INFO SIARAN MEDIA

KENYATAAN MEDIA

PEMERIKSAAN TERHADAP PENJUALAN PRODUK YANG MEMPUNYAI PELABELAN BERSIFAT DISKRIMINASI TERHADAP MINYAK SAWIT

Pasukan Multi-Agency Enforcement Force (MAEF), telah menjalankan suatu pemeriksaan berhubung Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan atau Petunjuk (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 terhadap beberapa buah premis di sekitar negeri Selangor pada 26 Januari 2024 (Jumaat).

Pemeriksaan mendapati bahawa masih terdapat beberapa produk makanan di premis-premis tersebut yang mempamerkan secara jelas label bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit (Discriminatory Labelling Against Palm Oil (DLAPO)) yang berbentuk pernyataan, ungkapan atau petunjuk seperti “tiada minyak sawit” atau “tanpa minyak sawit”.  

Premis pertama didapati menjual produk tempatan iaitu, produk makanan bayi yang mempamerkan DLAPO secara jelas. (Rujuk Gambar 1). Manakala premis kedua juga didapati menjual beberapa produk makanan yang diimport yang mempamerkan DLAPO. (Rujuk Gambar 2)  

Terdapat juga inisiatif yang diambil oleh syarikat pengimport dengan menampal pelekat “Diimport dan diedarkan oleh” pada label/ tulisan berupa DLAPO pada produk-produk yang diperiksa.(Rujuk Gambar 3)

Semasa pemeriksaan, pengurus premis telah diberi penerangan berhubung larangan penggunaan label tersebut dan telah diminta supaya mengosongkan rak sehingga tindakan susulan diambil. Amaran juga telah dikeluarkan kepada premis-premis yang terlibat untuk menghentikan penjualan produk yang mempunyai pelabelan bersifat diskriminasi terhadap minyak sawit dan mengeluarkan produk sedia ada di pasaran dengan kadar segera.

Dalam hal ini, satu pemeriksaan susulan akan dilakukan semula bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang. Peringatan ini diberikan bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan diambil atau dikenakan oleh MAEFyang membolehkan pihak terlibat didenda dan produk dirampas.

Teknik pelabelan seumpama ini jelas boleh memberikan suatu tanggapan yang negatif kepada pengguna bahawa penggunaan minyak sawit adalah memudaratkan dan akan membahayakan kesihatan sekiranya menggunakan produk tersebut. Selain daripada itu, tindakan ini juga sekali gus menjejaskan reputasi baik minyak sawit keluaran komoditi negara ini, di samping melanggar prinsip perdagangan yang adil dan telus.

Berdasarkan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan

Pernyataan, Ungkapan atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan BarangBarang Minyak Sawit) 2022 yang berkuat kuasa pada 15 Mac 2022, manamana orang yang melanggar peraturan tersebut boleh didenda tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun apabila disabitkan.

Kementerian ini memandang serius akan isu pelabelan yang bersifat diskriminasi atau negatif terhadap minyak sawit dan akan mengambil tindakan tegas mengikut perundangan dan peraturan semasa yang berkuat kuasa terhadap mana-mana pihak, sama ada pengimport, pengedar, penjual dan pihak-pihak berkaitan yang melakukan kesalahan tersebut.

Pihak Kementerian telah menubuhkan Pasukan MAEF dengan kerjasama Kementerian dan Agensi untuk mengintegrasi aktiviti advokasi dan penguatkuasaan dalam meningkatkan kesedaran seluruh pengguna termasuklah penjual, pengedar dan pengimport mengenai isu pelabelan ini serta sentimen antiminyak sawit di negara ini.

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI  7 FEBRUARI 2024

 

Lampiran gambar:

 

Gambar 1: Produk makanan bayi jenama tempatan yang mempamerkan tulisan “No Palm Oil

Gambar 2: Produk makanan import yang mempamerkan label  “No Palm Oil

 

Gambar 3: Inisiatif menampal pelekat “Diimport dan diedarkan oleh” pada label DLAPO di produk makanan import

         SIARAN MEDIA

PTBN2030 DIJANGKA PERTINGKAT PELABURAN INDUSTRI BIOJISIM

KEPADA RM3 BILION DAN BUKA 3,000 PELUANG PEKERJAAN

 

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dengan kerjasama Konfederasi Industri Biojisim Malaysia (MBIC) telah menganjurkan Persidangan Biojisim Kebangsaan 2023 kali ke-6 serta melancarkan Pelan Tindakan Biojisim Negara 2023-2030 (PTBN2030) di Hotel Everly, Putrajaya hari ini.

