INFO SIARAN MEDIA

SIARAN MEDIA
KUNJUNGAN RASMI TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI
PERLADANGAN DAN KOMODITI KE LEMBAGA LADA MALAYSIA
(MPB) CAWANGAN SIBU, SARAWAK


1. Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah memulakan siri lawatan dan kerja rasmi ke Sarawak dalam usaha untuk merapatkan hubungan antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung.


2. Menerusi siri lawatan dan kerja rasmi pada 6 Januari 2023, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah berkunjung ke salah satu agensi bawah KPK iaitu Lembaga Lada Malaysia (MPB) di pejabat cawangan dalam daerah Sibu, Sarawak.


3. Sehingga kini, MPB memiliki sembilan (9) buah pejabat cawangan di seluruh negeri Sarawak yang diselia oleh Pejabat Wilayah Sarawak iaitu di Serian, Sri Aman, Betong, Bintangor, Sarikei, Bintulu, Miri, Belaga dan Sibu serta dua (2) buah pejabat wilayah masing – masing di Semenanjung Malaysia (Johor) dan juga Sabah (Kota Kinabalu).


4. MPB Sibu secara khususnya berperanan dalam menyelia aktiviti industri lada yang meliputi kawasan Sibu, Mukah dan Kapit (kecuali daerah Belaga yang diselia oleh MPB Belaga). Antara fasiliti yang terdapat di MPB Sibu termasuklah Loji Pemprosesan Kering dan Basah dan Loji Rawatan Haba bagi aktiviti pemprosesan lada serta Makmal Kawalan Kualiti.


5. Aktiviti - aktiviti yang dijalankan di premis ini termasuklah perkhidmatan kawalan kualiti dan penggredan, aktiviti pemprosesan lada, selain melaksanakan Program Pembangunan Penanaman Lada dengan mengagihkan input pertanian, perkakasan ladang, dan bantuan infrastruktur ladang.


6. MPB Sibu telah berjaya mendapat pengiktirafan Sijil Hazard Analysis Critical Control Points (HACCP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setelah memenuhi syarat-syarat bagi perlaksanaan sistem HACCP untuk produk Steam treated Black Pepper/ White Pepper. Akreditasi seumpama ini penting bagi menjamin kredibiliti dan keselamatan produk lada yang dihasilkan berlandaskan prosedur pelaksanaan HACCP.


7. Makmal Analisa MPB Sibu di bawah Cawangan Kawalan Kualiti juga telah berjaya mendapatkan akreditasi melalui pensijilan MS ISO/IEC 17025:2017 (Skop Kimia). Akreditasi ini menunjukkan keupayaan skop analisa dan kualiti pengurusan Makmal Analisa MPB diiktiraf dan beroperasi mengikut piawaian dan standard antarabangsa.


8. Untuk rekod, jumlah kawasan penanaman lada di Bahagian Sibu adalah seluas 494.83 hektar dengan jumlah pekebun kecil lada seramai 3,402 orang pekebun.


9. Sepanjang tahun 2022, MPB Sibu telah mengagihkan sejumlah RM7.6 juta bantuan lada kepada 346 orangpekebun kecil lada yang layak bagi kawasan seliaan MPB Sibu. Daripada jumlah tersebut seramai 96 orang merupakan penerima Skim Tanaman Lada Baharu (STLB) yang berjumlah RM3.3 juta, manakala seramai 250 orang pula menikmati manfaat daripada Skim Tanaman Lada Matang (STLM) yang berjumlah RM4.2 juta.


10. Sepanjang tahun 2022, Pusat Pemprosesan Lada MPB Sibu telah memproses sebanyak 928.67 metrik tan lada hitam dan lada putih bagi tujuan eksport.


11. Kerajaan akan terus membantu menaik taraf kehidupan para pekebun kecil lada di seluruh negara khususnya di negeri Sarawak melalui penyaluran pelbagai bantuan disamping terus memperkasa peranan MPB selaku badan yang mengawal selia aktiviti industri lada di negara ini.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
6 JANUARI 2023

KENYATAAN MEDIA
PENUKARAN NAMA RASMI DAN AKRONIM KEMENTERIAN
PERLADANGAN DAN KOMODITI


Selaras dengan pengumuman pembentukan kabinet oleh YAB Perdana Menteri pada 3 Disember 2022, nama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah dijenamakan
kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi atau nama bahasa Inggerisnya, Ministry of Plantation and Commodities. Penggunaan akronim bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi ialah KPK.


Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bertanggungjawab terhadap sektor agrikomoditi dan menyelia keseluruhan rantaian nilai pengeluaran serta penggunaan daripada peringkat huluan, pertengahan dan hiliran. Sektor ini telah berkembang melalui peringkat pengeluaran dan pengeksportan bahan mentah kepada penghasilan produk separa
proses, produk yang telah diproses dan produk akhir, seterusnya menjana lebih banyak produk bernilai tambah dalam memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.


Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) merangkumi lapan komoditi iaitu sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, fiber berasaskan tumbuhan (kenaf dan fiber berkaitan), biojisim dan biobahan api merupakan tonggak utama bagi meningkatkan ekonomi kitaran berasaskan agrikomoditi. Sektor agrikomoditi merupakan komponen penting dan antara pemacu ekonomi negara yang turut menyumbang kepada pendapatan eksport, mewujudkan peluang pekerjaan dalam masa yang sama menjana pendapatan terutamanya kepada pekebun kecil.


Justeru sebagai usaha memajukan agrikomoditi demi kemampanan dan kemakmuran bersama, visi, misi dan fungsi Kementerian masih kekal bagi merealisasikan DAKN2030 dan memperluas kepelbagaian sektor agrikomoditi serta menjayakan agenda pembangunan ekonomi nasional.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
28 DISEMBER 2022

SIARAN MEDIA
PERSIDANGAN KEBANGSAAN INDUSTRI KENAF 2022 (PKIK 2022)


PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), YBhg. Dato’ Mad Zaidi bin Mohd Karli mewakili kementerian telah menyempurnakan Perasmian Persidangan Kebangsaan Industri Kenaf 2022 (PKIK 2022) dengan tema “Kenaf Melestarikan Kehidupan” bertempat di The Everly Hotel, Putrajaya.


Persidangan anjuran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) ini diadakan setiap dua tahun sekali dan ia merupakan platform perkongsian perkembangan mutakhir industri kenaf di Malaysia di samping menghebahkan maklumat dan memromosikan industri kenaf negara.

Persidangan tersebut melibatkan pelbagai program merangkumi pembentangan kertas kerja, pameran dan jualan pelbagai produk inovasi berasaskan kenaf oleh Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan dan pihak swasta termasuk aktiviti pemadanan perniagaan yang turut diadakan bagi memberi peluang kepada industri untuk memperkembang perniagaan dan pasaran baharu.


Sebanyak sembilan (9) kertas kerja dibentangkan dalam persidangan ini merangkumi pelbagai segmen industri kenaf termasuklah kegunaan produk kenaf dalam pembinaan, perkayuan, biokomposit, pulpa, panel akustik dan sebagainya.


Selain itu, lapan (8) reruai pameran produk kenaf yang disertai oleh Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan dan pihak swasta turut disediakan. Seramai 300 orang peserta telah menyertai persidangan ini secara fizikal dan 200 orang peserta lagi mengikuti persidangan secara maya terdiri daripada pegawai dan penggiat industri dari Agensi Kerajaan dan Swasta, Institusi Penyelidikan, Institusi Kewangan, Persatuan, Koperasi, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pekebun kecil dan individu yang berminat dalam industri ini.


Usaha berterusan digiatkan oleh kementerian melalui LKTN agar pelbagai inovasi dapat dihasilkan dan seterusnya meningkatkan keboleh pasaran produk serta meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran berasaskan kenaf. Selain itu, KPK juga komited dalam memastikan permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam (environmentally friendly) dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri.


Bersempena dengan PKIK 2022, tiga (3) pertukaran dokumen perjanjian dan persefahaman juga telah dimeterai iaitu:


i. Perjanjian Kerjasama antara LKTN dengan Agensi Nuklear Malaysia
(ANM) dalam Pembangunan Benih Mutasi Kenaf;
ii. Perjanjian Kerjasama di antara LKTN dengan Universiti Putra Malaysia
(UPM) dalam Pembangunan Bahan Binaan Pengangkutan; dan
iii. Perjanjian Kerjasama di antara LKTN dengan MERC Resources Sdn
Bhd (MRSB) dalam Pengeluaran Pulpa Kenaf.


