INFO SIARAN MEDIA

 
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
MALAYSIA
KENYATAAN MEDIA
TPM FADILLAH YUSOF TERIMA KUNJUNGAN HORMAT
SETIAUSAHA KEWANGAN HONG KONG, PAUL CHAN MO-PO
 

Pada pagi Selasa, 28 Mac 2023, saya telah menerima kunjungan hormat daripada rakan sejawat saya, Setiausaha Kewangan Hong Kong, Paul Chan Mo-Po di Bilik Kunjungan Hormat, bangunan Parlimen.

Perjumpaan ini merupakan perjumpaan peringkat tertinggi yang pertama di antara Malaysia dan Hong Kong dalam tempoh 3 tahun.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu turut disertai oleh En. Abdul Hadi Omar, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Cik Belvinder Kaur Sron, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan para pegawai daripada KPK.

Seiring dengan peralihan pusat ekonomi ke rantau Asia, Hong Kong merupakan antara rakan dagang terpenting bagi Malaysia dan menjadi detinasi eksport Malaysia yang ke-5 terbesar. Nilai dagangan di antara
Malaysia dengan Hong Kong juga telah mencatatkan peningkatan sebanyak 20% pada tahun 2022, iaitu daripada USD21.68 billion pada 2021 kepada USD25.69 billion pada 2022.

Dalam pertemuan itu saya telah menyentuh mengenai kepentingan memperkukuhkan hubungan dua hala dan membuka peluang baharu kepada sektor lain yang berpontensi tinggi seperti perkhidmatan, agrikomoditi, pelancongan dan kebudayaan, pendidikan, perkhidmatan, dan ekonomi digital.

Paul Chan Mo-Po turut menjemput saya untuk mengadakan lawatan rasmi ke Hong Kong dan melawat hub ekonomi terbaharu iaitu the Greater Bay Area (GBA) yang menghubungkan wilayah Guangzhou-Hong Kong-Macao. GBA ini merupakan sebuah kawasan yang mempunyai potensi besar pelaburan khususnya dalam sektor teknologi tinggi.

Malaysia berharap kunjungan ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama dan mengeratkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara, selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia untuk memulihkan ekonomi negara pasca COVID-19.

Dato’ Sri Fadillah Yusof
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan
Komoditi
28 Mac 2023
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
 M A L A Y S I A
KENYATAAN MEDIA
KERAJAAN KOMITED BANTU PEKEBUN KECIL GETAH
 
1. Merujuk kepada laporan akhbar bertajuk “Tiada lagi hasil getah Malaysia?” disiarkan oleh akhbar Berita Harian, yang menyentuh mengenai harga getah rendah dan berterusan tidak stabil, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menegaskan bahawa Kerajaan sentiasa komited dalam membantu pekebun kecil khususnya yang terlibat dalam sektor getah.
2. Harga produk ini adalah ditentukan oleh permintaan dan penawaran antarabangsa. Selain itu, antara faktor-faktor lain yang mempengaruhi harga getah asli adalah seperti prestasi pasaran hadapan, harga minyak mentah dunia, kadar pertukaran mata wang asing dan pertumbuhan ekonomi negara-negara pengeluar serta pengimport utama getah dunia.
3. KPK telah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG), yang diperkenalkan sejak 2015 sehingga 31 Disember 2022. Sehingga kini, bantuan telah diagihkan kepada 207,128 pekebun kecil getah di seluruh negara dengan nilai berjumlah RM446 juta (Semenanjung - RM313 juta; Sarawak - RM4juta dan Sabah - RM129 juta). Terkini, Kerajaan juga telah bersetuju menaikkan Paras Harga Pengaktifan (PHP) IPG daripada RM2.50 kepada RM2.70 sekilogram dengan peruntukan berjumlah RM350juta.
4. Kerajaan turut telah memperkenalkan Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL). Setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai program IPL akan menerima insentif tunai sebanyak RM1.00 sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK). Para peserta juga akan menerima bantuan di dalam bentuk input pertanian seperti baja dan racun yang bernilai RM850 bagi setiap hektar secara sekali beri (one-off).
5. Lembaga Getah Malaysia (LGM) juga telah menambah baik proses pembayaran bagi memudahkan penyaluran bantuan seperti IPG dan IPL. Mulai 1 Januari 2021, pembayaran IPG telah dibuat secara terus ke akaun bank pekebun kecil dan mereka tidak perlu lagi membuat permohonan secara manual di pejabat-pejabat LGM. Pekebun kecil yang memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) diwajibkan untuk menjual getah kepada peniaga getah berlesen LGM yang mengguna pakai aplikasi RRIMniaga. RRIMniaga merupakan satu aplikasi telefon pintar yang dibangunkan oleh LGM untuk merekodkan urus niaga jual beli getah. Ia juga dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2021.
6. Bagi menghadapi cabaran kekurangan buruh asing dan menarik minat generasi pelapis, LGM telah memperkenalkan konsep pembangunan getah secara berkelompok. Kolaborasi strategik antara kerajaan dan entiti bukan kerajaan atau syarikat swasta telah perkenalkan melalui penambahbaikan model dan struktur operasi pekebun kecil dan rangkaian bekalan getah di peringkat huluan. Ini akan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing selain dapat menarik minta generasi pelapis untuk berkerjaya dalam industri getah. Projek ini yang dikenali sebagai Program Transformasi Perusahaan Getah Negara (TARGET) dijangka bukan sahaja membantu golongan muda tetapi turut memberi pulangan yang baik kepada pekebun kecil getah.
7. Kerajaan tidak ketandusan teknologi baru dalam membangunkan industri getah negara. LGM telah mengambil inisiatif dalam menggalakkan aktiviti R&D untuk penghasilan klon-klon getah yang berkualiti tinggi untuk meningkatkan produktiviti dan automasi dalam sektor huluan industri getah . Kajian yang mendalam dalam sektor hiliran khususnya bagi penghasilan produk-produk berasaskan getah yang bernilai tambah turut dilaksanakan.
8. Bagi meningkatkan penggunaan getah asli di Malaysia, Kerajaan juga telah menyediakan peruntukan berjumlah RM50 juta untuk penggunaan Cuplump Modified Bitumin (CMB) untuk penyelenggaraan jalan di dalam Belanjawan 2023. Ini merupakan salah satu teknologi yang dibangunkan oleh LGM.
9. Kementerian mengalu-alukan cadangan dan saranan yang diutarakan oleh pelbagai pihak termasuk Persatuan Pengusaha dan Penoreh Getah (PERGETAH) ke arah meningkatkan industri getah negara. Untuk makluman berhubung saranan supaya semua agensi berkepentingan mahupun industri untuk duduk bersama adalah satu pendekatan yang sentiasa diamalkan oleh KPK. Kerajaan sentiasa komited dalam merangka dasar dan strategi untuk meningkatkan daya saing dan daya maju industri getah negara.
 
