SIARAN MEDIA 2022

KENYATAAN MEDIA
PENUKARAN NAMA RASMI DAN AKRONIM KEMENTERIAN
PERLADANGAN DAN KOMODITI


Selaras dengan pengumuman pembentukan kabinet oleh YAB Perdana Menteri pada 3 Disember 2022, nama Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) telah dijenamakan
kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi atau nama bahasa Inggerisnya, Ministry of Plantation and Commodities. Penggunaan akronim bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi ialah KPK.


Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bertanggungjawab terhadap sektor agrikomoditi dan menyelia keseluruhan rantaian nilai pengeluaran serta penggunaan daripada peringkat huluan, pertengahan dan hiliran. Sektor ini telah berkembang melalui peringkat pengeluaran dan pengeksportan bahan mentah kepada penghasilan produk separa
proses, produk yang telah diproses dan produk akhir, seterusnya menjana lebih banyak produk bernilai tambah dalam memenuhi permintaan global yang semakin meningkat.


Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) merangkumi lapan komoditi iaitu sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada, fiber berasaskan tumbuhan (kenaf dan fiber berkaitan), biojisim dan biobahan api merupakan tonggak utama bagi meningkatkan ekonomi kitaran berasaskan agrikomoditi. Sektor agrikomoditi merupakan komponen penting dan antara pemacu ekonomi negara yang turut menyumbang kepada pendapatan eksport, mewujudkan peluang pekerjaan dalam masa yang sama menjana pendapatan terutamanya kepada pekebun kecil.


Justeru sebagai usaha memajukan agrikomoditi demi kemampanan dan kemakmuran bersama, visi, misi dan fungsi Kementerian masih kekal bagi merealisasikan DAKN2030 dan memperluas kepelbagaian sektor agrikomoditi serta menjayakan agenda pembangunan ekonomi nasional.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
28 DISEMBER 2022

SIARAN MEDIA
PERSIDANGAN KEBANGSAAN INDUSTRI KENAF 2022 (PKIK 2022)


PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), YBhg. Dato’ Mad Zaidi bin Mohd Karli mewakili kementerian telah menyempurnakan Perasmian Persidangan Kebangsaan Industri Kenaf 2022 (PKIK 2022) dengan tema “Kenaf Melestarikan Kehidupan” bertempat di The Everly Hotel, Putrajaya.


Persidangan anjuran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) ini diadakan setiap dua tahun sekali dan ia merupakan platform perkongsian perkembangan mutakhir industri kenaf di Malaysia di samping menghebahkan maklumat dan memromosikan industri kenaf negara.

Persidangan tersebut melibatkan pelbagai program merangkumi pembentangan kertas kerja, pameran dan jualan pelbagai produk inovasi berasaskan kenaf oleh Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan dan pihak swasta termasuk aktiviti pemadanan perniagaan yang turut diadakan bagi memberi peluang kepada industri untuk memperkembang perniagaan dan pasaran baharu.


Sebanyak sembilan (9) kertas kerja dibentangkan dalam persidangan ini merangkumi pelbagai segmen industri kenaf termasuklah kegunaan produk kenaf dalam pembinaan, perkayuan, biokomposit, pulpa, panel akustik dan sebagainya.


Selain itu, lapan (8) reruai pameran produk kenaf yang disertai oleh Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan dan pihak swasta turut disediakan. Seramai 300 orang peserta telah menyertai persidangan ini secara fizikal dan 200 orang peserta lagi mengikuti persidangan secara maya terdiri daripada pegawai dan penggiat industri dari Agensi Kerajaan dan Swasta, Institusi Penyelidikan, Institusi Kewangan, Persatuan, Koperasi, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pekebun kecil dan individu yang berminat dalam industri ini.


Usaha berterusan digiatkan oleh kementerian melalui LKTN agar pelbagai inovasi dapat dihasilkan dan seterusnya meningkatkan keboleh pasaran produk serta meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran berasaskan kenaf. Selain itu, KPK juga komited dalam memastikan permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam (environmentally friendly) dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri.


Bersempena dengan PKIK 2022, tiga (3) pertukaran dokumen perjanjian dan persefahaman juga telah dimeterai iaitu:


i. Perjanjian Kerjasama antara LKTN dengan Agensi Nuklear Malaysia
(ANM) dalam Pembangunan Benih Mutasi Kenaf;
ii. Perjanjian Kerjasama di antara LKTN dengan Universiti Putra Malaysia
(UPM) dalam Pembangunan Bahan Binaan Pengangkutan; dan
iii. Perjanjian Kerjasama di antara LKTN dengan MERC Resources Sdn
Bhd (MRSB) dalam Pengeluaran Pulpa Kenaf.


Penganjuran PKIK 2022 merupakan inisiatif KPK bersama LKTN untuk memastikan industri kenaf terus diberi perhatian sewajarnya bagi memacu potensi pembangunan sektor komoditi kenaf secara progresif.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
20 DISEMBER 2022

SIARAN MEDIA
IMPAC BAKAL LAHIRKAN 95 RIBU GRADUAN MENJELANG 2025

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, hari ini menyempurnakan Majlis Konvokesyen Institut Perladangan Dan Komoditi Malaysia (IMPAC) Ke-8 di Hotel Everly, Putrajaya hari ini.


Majlis ini dianjurkan bersama oleh IMPAC dan enam (6) agensi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) iaitu Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN).


Sesi kali ini melibatkan 584 graduan meliputi 360 graduan daripada program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), manakala selebihnya adalah dariprogram latihan kemahiran kelolaan IMPAC dan agensi pelaksana. 