Penganjuran Persidangan Biojisim Kebangsaan ini adalah bertepatan dengan sambutan Hari Agrikomoditi Negara (HAKN) baru sahaja dilancarkan pada 5 Disember 2023 yang telah memberikan pengiktirafan kepada semua pihak yang terlibat dalam aktiviti membangunkan sektor Agrikomoditi sama ada di peringkat huluan atau hiliran.

Persidangan ini telah berjaya menghimpunkan pemain-pemain industri biojisim daripada lima (5) sektor iaitu perladangan, pertanian, penternakan, perhutanan dan perikanan seramai lebih daripada 200 peserta, 20 penceramah dan 30 reruai hasil penyertaan daripada pemain-pemain industri biojisim negara.

Tumpuan diberikan kepada kefahaman menyeluruh tentang potensi industri biojisim sebagai inisiatif yang menyokong prinsip kemampanan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).Persidangan ini juga menjadi platform dalam mengumpulkan pemainpemain industri sama ada dari kalangan peniaga, pengeluar produk, penyedia teknologi, pemilik ladang mahupun daripada pihak Kerajaan yang berkait rapat dengan industri biojisim untuk bertukar pandangan, berkongsi maklumat terkini serta membentangkan sebarang kemajuan, sasaran dan hala tuju berkaitan industri biojisim negara.

PTBN2030 dibangunkan berdasarkan dokumen Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12), Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) dan dasar-dasar berkaitan bagi memperkasa industri biojisim dalam negara. Pelan tindakan ini turut mendukung tiga daripada enam tonggak dasar MALAYSIA MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan dan Ihsan yang dilihat sinonim dengan konteks alam sekitar.

PTBN2030 ini akan melibatkan seluruh ekosistem yang dinamik, bermula daripada perancangan, kawalselia, penilaian semula sektor biojisim, dan juga pembekalan serta permintaan pasaran. Fokus Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) adalah terhadap sumber biojisim yang banyak terdapat di lima (5) sektor iaitu, perladangan, perhutanan, pertanian, penternakan dan perikanan. Potensi biojisim daripada sektorsektor ini dianggarkan berjumlah 182 juta tan metrik setahun yang mana hampir 90% diperolehi daripada industri biojisim perladangan.

Sepanjang tempoh RMKe-12, tumpuan berlandaskan konsep ekonomi kitaran akan diberikan kepada industri biojisim dalam menjana nilai tambah dan sokongan daripada  pelbagai institusi akan terus dipertingkatkan. Pelaksanaan inisiatif di bawah PTBN2030 dijangka akan meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung dalam negara (DDI) dalam industri biojisim kepada RM3 bilion dan mencipta sekitar 3,000 peluang pekerjaan.

Selain itu juga, PTBN2030 juga selari dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dalam menyasarkan pelaksanaan projek co-firing di stesen janakuasa elektrik melalui pembakaran bahan api campuran antara arang batu dengan pelet biojisim. Ini juga bertepatan dengan sasaran tenaga lestari ke arah 70% power generation energy mix menjelang 2050 yang akan menjadi game changer dalam sektor tenaga negara. 

Penubuhan Hab Biojisim disasarkan bagi melaksanakan proses pengumpulan bahan mentah biojisim secara berpusat dan teratur. Hab Biojisim ini akan dapat memainkan peranan yang berkesan dalam menggerakkan rantaian bekalan biojisim negara secara sistematik dan efisien.

Kementerian yakin PTBN2030 ini mampu menarik pelbagai pihak berkepentingan khususnya pekebun kecil, perusahaan kecil dan sederhana, pembiaya, penyedia perkhidmatan teknologi dan perkhidmatan logistik, dan pelbagai perkhidmatan sampingan untuk terlibat dalam sektor ini. Justeru, pihak Kementerian akan meneruskan pelbagai usaha dalam meningkatkan pembangunan industri Agrikomoditi Negara yang merangkumi sektor biojisim ke arah pembangunan mampan demi kemakmuran ekonomi negara.