 
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
28 MAC 2023

KENYATAAN MEDIA


YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI
PERLADANGAN DAN KOMODITI
MESYUARAT PERTAMA MAJLIS BIODIVERSITI NEGARA


22 MAC 2023


1. Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Biodiversiti Negara (MBN1) pada 22 Mac 2023. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh 7 orang YB Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan serta YAB Menteri Besar Perak, YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Timbalan Ketua Menteri Sabah, YB Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Sarawak; dan 11 orang Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Semenanjung Malaysia.


2. Majlis Biodiversiti Negara (MBN) merupakan platform utama bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membincangkan hala tuju dan strategi biodiversiti di peringkat kebangsaan.


3. Sebanyak 3 Kertas Pertimbangan dan 4 Kertas Makluman yang merangkumi inisiatif konservasi biodiversiti di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak telah dibentangkan dan MBN1
bersetuju dengan Terma Rujukan Majlis Biodiversiti Negara; dan penyelarasan Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework ke dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025. MBN1 juga bersetuju supaya penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia (Malaysia Biodiversity Centre - MBC) diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri bagi meningkatkan pengurusan biodiversiti negara dan merealisasikan penubuhan Muzium Sejarah Alam Semulajadi Malaysia (Natural History Museum Malaysia).


4. MBN1 turut mengambil maklum mengenai status konflik manusia dan hidupan liar di Semenanjung Malaysia; cadangan usaha konservasi spesies pokok Gelam (Melaleuca cajuputi); pelaksanaan akses dan perkongsian faedah di Sabah; dan projek Sarawak Reef Ball.


5. MBN1 menekankan kepentingan mengarusperdana pengurusan biodiversiti melalui pendekatan keseluruhan negara (whole-ofnation approach). Keputusan MBN1 ini seterusnya akan dibentangkan untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri.


6. Saya telah berkesempatan menanam pokok Cempaka Hutan (Gardenia carinata) di laman Kompleks Parlimen Malaysia sebagai simbolik dan tanda sokongan kepada usaha pemuliharaan
biodiversiti negara sempena Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada 21 Mac setiap tahun.


7. Saya juga telah melancarkan Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) bagi menghubung, mengekalkan dan memelihara serta memulihara kawasan-kawasan hutan yang terpisah di Semenanjung Malaysia di kawasan Central Forest Spine (CFS).

8. Saya yakin kesepakatan dalam mengukuhkan pengurusan biodiversiti negara melalui MBN akan meningkatkan lagi imej dan reputasi negara dalam pengurusan biodiversiti yang akan menjadi senjata ampuh dalam mematahkan kempen-kempen negatif yang dibuat oleh pihak luar bagi mencemar nama baik negara khususnya apabila menyentuh mengenai sektor perladangan dan komoditi negara.


DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF
YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI
PERLADANGAN DAN KOMODITI
22 MAC 2023

KENYATAAN MEDIA
UPACARA PENGHANTARAN GERMINATED SEEDLING (GS) KE
HONDURAS OLEH MAJLIS NEGARA-NEGARA PENGELUAR MINYAK
SAWIT (CPOPC)


Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (Council of Palm Oil Producing Countries - CPOPC) bersama-sama pemain industri dari Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk menyumbang sebanyak 102,000 biji benih bercambah kelapa sawit (Germinated Seedling - GS) kepada Honduras yang dilanda bencana ribut taufan Eta dan Iota pada bulan November 2020. Sumbangan ini adalah susulan permohonan daripada Secretary of State in Dispatch of Agriculture and Livestock of the Republic of Honduras (SAG) kepada Ketua Setiausaha CPOPC.


