerian

Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi MTIB telah membangunkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030. Pelan ini memfokuskan kepada 5 Teras Strategik merangkumi:

i. Pengukuhan Dasar dan Perluasan Sumber;  ii. Peningkatan Modal Insan, Kepakaran dan Kapasiti;  iii. Pengukuhan Inovasi, Teknologi dan R&D&C; iv. Pemerkasaan Rantaian dan Jaminan Kualiti; dan

v. Pengukuhan Strategi Pemasaran dan Perkongsian Pintar.

Kementerian menerusi MTIB juga melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan potensi industri buluh negara. Antaranya:

  1. Penubuhan 15 hektar Ladang Buluh contoh yang dibangunkan secara bersama antara MTIB dan Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) di Hulu Terengganu;
  1. Program Community Farming Buluh yang menyediakan insentif anak benih buluh dan baja bagi penanaman buluh 1 sehingga 9.9 ekar;
  • Penubuhan Bamboo One Stop Centre di Tadom Hill Resort Banting projek kolaborasi antara MTIB, Malaysian Timber Council (MTC) dan Tadom Hill Resort Sdn Bhd sebagai pusat rujukan buluh untuk orang awam;
  1. Kerjasama MTIB dengan Pusat Kraftangan Sabah (PKS) yang telah menubuhkan model Ladang Buluh dengan keluasan 120 ekar melibatkan 60 peserta daripada usahawan PKS;
  1. Pelaksanaan Projek Pembangunan Produk Non-Woven daripada gentian Buluh bagi aplikasi bahan perabot dan binaan oleh Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC) MTIB; dan
  1. Penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan buluh di FRIM yang merangkumi pelbagai bidang penyelidikan termasuk huluan dan hiliran.

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof juga telah melancarkan buku berkaitan Industri Arang Buluh di Malaysia yang diterbitkan secara bersama oleh MTIB dan FRIM semasa program pada hari ini. Penerbitan buku ilmiah tersebut  bakal memberi manfaat kepada pemain industri buluh di Malaysia.

Kementerian komited untuk terus memperkasa pelbagai program dan inisiatif berkaitan pembangunan industri buluh agar menjamin lelangsungan buluh sebagai produk agrikomoditi yang boleh menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada rakyat khususnya dan negara amnya.

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

21 SEPTEMBER 2023

SIARAN MEDIA

 

PERASMIAN HARI TEKNOLOGI LGM 2023

 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, pada hari ini telah merasmikan Hari Teknologi Lembaga

Getah Malaysia (LGM) 2023, bertempat di Akademi Hevea Malaysia, Sg. Buloh Selangor. 

Hari Teknologi LGM 2023 dianjurkan khusus untuk mengetengah dan mempromosi teknologi dan inovasi yang dihasilkan oleh LGM. Program ini dihadiri oleh semua pemegang taruh industri getah seperti pekebun kecil, pelesen dan wakil pemain industri getah. Pada majlis ini, YAB Menteri telah melancarkan Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) Digital dan RRIMHydrobestTM

Selaras dengan aspirasi Kerajaan mendigitalkan perkhidmatan awam, LGM telah membangunkan aplikasi PAT-G digital (e-Kad) bagi menggantikan PAT-G fizikal yang memanfaatkan lebih 262,000 pekebun kecil getah. 

RRIMHydrobestTM merupakan teknologi cecair bagi menggalakkan pengeluaran lateks. RRIMHydrobestTM telah diuji ke atas klon-klon yang telah disyorkan oleh LGM dan mempunyai kelebihan meningkatkan produktiviti pokok antara 30% sehingga 50% dan memberikan ketebalan kulit pulihan yang lebih baik.

Pada majlis berkenaan juga, YAB Menteri turut menyaksikan sesi pertukaran dua perjanjian iaitu Memorandum of Agreement (MoA) antara LGM dengan Jupiter Solution, Natrab MFBI Enterprise dan Majlis Getah Malaysia (MRC) untuk mengkomersialkan inovasi berasaskan getah asli, dan Perjanjian Kerjasama Pengkomersialan antara LGM dengan Majlis Getah Malaysia bagi mempromosi dan mengkomersialkan inovasi LGM di dalam dan luar negara. 

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan LGM sentiasa komited dalam memastikan industri getah dipelihara, mampan dan lestari melalui penelitian terhadap inisiatif dan projek yang berpotensi untuk memberikan impak yang tinggi kepada semua golongan sasar dalam industri getah.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 19 SEPTEMBER 2023

KENYATAAN MEDIA MENGENAI KEMBARA KENALI BORNEO

 

Menjunjung Kasih KDYMM SPB Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong yang telah berkenan mencemar duli untuk bersama rakyat Sabah dan Sarawak dalam Kembara Kenali Borneo mulai 3 hingga 13 September 2023.