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 

7 DISEMBER 2023

 

SIARAN MEDIA

 

PELANCARAN HARI AGRIKOMODITI NEGARA (HAKN) 2023 PADA 5

DISEMBER 2023 IKTIRAF SUMBANGAN PEMAIN INDUSTRI DAN

PEKEBUN KECIL DALAM SEKTOR AGRIKOMODITI

 

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB

Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah melancarkan Hari Agrikomoditi Negara (HAKN) di Putrajaya International Convention Centre (PICC) hari ini.

Bertemakan “Memacu Kemampanan Agrikomoditi Negara”, objektif utama HAKN yang julung kalinya diadakan ini adalah untuk mengiktiraf serta menghargai jasa rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti membangunkan Sektor Agrikomoditi di semua peringkat dan keseluruhan rantaian nilai selain mewujudkan platform perkongsian maklumat serta pencambahan idea baharu di kalangan semua pihak berkepentingan dalam Sektor Agrikomoditi negara.

Sambutan HAKN merupakan suatu inisiatif oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) selaras dengan Ekonomi MADANI dalam meneruskan aspirasi kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat melalui aktiviti pembangunan produk berkaitan Sektor Agrikomoditi agar kekal progresif, mampan, berdaya saing dan inklusif.

Pelancaran dan sambutan HAKN pada hari ini menyaksikan penyampaian Anugerah Agrikomoditi Negara kepada enam (6) Sektor Agrikomoditi yang merangkumi sektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf. 

Selain daripada Anugerah Agrikomoditi Negara, majlis ini turut menyaksikan penganugerahan Tokoh Industri Perkayuan dan Perhutanan kepada YBhg. Dato’ Dr. Freezailah bin Che Yeom, seorang tokoh yang mempunyai  pengalaman luas sejak 60 tahun lalu dalam industri perkayuan Negara dan aktif memperjuangkan agenda perhutanan yang mampan serta pensijilan. Anugerah ini merupakan tanda pengiktirafan dan terima kasih Kerajaan kepada individu dan semua pihak yang telah memberikan sumbangan dalam Sektor Agrikomoditi Negara.

Bersempena HAKN 2023, KPK akan turut menganjurkan Agrikomoditi Walk pada 9 Disember 2023 yang akan mengumpulkan lebih 2,000 orang peserta. Antara pengisian program santai ini adalah briskwalk sejauh lima (5) kilometer sepanjang Laluan Persiaran Perdana, Putrajaya, pameran daripada Agensi dan Majlis di bawah KPK.

Golongan sasar yang terdiri daripada komuniti dan masyarakat setempat juga akan memperoleh manfaat daripada penganjuran HAKN. Komuniti dan masyarakat setempat akan dapat pendedahan melalui pelbagai program, inisiatif dan insentif yang ditawarkan oleh Kementerian termasuk Agensi-agensi di bawahnya. Mereka boleh mendapatkan maklum balas secara terus daripada pegawai KPK dan Agensi berkaitan.

Kementerian berharap agar HAKN yang disambut mulai tahun ini dapat mengetengahkan Sektor Agrikomoditi dan kesedaran masyarakat akan kepentingannya kepada penjanaan ekonomi negara dan kesejahteraan kehidupan rakyat.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI  5 DISEMBER 2023

SIARAN MEDIA

KPK SUMBANG RM850,566.23 KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN PERKHIDMATAN AWAM

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof hari ini menerima sumbangan untuk  Tabung Kemanusiaan Palestin berjumlah RM850,566.23 daripada warga Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK)  dan agensi-agensi dibawah KPK sebagai tanda menyokong misi kemanusiaan terhadap rakyat Palestin.

Sumbangan yang diselaraskan oleh Kelab Sukan dan Kebajikan KPK ini melibatkan hasil kutipan daripada seluruh warga Kementerian dan agensi di bawah Kementerian. Selain wang tunai, KPK melalui Majlis Getah Malaysia turut menyumbang 100,000 sarung tangan getah yang akan disumbangkan kepada Pasukan Perubatan di Semenanjung Gaza. 


Inisiatif kutipan sumbangan ini merupakan tanda sokongan KPK mendukung inisiatif Tabung Kemanusiaan Palestin bagi Perkhidmatan Awam yang telah dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBhg. Dato’ Seri Tan Sri Mohd Zuki bin Ali pada 24 Oktober yang lalu. 

KPK sentiasa menyokong sebarang inisiatif murni dan misi kemanusiaan sejagat termasuk membantu meringankan kesengsaraan yang sedang dialami oleh rakyat

Palestin.

