SIARAN MEDIA
YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH YUSOF MEMULAKAN TUGAS SEBAGAI
TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERLADANGAN DAN
KOMODITI
_________________________________________________________

 

1. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof menyempurnakan sesi mengimbas kad perakam waktu sebagai tanda bermulanya tugas rasmi di Kementerian Perladangan dan Komoditi, di bangunan Kementerian Perladangan dan Komoditi, Presint 2, Putrajaya pada jam 8.30 pagi, hari ini.


2. Sesi mengimbas kad perakam waktu beliau telah disaksikan bersama oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi), Encik Mad Zaidi bin Mohd Karli; Setiausaha Bahagian Kanan (SUBK) Bahagian Perancangan Strategik dan Antarabangsa (PSA), Encik Pubadi Govindasamy dan Ketua Komunikasi Korporat, Puan Nor Ratna Sridewi binti Mokhtar.


3. YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof turut menghadiri mesyuarat kali pertama bersama Pengurusan Tertinggi Kementerian. Dalam ucapannya, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof menyeru agar semua pihak terutamanya penjawat awam memainkan peranan masing-masing dalam membantu meningkatkan sektor komoditi negara. Sekaligus, merapatkan jurang pembangunan antara
Semenanjung dan Malaysia Timur.


4. Memandangkan krisis ekonomi pada tahun hadapan dijangka akan menjadi cabaran kepada negara, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof turut menekankan bahawa Kementerian Perladangan dan Komoditi ini memainkan peranan penting dan memberikan sumbangan besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.


5. YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof telah mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada 3 Disember 2022 lalu semasa Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia bagi barisan Kabinet negara yang
baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri Malaysia ke-10, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim.


6. Beliau berasal dari Sarawak dan merupakan Ahli Parlimen bagi kawasan P.194 Petrajaya selama empat penggal berturut-turut sejak tahun 2004. YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof merupakan mantan Menteri Kanan Kerja Raya semasa Kabinet terdahulu.


7. Seluruh warga Kementerian Perladangan dan Komoditi mengalu-alukan kedatangan YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi.


UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
05 DISEMBER 2022