INFO SIARAN MEDIA

SIARAN MEDIA

PERLADANGAN KOMUNITI HASILKAN SUMBER BEKALAN KAYU

ALTERNATIF SELAIN DARI PENGELUARAN HUTAN ASLI 

 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof hari ini telah mengadakan lawatan ke plot tanaman pokok Batai dan Eucalyptus yang diusahakan oleh penduduk kampung di bawah Program Perladangan Komuniti (Community Farming) di Batu Kikir, Negeri Sembilan sempena hari pertama program Trek Komoditi Zon Tengah Semenanjung anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK). 

Perladangan Komuniti ini merupakan salah satu inisiatif menghasilkan sumber bekalan kayu alternatif selain dari pengeluaran hutan asli menerusi kerjasama antara Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Majlis Kayu-Kayan Malaysia bersama Persatuan Pekilang Panel Malaysia (MPMA) dan telah mula dilaksanakan sejak Mei 2022.

YAB Dato' Sri Haji Fadillah Haji Yusof turut melawat tapak semaian berkeluasan 2 ekar di lokasi nurseri kilang Plus Intervest Sdn. Bhd. yang membekalkan anak benih pokok Eucalyptus dan Batai bagi program Perladangan Komuniti. Beliau juga bersemuka dengan komuniti masyarakat Batu Kikir menerusi sesi sembang santai untuk mendapatkan pandangan serta cadangan mengenai isu-isu semasa dan cabaran berkaitan industri perkayuan.

Bagi projek rintis Perladangan Komuniti di Batu Kikir, Negeri Sembilan, sasaran peserta yang telah dikenal pasti untuk menyertai projek ini adalah seramai 50 orang dengan jumlah keseluruhan keluasan berjumlah 250 ekar. Sehingga Julai 2023, seramai 36 peserta yang terdiri dari penduduk sekitar Daerah Jempol & Kuala Pilah menyertai program ini melibatkan kawasan berjumlah 118.29 ekar.

Menerusi Program Perladangan Komuniti ini juga sebanyak 22,712 anak pokok telah ditanam oleh pemain industri kayu di Johor, Negeri Sembilan, Perak, Kedah, dan Terengganu.

Kementerian melalui agensi di bawahnya iaitu MTIB dan MTC sentiasa komited dalam melaksanakan inisiatif program Perladangan Komuniti yang melibatkan masyarakat bagi mewujudkan aktiviti nilai tambah di dalam rantaian bekalan bahan mentah untuk industri perkayuan negara selain meningkatkan pengetahuan dan menaik taraf tahap ekonomi masyarakat tempatan.

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

6 OGOS 2023

 

SIARAN MEDIA 

200 ORANG ASLI DI PULAU CAREY TERLIBAT DALAM SEKTOR SAWIT

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah menyantuni masyarakat Orang Asli semasa Program Sembang Santai bersama Pekebun Kecil Sawit Negeri Selangor bersempena Trek Komoditi (Zon Tengah Semenanjung) yang diadakan di Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey, Selangor hari ini.

Berdasarkan rekod semasa MPOB, anggaran Orang Asli di Pulau Carey yang terlibat dalam sektor sawit sebagai pekebun kecil adalah seramai 200 orang.

Semasa sesi sembang santai tersebut, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof menyeru agar semua pekebun kecil Orang Asli di negeri Selangor untuk menyertai KPSM kerana ia menawarkan pelbagai faedah bagi meningkatkan produktiviti dalam penanaman sawit. Sehingga Jun tahun ini, sebanyak 69 buah Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) telah ditubuhkan di seluruh negara dengan 24 daripadanya berada di Semenanjung. Daripada jumlah ini, dua KPSM telah ditubuhkan di Selangor iaitu Kuala Selangor Selatan Berhad dan Kuala Langat Berhad.