Sehingga September 2022, IMPAC telah melahirkan seramai 80,290 pelatih melalui pusat-pusat latihan di bawah enam agensi Kementerian atau pada purata 7,300 pelatih setiap tahun. IMPAC menjangkakan seramai 95,000 peserta akan dapat dilatih menjelang tahun 2025.


IMPAC melalui Pusat Pembangunan Kemahiran Industri Kayu (WISDEC)juga telah dikenalpasti oleh SkillsMalaysia sebagai COE (Centre of Excellence) bagi bidang Cabinetmaking oleh Kementerian Sumber Manusia (KSM), Joinery dan Carpentry oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk melatih peserta negara yang membawa cabaran ke setiap pertandingan ASEAN Skills Competition (ASC) dan juga WorldSkills Competition (WSC) bagi merealisasikan pingat untuk negara dalam pertandingan yang disertai.


Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk pembatalan Pertandingan Worldskills Competition Shanghai 2022 akibat pandemik COVID-19, seorang peserta negara dalam bidang ‘cabinet making’, Muhamad Ali Azamuddin bin Allias masih mampu memberi cabaran sengit kepada para peserta dari negara-negara lain di Pertandingan Worldskills Competition-Special Edition Switzerland yang telah dilangsungkan Oktober tahun ini.


Pada tahun 2022, IMPAC juga telah membangunkan 6 Kajian Pembangunan Bahan Pengajaran Bertulis bagi sektor sawit, getah, perkayuan, koko dan kenaf. Pembangunan bahan pengajaran ini akan menjadi bahan utama dalam pross pengajaran dan pembelajaran bagi memastikan hasil pembelajaran (learning outcome) yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) tercapai dan mengikut standard yang ditetapkan.


Turut hadir, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Hajah Siti Aminah Aching, Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, Datuk Zurinah Pawanteh, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IMPAC, Datuk Zunaidah Idris dan Ketua Eksekutif Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), Puan Nazatul Niza Nordin.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
15 DISEMBER 2022



SIARAN MEDIA

TIMBALAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI BAHARU, YB
DATUK HAJAH SITI AMINAH ACHING MULAKAN TUGAS SECARA
RASMI PADA 12 DISEMBER 2022


1. Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang baharu, YB Datuk Hajah Siti Aminah Aching memulakan tugas secara rasmi dengan menyempurnakan sesi mengimbas kad perakam waktu di Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) hari ini.

 

2. Ketibaan YB Datuk Hajah Siti Aminah Aching di blok utama Bangunan KPK disambut oleh Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM), Puan Hanim Abdollah dan SUB Bahagian Khidmat Pengurusan dan Pembangunan (BKPP), Encik Sri Ram Letchimanan.

 

3. YB Datuk Hajah Siti Aminah secara rasminya telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi di Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri Persekutuan pada 10 Disember 2022 di Istana Negara.

 

4. Beliau berasal dari Sabah dan merupakan Ahli Parlimen bagi kawasan P.177 Beaufort. Sebelum ini YB Datuk Hajah Siti Aminah, 60 tahun, merupakan mantan Setiausaha Politik kepada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah. Selain itu, YB Datuk Hajah Siti Aminah juga merupakan Ketua Wanita United Sabah Islamic Association dan Timbalan Presiden Persatuan Bersatu Bisaya Sabah.

 

5. Seluruh warga Kementerian Perladangan dan Komoditi mengalu-alukan kedatangan YB Datuk Hajah Siti Aminah sebagai Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi.

 

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
12 DISEMBER 2022

SIARAN MEDIA
YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH YUSOF MEMULAKAN TUGAS SEBAGAI
TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERLADANGAN DAN
KOMODITI
_________________________________________________________

 

1. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof menyempurnakan sesi mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermulanya tugas rasmi di Kementerian Perladangan dan Komoditi, di bangunan Kementerian Perladangan dan Komoditi, Presint 2, Putrajaya pada jam 8.30 pagi, hari ini.


2. Sesi mengimbas kad perakam waktu beliau telah disaksikan bersama oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Encik Mad Zaidi bin Mohd Karli; Setiausaha Bahagian Kanan (SUBK) Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa (PSA), Encik Pubadi Govindasamy dan Ketua Komunikasi Korporat, Puan Nor Ratna Sridewi binti Mokhtar.


3. YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof turut menghadiri mesyuarat kali pertama bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian. Dalam ucapannya, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof menyeru agar semua pihak terutamanya penjawat awam memainkan peranan masing-masing dalam membantu meningkatkan sektor komoditi negara. Sekaligus, merapatkan jurang pembangunan antara
Semenanjung dan Malaysia Timur.


4. Memandangkan krisis ekonomi pada tahun hadapan dijangka akan menjadi cabaran kepada negara, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof turut menekankan bahawa Kementerian Perladangan dan Komoditi ini memainkan peranan penting dan memberikan sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.


5. YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 3 Disember 2022 lalu semasa Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia bagi barisan Kabinet negara yang
baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia ke-10, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.


6. Beliau berasal dari Sarawak dan merupakan Ahli Parlimen bagi kawasan P.194 Petrajaya selama empat penggal berturut-turut sejak tahun 2004. YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof merupakan mantan Menteri Kanan Kerja Raya semasa Kabinet terdahulu.


7. Seluruh warga Kementerian Perladangan dan Komoditi mengalu-alukan kedatangan YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
05 DISEMBER 2022