Sesi ini turut dihadiri oleh Timbalan Menteri KPK, YB Datuk Siti Aminah Binti Aching, Ketua Setiausaha KPK, YBhg. Dato’ Mad Zaidi bin Mohd Karli dan pegawai-pegawai Kementerian dan agensi. 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 10 November 2023

SIARAN MEDIA

PAMERAN MINYAK SAWIT ANTARABANGSA MPOB 2023 (PIPOC 2023)

YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Kongres dan Pameran Minyak Sawit Antarabangsa MPOB 2023 (PIPOC 2023), kongres dan pameran sawit terbesar di dunia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Turut hadir ke majlis perasmian adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.

Sektor sawit merupakan antara penyumbang utama kepada ekonomi Malaysia dengan pendapatan eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit melonjak kepada RM137.89 bilion pada 2022 daripada RM108.52 bilion pada 2021. Minyak sawit Malaysia menyumbang 31 peratus daripada pasaran eksport minyak sawit dunia iaitu 51 juta tan metrik tahun lalu. Pencapaian sedemikian adalah luar biasa kerana keluasan tanaman sawit di Malaysia hanya kira-kira 5.67 juta hektar tanah, iaitu kurang daripada 2 peratus daripada jumlah keseluruhan 300 juta hektar kawasan tanaman minyak bijian.  

Minyak sawit mempunyai pelbagai kegunaan dan merupakan ramuan penting dalam pelbagai produk, merangkumi minyak masak, marjerin, makanan ringan, sehinggalah kepada makanan yang diproses. Ia kaya dengan fitonutrien dan komponen berfaedah lain yang boleh mencegah kanser, menurunkan kolesterol dan anti-penuaan serta mengurangkan risiko pelbagai penyakit tidak berjangkit termasuk penyakit kardiovaskular, diabetes dan masalah pernafasan kronik.

Industri sawit Malaysia menghadapi pelbagai cabaran termasuk isu perdagangan, dakwaan palsu berkaitan buruh paksa, halangan perdagangan dan perubahan iklim yang menjejaskan imej serta pengeluaran dan eksport produk sawit. Walaupun begitu, Kementerian yakin isu-isu tersebut dapat ditangani sebaik mungkin.  

Bersempena Kongres ini, Perdana Menteri turut melancarkan Sistem Pengurusan Pintar Sawit (SIMS). Sistem ini diwujudkan untuk memudahkan pengurusan data transaksi di sepanjang rantaian bekalan minyak sawit. Ia juga bertujuan untuk menggalakkan kawal selia kendiri, meminimakan pengawasan Kerajaan dengan ciri-ciri yang mesra pengguna. SIMS dibangunkan oleh MPOB, membolehkan pengurusan maklumat yang komprehensif, meningkatkan kecekapan industri dan menjimatkan kos.  

Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) telah mendapat pengiktirafan global. Antara pengiktrirafan yang telah diperolehi adalah seperti penerimaan di bawah Kod Perolehan Mampan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Sukan Paralimpik. Selain itu, Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 turut mempromosikan MSPO dengan membenarkan pembekalan eksklusif roti yang dirumus oleh Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Minyak Sawit MPOB (PORTSIM). 

PIPOC 2023 yang berlangsung selama tiga hari bermula 7 hingga 9 November 2023 ini dianjurkan oleh MPOB. Kongres ini menghimpunkan lebih daripada 100 penceramah terkemuka dan sekitar 2,000 peserta dari seluruh dunia sebagai platform berkongsi pandangan tentang trend semasa, cabaran, peluang dan teknologi terkini industri sawit.

Bertemakan ‘Navigating Uncertainties, Building Resilience', PIPOC 2023 melibatkan empat persidangan serentak iaitu Persidangan Pertanian, Bioteknologi & Kemampanan; Persidangan Pemprosesan, Keselamatan Makanan & Pemakanan; Persidangan Hiliran & Penambahan Nilai; dan Persidangan Ekonomi & Pemasaran Global.

Kongres ini juga menampilkan pameran perdagangan dengan lebih 400 reruai yang memaparkan kemajuan teknologi baharu industri, peralatan dan produk terkini. Penganjuran Kongres ini diharap dapat memanfaatkan para pemain industri di sepanjang rantaian sektor sawit dalam usaha Kementerian memartabatkan industri ini di mata dunia dan menangani cabaran semasa. 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

8 NOVEMBER 2023