Sehingga Jun tahun ini, sebanyak 69 buah Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) telah ditubuhkan di seluruh negara dengan 24 daripadanya berada di Semenanjung. Daripada jumlah ini, dua KPSM telah ditubuhkan di Selangor iaitu Kuala Selangor Selatan Berhad dan Kuala Langat Berhad.

Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada pekebun kecil sawit persendirian. Bantuan-bantuan ini antaranya ialah Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS), Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), Skim Insentif Integrasi Tanaman (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan (ITe). 

Sebanyak 27 pekebun kecil sawit di Selangor terlibat dalam Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) merangkumi keluasan 36 hektar kawasan tanaman sawit.

Selain daripada itu, Kerajaan melaksanakan program bantuan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian melalui aktiviti penternakan di bawah Skim Insentif Integrasi Ternakan (ITe). Manakala Skim Insentif Integrasi Tanaman (ITa) merupakan program bantuan yang disediakan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian melalui aktiviti penanaman tanaman kontan. 

Sehingga 30 Jun 2023, sebanyak 25 projek Skim ITe bagi ternakan ayam dan itik telah dilaksanakan di negeri Selangor. Di bawah Skim ITa untuk tanaman pisang, nanas dan tembikai, sebanyak tujuh projek telah dilaksanakan. 

Kementerian melalui MPOB juga sedang mempergiat usaha untuk meningkatkan lagi penyertaan pekebun-pekebun kecil sawit bagi mematuhi prinsip-prinsip kemampanan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang merupakan langkah strategik Kerajaan untuk meningkatkan imej  industri sawit negara di peringkat global.

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof bersama rombongan Trek Komoditi Kementerian Perladangan dan Komoditi juga telah ke ladang sawit di East Estate, Sime Darby, Pulau Carey untuk meninjau demonstrasi peralatan automasi dan mekanisasi sawit.

Dalam usaha memperkasa sektor komoditi sawit negara, Kementerian sentiasa komited dan prihatin bagi menjamin kesejahteraan pekebun kecil sawit negara termasuk golongan Orang Asli. Antara inisiatif mempertingkat pengetahuan pekebun kecil dilaksanakan di lapangan menerusi MPOB adalah seperti Lawatan Khidmat Nasihat Sawit, Lawatan Amalan Pertanian Baik (GAP), Prgoram Kursus Sehari Sawit, Taklimat MSPO dan GAP serta pelbagai program latihan lain.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

6 OGOS 2023

SIARAN MEDIA

206 PMG DI NEGERI SEMBILAN GUNA PAKAI APLIKASI RRIMNIAGA

BAGI URUSAN JUAL BELI GETAH

 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof, Menteri Perladangan dan Komoditi telah turun padang dan menyantuni lebih 150 orang pekebun kecil getah dan komuniti serta belia dalam sesi sembang santai di Kampung Sawah, Rantau, Negeri Sembilan. Program ini merupakan sebahagian dari kerangka program Trek Komoditi anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) Zon Tengah Semenanjung yang diadakan bermula pada 5 Ogos 2023 hingga 6 Ogos 2023. 

Selain sesi sembang santai, YAB Menteri Perladangan dan Komoditi telah  melawat ke kebun getah milik penduduk tempatan di Rantau dan melihat sendiri proses pengumpulan cuplump dari pokok getah untuk dibawa ke Pusat Mengumpul Getah (PMG) iaitu Kwong Sang Guan Rubber Dealer. PMG tersebut merupakan lokasi berpotensi yang menyertai Projek Pembangunan Model Adaptasi Teknologi Getah (ADTEG) dan telah mengadaptasi penggunaan teknologi RRIMniaga dan RRIMeter bagi urusan jual beli getah. 

Bagi program ADTEG, sebanyak 102 peserta di Negeri Sembilan telah mula menggunakan teknologi rangsangan Hydrobest dengan melibatkan jumlah keluasan 98 hektar di mana Rembau sebanyak 72 hektar, Jempol 10 hektar dan Jelebu 16 hektar.