Terima kasih Kerajaan Negeri Sarawak, Kerajaan Negeri Sabah dan seluruh rakyat di keduadua negeri di Borneo ini yang telah “all out”, begitu bersungguh-sungguh dan penuh bersemangat dalam  menjayakan Kembara Kenali Borneo (KKB). 

Rakyat pelbagai kaum di Sabah dan Sarawak, bukan sahaja sanggup menunggu dari pagi sehingga ke tengah malam, sanggup berpanas dan berhujan, di tepi jalan di sepanjang laluan konvoi Yang di-Pertuan Agong, malah mereka turut mengadakan pelbagai persembahan kebudayaan dan mengenakan pakaian tradisional kaum masing-masing secara sukarela. Di kawasan gelap tanpa cahaya lampu jalan pun mereka sanggup memasang lampu telefon bimbit demi mengalu-alukan konvoi KKB.

Keadaan sebegini juga menyebabkan Raja Permaisuri Agong beberapa kali menitiskan airmata terharu dan Yang di-Pertuan Agong dalam setiap titah pada majlis santapan malam sepanjang kembara, menzahirkan rasa terharu dan terima kasih Baginda akan sambutan luar biasa rakyat di Sabah dan Sarawak. 

Banyak iktibar yang dapat kita perolehi dari KKB ini. Bukan sahaja satu Malaysia malah satu dunia telah menyaksikan betapa Ketua Tertinggi Negara buat pertama kali dalam sejarah mengadakan kembara selama 11 hari (3 September - 13 September  2023) dengan memandu sendiri sejauh lebih 2,300 kilometer bagi menyantuni rakyat di Borneo khususnya Sabah dan Sarawak dan ianya mendapat sambutan sangat luar biasa dari rakyat jelata. 

Kembara ini pastinya akan meninggalkan kesan yang begitu membekas di hati rakyat, melihatkan bagaimana KDYMM SPB YDP Agong dan Raja Permaisuri Agong mendekati serta menyantuni rakyat jelata dengan penuh sederhana, tanpa sebarang protokol, berjiwa besar dan berjiwa rakyat, sekali gus turut menyelami kesusahan dan keperluan rakyat terutama di luar bandar. 

KDYMM Tuanku telah mengilhamkan Kerajaan Perpaduan sehingga menjadi kenyataan dibawah Perdana Menteri Kesepuluh dan semangat perpaduan yang utuh telah dibuktikan oleh rakyat di kedua-dua negeri ini menerusi sambutan keberangkatan tiba Baginda ke semua lokasi. 

KKB ini juga sewajarnya menjadi anjakan serta batu loncatan untuk agenda pembangunan di kedua-dua negeri ke arah penambahbaikan yang lebih baik berbanding sebelumnya. Dari segi ekonomi, infrastruktur misalnya jalan raya dan pengangkutan darat mahupun laut, pendidikan, dan akses kepada kehidupan yang lebih baik untuk masa depan yang akan datang. 

Bersama-sama kita melaksanakan penilaian dan tindakan untuk memperbaiki mutu kehidupan rakyat di Sabah dan Sarawak, agar kemajuan juga dapat dicapai oleh negerinegeri Borneo ini, memperkasa ekonomi sehingga setanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia. 

Jutaan terima kasih kepada pihak Istana Negara, Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak, rakyat jelata yang menyatakan sokongan dan berkongsi kegembiraan bersama sepanjang kembara ini berlangsung, serta kepada semua pihak yang telah membantu menjayakan kembara ini. 

Alhamdulillah berkat sokongan padu semua, KKB yang bermula di KM 0 Tawau, Sabah, dan berakhir semalam (13 Sept) di KM 0 Telok Melano, Sarawak, telah berjalan lancar dan jayanya. 

Kembara ini juga menonjolkan betapa seharusnya rakyat jelata dan Raja berpisah tiada.

Semoga KDYMM SPB YDP Agong dan KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong serta seluruh kerabat Baginda akan sentiasa dilimpahi keberkatan, dilanjutkan usia dan dikurniakan rahmat oleh Allah SWT. 

Daulat Tuanku, Menjunjung Kasih Tuanku atas kesudian mencemar duli bersama rakyat jelata.

