SIARAN MEDIA

LADA SARAWAK LONJAK IMEJ MALAYSIA DI PERINGKAT GLOBAL

 

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Chan Foong Hin hari ini telah menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia 2024 anjuran Lembaga Lada Malaysia (MPB) di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. 

Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia 2024 yang julung kalinya diadakan pada tahun ini telah mengangkat tema “Memantapkan Pertumbuhan Industri Lada” sejajar dengan usaha ke arah kemampanan industri lada di bawah Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN2030) yang menghimpunkan rantaian pemegang taruh sektor lada. Persidangan ini bertujuan meningkatkan permintaan dan penggunaan lada bagi memperkukuh sektor hiliran lada di peringkat pasaran tempatan dan antarabangsa.

Selain menjadi platform kepada Lembaga Lada Malaysia (MPB) untuk mendekati penggiat industri lada bagi saluran pemasaran lada yang terjamin, persidangan ini memperkukuhkan hubungan perdagangan yang harmoni di sepanjang rantaian pengeluaran sektor lada turut mempererat.

Pada tahun 2023, kadar penggunaan lada global merekodkan peningkatan iaitu kira – kira 291,000 tan metrik berbanding dengan kadar penggunaan pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak 251,000 tan metrik.

Perkembangan positif terhadap permintaan lada didorong oleh potensi kegunaan komoditi lada dalam pelbagai bidang seperti bidang farmaseutikal dan kosmeseutikal di seluruh dunia.

Bagi memastikan kemampanan industri lada, kerajaan melalui MPB tekad melaksanakan program dan projek serta bantuan yang lebih dinamik dan bersepadu agar industri lada negara sentiasa kekal relevan dan mampan. 

Kerajaan melalui MPB sedang menawarkan pelbagai insentif dan bantuan bukan sahaja kepada pekebun tetapi juga usahawan lada bagi merancakkan  perkembangan industri lada baik dari segi huluan mahupun hiliran. 

Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) sebanyak RM53 juta diperuntukkan oleh kerajaan untuk memberi bantuan melalui Skim Tanaman Lada Baharu (STLB), Skim Tanaman Lada Matang (STLM) dan Projek Pengeluaran Lada Premium (PPLP). Skim-skim ini ditawarkan kepada pekebun yang layak bagi meringankan beban kos yang ditanggung dan pada masa yang sama menggalakkan para pekebun untuk menghasilkan lada berkualiti dengan kuantiti yang lebih tinggi. 

Di samping itu, MPB giat membantu usahawan bimbingan melalui pemberian mesin dan pelbagai kursus keusahawanan bagi meningkatkan penglibatan usahawan hiliran yang berdaya saing, berinovasi dan dinamik dalam penghasilan produk hiliran lada. Kerajaan memperuntuk RM5 juta bagi tujuan tersebut.

MPB juga aktif dalam menerokai potensi pasaran baharu bagi memastikan rantaian permintaan dan bekalan yang berterusan. Antara pasaran yang dikenal pasti mampu menawarkan harga premium adalah pasaran di negara-negara Scandinavia seperti Sweden dan Finland. 

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui MPB akan terus komited melaksanakan inisiatif program pemerkasaan sektor agrikomoditi lada yang melibatkan golongan sasar bagi mewujudkan aktiviti nilai tambah di dalam rantaian bekalan bahan mentah demi kelangsungan industri lada negara.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 15 MEI 2024