Di Negeri Sembilan, 206 buah PMG telah menggunapakai aplikasi RRIMniaga di dalam urusan jual beli getah. Dari jumlah tersebut, 2 PMG menggunakan teknologi RRIMeter bagi menentukan kadar kandungan getah kering (KGK) lateks. Keduadua PMG ini merupakan peserta Insentif Pengeluaran Lateks (IPL). 

Trek Komoditi (Zon Tengah Semenanjung meliputi Negeri Sembilan dan Selangor dan sektor tumpuan bagi siri kali ini adalah komoditi getah, kayu, sawit dan koko. Program Trek Komoditi ini merupakan merupakan platform YAB Menteri Perladangan dan Komoditi dan KPK untuk turun padang bersama rakyat bagi menerangkan inisiatif-inisiatif serta hala tuju Kerajaan berhubung sektor agrikomoditi, mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pekebun kecil, usahawan, serta masyarakat setempat berkenaan isu-isu semasa dan mengetengahkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada kumpulan sasar.

Kementerian sentiasa komited dalam memastikan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan kemudahan bagi pekebun kecil getah bagi menggalakkan peningkatan produktiviti dan kemampanan  sektor getah selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030).

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

5 OGOS 2023

KENYATAAN MEDIA

MAKLUM BALAS KEPADA VIDEO KELUHAN PEKEBUN KECIL

MENGENAI HARGA GETAH RENDAH

 

  1. Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) mengambil maklum akan penularan video keluhan seorang pekebun kecil di Kedah mengenai harga getah yang rendah dan permohonan beliau kepada Kerajaan untuk meningkatkan harga getah. Sehubungan itu, satu pertemuan antara pihak Kementerian dan pengadu telah diadakan pada 30 Julai 2023 bagi mendengar keluhan dan menangani permasalahan yang dihadapi. Hasil positif daripada pertemuan ini, masalah pekebun kecil berkenaan telah diselesaikan secara terus di mana Permit Autoriti Transaksi Getah atau PAT-G beliau telah diperbaharui yang melayakkan beliau untuk menerima bantuan IPG dan bantuan-bantuan Kerajaan yang berkaitan.
  1. Dengan usaha ini, pekebun kecil tersebut akan menikmati insentif IPG yang telah dinaikkan daripada RM 2.50 sekilogram kepada RM2.70 sekilogram bermula Januari 2023. Ini adalah inisiatif Kerajaan untuk menangani isu kejatuhan harga dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil bagi meringankan beban mereka. Kenaikan PHP sebanyak RM 0.20 sen ini memastikan pekebun kecil akan menerima hasil penjualan cuplump tidak kurang RM 2.70 sekilogram. Sejak IPG mula dilaksanakan pada September 2015 sehingga 30 Jun 2023, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM457,526,196 juta bagi pembayaran IPG.
  1. Kerajaan amat prihatin dan sentiasa melipat ganda usaha bagi membantu pekebun kecil getah dari semasa ke semasa. Kementerian dan Agensi terlibat telah memperhalusi cadangan kenaikan Paras Harga Pengaktifan (PHP) Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan bantuan-bantuan lain yang bersesuaian untuk diagihkan kepada pekebun kecil, mengambil kira cabaran yang dihadapi oleh sektor getah pada masa kini.
  1. Untuk makluman, pekebun kecil adalah disyaratkan untuk memiliki PAT-G yang dikeluarkan oleh LGM secara percuma bagi sebarang aktiviti urus niaga getah dan sebagai syarat untuk pemberian insentif dan bantuan. Bagi memudahkan urus niaga di peringkat pekebun kecil, LGM juga telah mewajibkan penggunaan RRIMNiaga kepada pelesen getah. Selain itu, rekod transaksi urusniaga adalah lebih telus dan proses penyaluran bantuan adalah lebih mudah kerana dapat dilakukan secara automatik dan pembayaran insentif akan disalurkan terus kepada akaun bank pekebun kecil.
  1. Selain itu, Kementerian melalui LGM juga telah memperkenalkan pelbagai projek dan insentif lain bagi membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan termasuk Insentif Pengeluaran Lateks (IPL), Projek Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) dan pelaksanaan MyRol. LGM juga terus menggalakkan aktiviti R&D untuk penghasilan klon-klon getah yang berkualiti tinggi untuk meningkatkan produktiviti dan automasi dalam sektor huluan industri getah manalaka kajian yang mendalam dalam sektor hiliran khususnya bagi penghasilan produk-produk berasaskan getah yang bernilai tambah.
  1. Kerajaan amat prihatin mengenai isu kejatuhan harga getah dan sentiasa proaktif dalam memastikan aktiviti-aktiviti di atas dipertingkatkan agar dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pekebun kecil khususnya semasa kejatuhan harga getah. Kerajaan juga amat menggalakkan pekebun kecil untuk segera berdaftar dengan LGM melalui PAT-G bagi menikmati insentif dan bantuan Kerajaan.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