CPOPC dan pemain industri Indonesia masing-masing menyumbang sebanyak 20,000 dan 62,000 GS. Manakala Malaysia melalui Minamas Plantation menyumbang sebanyak 20,000 GS. Sumbangan ini dijangka akan membantu pekebun-pekebun kecil sawit di Honduras untuk membina semula hidup mereka yang telah terkesan akibat bencana ribut taufan tersebut. Proses penghantaran GS ini dilakukan melalui udara dari Jakarta, Indonesia dan dijangka akan mendarat di San Pedro Sula, Honduras pada 27 Mac 2023. 

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia yang juga Pengerusi CPOPC, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, menyatakan bahawa sumbangan ini melambangkan kerjasama erat di antara negaranegara pengeluar minyak sawit. Sumbangan ini juga merupakan satu pengiktirafan kepada Honduras yang kini telah memuktamadkan proses accession dan dijangka menjadi negara ke-3 ahli penuh CPOPC pada bulan Mei 2023.


YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof berharap usaha ini akan membantu memperkukuh hubungan dalam kalangan negara ahli-ahli CPOPC.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
20 MAC 2023

SIARAN MEDIA


PERSIDANGAN ANTARABANGSA PENSIJILAN KAYU: EXPLORING
FUTURE FRONTIERS BENTANG HASIL PENYELIDIKAN
PELAKSANAAN PENSIJILAN HUTAN


Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pensijilan Kayu: Exploring Future Frontiers di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. Persidangan antarabangsa ini merupakan anjuran bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC). Persidangan selama dua hari ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.


Persidangan antarabangsa yang turut diadakan secara hibrid ini membentangkan hasil Projek Penyelidikan The Impact of Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS) on Forest Management, Industry and Trade yang telah dilaksanakan oleh MTCC dan LESTARI selama tiga tahun yang bermula pada akhir tahun 2019. Objektif persidangan ini adalah:


i. memberi gambaran secara keseluruhan pengalaman dalam pelaksanaan MTCS di Malaysia;


ii. menjadi platform perkongsian pengalaman negara-negara lain dalam pelaksanaan pensijilan hutan;


iii. meneroka idea untuk mengarusperdanakan pensijilan hutan melalui penerimaan oleh industri dalam perdagangan dan pasaran kayu domestik dan global; dan


iv. mewujudkan pilihan dan keyakinan serta keterdapatan produk kayu mampan dalam pasaran domestik dan global.


Sejak Sidang Kemuncak Bumi Rio pada tahun 1992, kepentingan hutan untuk mengekalkan integriti ekologi bumi semakin ditekankan, dan ini dimeterai dalam Matlamat dan Sasaran Hutan Global di bawah Pelan Strategik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Hutan 2030. Perkembangan ini adalah seiring dengan peningkatan permintaan terhadap bahan dan sumber binaan yang boleh diperbaharui dan mesra alam. Selain itu, memandangkan terdapat perubahan ke atas keperluan kawal selia serta permintaan pengguna dan pasaran global, kepentingan pensijilan kayu amat kritikal dalam memastikan pengurusan hutan lestari dan pengeluaran produk kayu dari sumber yang mampan kekal efektif dan inovatif.


Persidangan ini memberi tumpuan kepada tiga tema iaitu;


i. Mengarusperdanakan Pensijilan Kayu untuk Pengurusan Hutan Mampan, Perindustrian dan Perdagangan yang membincangkan pelaksanaan dasar, termasuk perkongsian pengalaman komuniti dan industri. Sesi ini diketuai oleh Cik Sheam Satkuru, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO) sebagai penyampai ucaptama;


ii. Inisiatif untuk Kelestarian Masa Hadapan Pensijilan Kayu yang memfokuskan kepada inisiatif lain yang menyokong pematuhan pensijilan pengurusan hutan dan rantaian jagaan serta memastikan keberkesanan amalan mampan dalam industri perhutanan dan perkayuan di Malaysia. Ucaptama bagi sesi ini telah disampaikan oleh Dr. Michael Berger, Ketua Pegawai Eksekutif Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC); dan


iii. Pelengkap dalam Pensijilan Kayu Mampan Menjelang dan Melangkau Tahun 2030 mengkongsikan pengalaman dan strategi negara lain dalam melaksanakan pensijilan kayu dan tindak balas terhadap permintaan global untuk produk dan perkhidmatan yang mampan.


Sejak permulaan pada tahun 2001, MTCS terus berkembang melalui proses penambahbaikan dan penglibatan berterusan dengan semua pihak berkepentingan berkaitan perhutanan. Sehingga 31 Disember 2022, terdapat 37 unit pengurusan hutan dengan sejumlah 5.81 juta hektar hutan dan 360 syarikat rantaian jagaan yang dipersijilkan di bawah MTCS.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
15 MAC 2023