Penganjuran PKIK 2022 merupakan inisiatif KPK bersama LKTN untuk memastikan industri kenaf terus diberi perhatian sewajarnya bagi memacu potensi pembangunan sektor komoditi kenaf secara progresif.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
20 DISEMBER 2022

SIARAN MEDIA
IMPAC BAKAL LAHIRKAN 95 RIBU GRADUAN MENJELANG 2025

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, hari ini menyempurnakan Majlis Konvokesyen Institut Perladangan Dan Komoditi Malaysia (IMPAC) Ke-8 di Hotel Everly, Putrajaya hari ini.


Majlis ini dianjurkan bersama oleh IMPAC dan enam (6) agensi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) iaitu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).


Sesi kali ini melibatkan 584 graduan meliputi 360 graduan daripada program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), manakala selebihnya adalah dariprogram latihan kemahiran kelolaan IMPAC dan agensi pelaksana. 

Sehingga September 2022, IMPAC telah melahirkan seramai 80,290 pelatih melalui pusat-pusat latihan di bawah enam agensi Kementerian atau pada purata 7,300 pelatih setiap tahun. IMPAC menjangkakan seramai 95,000 peserta akan dapat dilatih menjelang tahun 2025.


IMPAC melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC)juga telah dikenalpasti oleh SkillsMalaysia sebagai COE (Centre of Excellence) bagi bidang Cabinetmaking oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM), Joinery dan Carpentry oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk melatih peserta negara yang membawa cabaran ke setiap pertandingan ASEAN Skills Competition (ASC) dan juga WorldSkills Competition (WSC) bagi merealisasikan pingat untuk negara dalam pertandingan yang disertai.


Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pembatalan Pertandingan Worldskills Competition Shanghai 2022 akibat pandemik COVID-19, seorang peserta negara dalam bidang ‘cabinet making’, Muhamad Ali Azamuddin bin Allias masih mampu memberi cabaran sengit kepada para peserta dari negara-negara lain di Pertandingan Worldskills Competition-Special Edition Switzerland yang telah dilangsungkan Oktober tahun ini.


Pada tahun 2022, IMPAC juga telah membangunkan 6 Kajian Pembangunan Bahan Pengajaran Bertulis bagi sektor sawit, getah, perkayuan, koko dan kenaf. Pembangunan bahan pengajaran ini akan menjadi bahan utama dalam pross pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan hasil pembelajaran (learning outcome) yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) tercapai dan mengikut standard yang ditetapkan.


Turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Siti Aminah Aching, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Zurinah Pawanteh, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IMPAC, Datuk Zunaidah Idris dan Ketua Eksekutif Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), Puan Nazatul Niza Nordin.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
15 DISEMBER 2022



SIARAN MEDIA

TIMBALAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI BAHARU, YB
DATUK HAJAH SITI AMINAH ACHING MULAKAN TUGAS SECARA
RASMI PADA 12 DISEMBER 2022


1. Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang baharu, YB Datuk Hajah Siti Aminah Aching memulakan tugas secara rasmi dengan menyempurnakan sesi mengimbas kad perakam waktu di Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) hari ini.

 

2. Ketibaan YB Datuk Hajah Siti Aminah Aching di blok utama Bangunan KPK disambut oleh Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Puan Hanim Abdollah dan SUB Bahagian Khidmat Pengurusan dan Pembangunan (BKPP), Encik Sri Ram Letchimanan.

 

3. YB Datuk Hajah Siti Aminah secara rasminya telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi di Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan pada 10 Disember 2022 di Istana Negara.

 

4. Beliau berasal dari Sabah dan merupakan Ahli Parlimen bagi kawasan P.177 Beaufort. Sebelum ini YB Datuk Hajah Siti Aminah, 60 tahun, merupakan mantan Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah. Selain itu, YB Datuk Hajah Siti Aminah juga merupakan Ketua Wanita United Sabah Islamic Association dan Timbalan Presiden Persatuan Bersatu Bisaya Sabah.

 

5. Seluruh warga Kementerian Perladangan dan Komoditi mengalu-alukan kedatangan YB Datuk Hajah Siti Aminah sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.

 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
12 DISEMBER 2022