1 OGOS 2023

 

 

KENYATAAN MEDIA

 

INISIATIF PELUNCURAN EKONOMI MADANI DIYAKINI

MAMPU MELONJAKKAN EKONOMI NEGARA

 

Pengumuman Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat adalah satu tekad yang diyakini mampu untuk melonjakkan ekonomi, serta menambah baik Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara. 

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyambut baik visi dan sasaran yang telah digariskan di bawah Malaysia Madani. KPK bersedia untuk mengorak langkah melalui penjajaran program-program dan aktiviti Kementerian bagi menyokong aspirasi tersebut. Dengan krisis makanan yang dihadapi dunia, adalah penting untuk negara terus mengatur strategi supaya tidak bergantung semata-mata kepada penghasilan komoditi diperingkat huluan tetapi turut mempelbagaikan produk hiliran bernilai tambah tinggi. 

Selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk mengoptimum penggunaan tanah perladangan sedia ada, KPK melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mempergiat penghasilan baka sawit hibrid yang dapat menghasilkan minyak lebih banyak dengan menggunakan keluasan tanah terhad.

MPOB sebagai institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga akan terus memastikan bahawa produk sawit yang dihasilkan sentiasa berkualiti serta mampan, mengambil kira cabaran masa kini yang dihadapi terutamanya penolakan Eropah atas dakwaan pelbagai isu seperti penyahhutanan dan keselamatan makanan.

Umum mengetahui, sektor agrikomoditi adalah penting bagi ekonomi negara, selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan serta meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara. Dalam hal ini, industri ini akan terus diperkasa melalui pelbagai inisiatif yang akan diperkenalkan Kementerian. 

Hasrat untuk mencipta kekayaan baharu negara melalui aset sedia ada negara seperti biodiversiti dalam pasaran perdagangan karbon sektor agrikomoditi akan turut diberi perhatian. Usaha-usaha pemuliharaan dan penghutanan semula yang dilaksanakan adalah bukti bahawa Malaysia amat menitikberatkan pemuliharaan sumber hutan bagi mengekalkan kemampanan alam sekitar.

Bahkan, KPK menerusi agensi di bawahnya telah menggerakkan Program Penghijauan Malaysia yang merupakan agenda nasional bagi menghadapi cabaran perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat. 

Kementerian turut menyambut baik usaha Sarawak memperintis kenderaan menggunakan tenaga hydrogen serta CCUS (Carbon Capture, Utilisation & Storage). Justeru, Kementerian turut mendukung inisiatif kerajaan dalam pelaksanaan pemulihan kelestarian alam menerusi pendayagunaan teknologi hijau seperti penggunaan biodiesel sawit.

Semoga hasrat dan inisiatif yang dilaksanakan ini dapat mengangkat darjat dan martabat negara dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara dan dunia, yang akhirnya akan memberi limpahan hasil kepada rakyat dan negara.

 

DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF

TIMBALAN PERDANA MENTERI 

MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI

27 JULAI 2023