SIARAN MEDIA

PTBN2030 DIJANGKA PERTINGKAT PELABURAN INDUSTRI BIOJISIM

KEPADA RM3 BILION DAN BUKA 3,000 PELUANG PEKERJAAN

 

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dengan kerjasama Konfederasi Industri Biojisim Malaysia (MBIC) telah menganjurkan Persidangan Biojisim Kebangsaan 2023 kali ke-6 serta melancarkan Pelan Tindakan Biojisim Negara 2023-2030 (PTBN2030) di Hotel Everly, Putrajaya hari ini.

Penganjuran Persidangan Biojisim Kebangsaan ini adalah bertepatan dengan sambutan Hari Agrikomoditi Negara (HAKN) baru sahaja dilancarkan pada 5 Disember 2023 yang telah memberikan pengiktirafan kepada semua pihak yang terlibat dalam aktiviti membangunkan sektor Agrikomoditi sama ada di peringkat huluan atau hiliran.

Persidangan ini telah berjaya menghimpunkan pemain-pemain industri biojisim daripada lima (5) sektor iaitu perladangan, pertanian, penternakan, perhutanan dan perikanan seramai lebih daripada 200 peserta, 20 penceramah dan 30 reruai hasil penyertaan daripada pemain-pemain industri biojisim negara.

Tumpuan diberikan kepada kefahaman menyeluruh tentang potensi industri biojisim sebagai inisiatif yang menyokong prinsip kemampanan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).Persidangan ini juga menjadi platform dalam mengumpulkan pemainpemain industri sama ada dari kalangan peniaga, pengeluar produk, penyedia teknologi, pemilik ladang mahupun daripada pihak Kerajaan yang berkait rapat dengan industri biojisim untuk bertukar pandangan, berkongsi maklumat terkini serta membentangkan sebarang kemajuan, sasaran dan hala tuju berkaitan industri biojisim negara.

PTBN2030 dibangunkan berdasarkan dokumen Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) dan dasar-dasar berkaitan bagi memperkasa industri biojisim dalam negara. Pelan tindakan ini turut mendukung tiga daripada enam tonggak dasar MALAYSIA MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan dan Ihsan yang dilihat sinonim dengan konteks alam sekitar.

PTBN2030 ini akan melibatkan seluruh ekosistem yang dinamik, bermula daripada perancangan, kawalselia, penilaian semula sektor biojisim, dan juga pembekalan serta permintaan pasaran. Fokus Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) adalah terhadap sumber biojisim yang banyak terdapat di lima (5) sektor iaitu, perladangan, perhutanan, pertanian, penternakan dan perikanan. Potensi biojisim daripada sektorsektor ini dianggarkan berjumlah 182 juta tan metrik setahun yang mana hampir 90% diperolehi daripada industri biojisim perladangan.

Sepanjang tempoh RMKe-12, tumpuan berlandaskan konsep ekonomi kitaran akan diberikan kepada industri biojisim dalam menjana nilai tambah dan sokongan daripada  pelbagai institusi akan terus dipertingkatkan. Pelaksanaan inisiatif di bawah PTBN2030 dijangka akan meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung dalam negara (DDI) dalam industri biojisim kepada RM3 bilion dan mencipta sekitar 3,000 peluang pekerjaan.

Selain itu juga, PTBN2030 juga selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dalam menyasarkan pelaksanaan projek co-firing di stesen janakuasa elektrik melalui pembakaran bahan api campuran antara arang batu dengan pelet biojisim. Ini juga bertepatan dengan sasaran tenaga lestari ke arah 70% power generation energy mix menjelang 2050 yang akan menjadi game changer dalam sektor tenaga negara. 

Penubuhan Hab Biojisim disasarkan bagi melaksanakan proses pengumpulan bahan mentah biojisim secara berpusat dan teratur. Hab Biojisim ini akan dapat memainkan peranan yang berkesan dalam menggerakkan rantaian bekalan biojisim negara secara sistematik dan efisien.

Kementerian yakin PTBN2030 ini mampu menarik pelbagai pihak berkepentingan khususnya pekebun kecil, perusahaan kecil dan sederhana, pembiaya, penyedia perkhidmatan teknologi dan perkhidmatan logistik, dan pelbagai perkhidmatan sampingan untuk terlibat dalam sektor ini. Justeru, pihak Kementerian akan meneruskan pelbagai usaha dalam meningkatkan pembangunan industri Agrikomoditi Negara yang merangkumi sektor biojisim ke arah pembangunan mampan demi kemakmuran ekonomi negara.

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 

7 DISEMBER 2023