DATO SRI FADILLAH BIN HAJI YUSOF TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI MENTERI PENYELARAS KEMBARA KENALI BORNEO YANG DI-PERTUAN AGONG 14 SEPTEMBER 2023

 

SIARAN MEDIA

 

PEKEBUN KECIL DISERU REBUT PELUANG PENUHI PERMINTAAN TINGGI SEKTOR LADA

 

  1. Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof hari ini telah bersama kira – kira 200 orang pekebun kecil dan pemain industri lada menyempurnakan Program Pemerkasaan Penggiat Industri Lada anjuran Lembaga Lada Malaysia (MPB).
  1. Program turun padang ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mendekati golongan sasar di peringkat akar umbi yang selama ini menjadi nadi kepada keberhasilan sektor lada negara melalui aktiviti di peringkat huluan dan hiliran.
  1. Pelaksaan program ini juga adalah sejajar dengan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat yang memfokuskan kepada usaha-usaha menstruktur semula ekonomi ke arah meletakkan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia serta meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.
  1. Kerajaan sentiasa cakna dengan nasib pekebun kecil lada yang terkesan akibat situasi ekonomi yang melanda dunia pada masa ini.Keprihatinan Kerajaan Madani ini diterjemahkan melalui penyemakan semula nilai bantuan dengan meningkatkan nilai bantuan bagi Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) kepada RM46,000 per hektar berbanding dengan RM26,000 per hektar sebelum ini manakala kadar bagi Skim Tanaman Lada Matang (STLM) pula ditingkatkan daripada RM13,000 per hektar kepada RM25,000 per hektar.
  1. Bagi menggalakkan pekebun terus meningkatkan keluasan tanaman di samping menggalakkan tanaman lada secara besar-besaran, had pemberian bantuan turut dinaikkan sehingga 1 hektar untuk STLB dan 2 hektar untuk STLM di bawah inisiatif yang sama.
  1. Secara keseluruhannya, bantuan sejumlah RM1.14 juta telah diluluskan di bawah STLB dan STLM dengan jumlah keluasan sebanyak 47 hektar serta melibatkan seramai 241 orang pekebun lada di Semenanjung Malaysia.
  1. Meskipun berdepan pelbagai cabaran, industri lada merupakan salah satu komponen di bawah sektor agrikomoditi yang telah menyumbang kepada pendapatan eksport negara sekali gus memberi manfaat kepada rakyat terutamanya penduduk di luar bandar.
  1. Dalam majlis yang sama, sejumlah 11 baucar bernilai RM55,400 bagi Skim Tanaman Lada Baharu (STLB), Skim Tanaman Lada Matang (STLM) dan Skim Pembiayaan Pembangunan Keusahawanan telah disampaikan kepada 11 orang penerima bantuan. 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 22 OGOS 2023

 

SIARAN MEDIA

PROGRAM TANAMAN KOKO SELIAAN LKM LIBATKAN 16.84 HEKTAR KELUASAN TANAMAN

 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah hadir ke sesi santai mesra bersama pengusaha tanaman koko di Tanjung Sepat, Selangor yang merupakan salah satu pengisian Program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung 2023 anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Program santai bersama pengusaha tanaman koko ini diadakan di kebun Lee’s Cocoa,Tanjung Sepat, Selangor, yang dimiliki oleh seorang pengusaha koko tempatan iaitu Encik Lee Soon Cheong.

Sesi dialog bersama petani, usahawan dan komuniti koko dari sekitar negeri Selangor untuk mendengar isu dan permasalahan sektor penanaman koko serta mendapatkan cadangan penambahbaikan yang boleh dilaksanakan untuk mempertingkat pengeluaran biji koko dan pendapatan petani. 

YAB Menteri turut melawat tapak pengeringan biji koko atau ’Sauna Cacao’ serta melancarkan produk premium Lee’s Cocoa Tree to Bar. Kebun Lee’s Cocoa juga menyediakan aktiviti agro-pelancongan kepada pengunjung dalam dan luar negara kerana mempromosikan proses penghasilan produk koko yang bermula dari rantaian buah koko sehingga kepada penghasilan coklat.

Selaras dengan halatuju LKM untuk menjadikan Malaysia sebagai negara pengeluar biji koko premium, Kebun Lee’s Cocoa ini merupakan antara pengusaha tanaman koko yang produktif dalam melaksanakan penanaman koko, memproses dan mengeringkan biji koko serta membuat produk coklat denagn berkonsepkan ‘tree to bar’ yang menghasilkan biji koko ‘single origin’ (asal tunggal) serta coklat premium.

Setakat ini, program tanaman koko seliaan Lembaga Koko Malaysia (LKM) di Selangor merekodkan keluasan tanah berjumlah 16.84 hektar dengan melibatkan penyertaan 35 orang pekebun koko.    

Produk biji koko premium berpotensi dijual dengan harga yang lebih tinggi berbanding biji koko biasa yang mana ini dapat membantu meningkatkan pendapatan petani koko. 

Kementerian menerusi LKM akan meneruskan usaha untuk meningkatkan hasil dan produktiviti tanaman koko serta mempelbagai insentif kepada para pekebun kecil koko seluruh negara bagi menggalakkan produktiviti penanaman koko.

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

6 OGOS 2023