SIARAN MEDIA

 

PELANCARAN HARI AGRIKOMODITI NEGARA (HAKN) 2023 PADA 5

DISEMBER 2023 IKTIRAF SUMBANGAN PEMAIN INDUSTRI DAN

PEKEBUN KECIL DALAM SEKTOR AGRIKOMODITI

 

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB

Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah melancarkan Hari Agrikomoditi Negara (HAKN) di Putrajaya International Convention Centre (PICC) hari ini.

Bertemakan “Memacu Kemampanan Agrikomoditi Negara”, objektif utama HAKN yang julung kalinya diadakan ini adalah untuk mengiktiraf serta menghargai jasa rakyat Malaysia yang terlibat dalam aktiviti membangunkan Sektor Agrikomoditi di semua peringkat dan keseluruhan rantaian nilai selain mewujudkan platform perkongsian maklumat serta pencambahan idea baharu di kalangan semua pihak berkepentingan dalam Sektor Agrikomoditi negara.

Sambutan HAKN merupakan suatu inisiatif oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) selaras dengan Ekonomi MADANI dalam meneruskan aspirasi kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyat melalui aktiviti pembangunan produk berkaitan Sektor Agrikomoditi agar kekal progresif, mampan, berdaya saing dan inklusif.

Pelancaran dan sambutan HAKN pada hari ini menyaksikan penyampaian Anugerah Agrikomoditi Negara kepada enam (6) Sektor Agrikomoditi yang merangkumi sektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada dan kenaf. 

Selain daripada Anugerah Agrikomoditi Negara, majlis ini turut menyaksikan penganugerahan Tokoh Industri Perkayuan dan Perhutanan kepada YBhg. Dato’ Dr. Freezailah bin Che Yeom, seorang tokoh yang mempunyai  pengalaman luas sejak 60 tahun lalu dalam industri perkayuan Negara dan aktif memperjuangkan agenda perhutanan yang mampan serta pensijilan. Anugerah ini merupakan tanda pengiktirafan dan terima kasih Kerajaan kepada individu dan semua pihak yang telah memberikan sumbangan dalam Sektor Agrikomoditi Negara.

Bersempena HAKN 2023, KPK akan turut menganjurkan Agrikomoditi Walk pada 9 Disember 2023 yang akan mengumpulkan lebih 2,000 orang peserta. Antara pengisian program santai ini adalah briskwalk sejauh lima (5) kilometer sepanjang Laluan Persiaran Perdana, Putrajaya, pameran daripada Agensi dan Majlis di bawah KPK.

Golongan sasar yang terdiri daripada komuniti dan masyarakat setempat juga akan memperoleh manfaat daripada penganjuran HAKN. Komuniti dan masyarakat setempat akan dapat pendedahan melalui pelbagai program, inisiatif dan insentif yang ditawarkan oleh Kementerian termasuk Agensi-agensi di bawahnya. Mereka boleh mendapatkan maklum balas secara terus daripada pegawai KPK dan Agensi berkaitan.

Kementerian berharap agar HAKN yang disambut mulai tahun ini dapat mengetengahkan Sektor Agrikomoditi dan kesedaran masyarakat akan kepentingannya kepada penjanaan ekonomi negara dan kesejahteraan kehidupan rakyat.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI  5 DISEMBER 2023