KENYATAAN MEDIA
HARGA PASARAN MINYAK SAWIT MENTAH DIJANGKA MELEMAH SEMENTARA,
KPPK FOKUS KEPADA KEMAMPANAN JANGKA PANJANG
1. Harga minyak sawit Malaysia yang melemah kebelakangan ini sememangnya sudah dijangkakan memandangkan harga pasaran saham dunia juga telah menyusut, susulan kenaikan kadar faedah didorong situasi inflasi yang menimbulkan kebimbangan bahawa ia boleh mencetuskan kegawatan ekonomi.
2. Walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) tidak lagi berada di kemuncaknya yang mencecah lebih RM8,000 satu tan metrik (MT) pada Mac 2022 berikutan konflik Rusia-Ukraine menjejaskan bekalan minyak bunga matahari, Kenanga Research menjangkakan harga MSM sebagai 'masih baik' pada purata RM4,50O MT pada 2022 dan RM4,000 MT pada 2023.
3. Sektor perladangan sawit juga dibebani kos pengeluaran yang melonjak disebabkan peningkatan harga baja, upah buruh dan perbelanjaan pengangkutan, namun keseluruhannya, semua kos berkaitan dijangka berada dalam lingkungan RM2,000 hingga RM2,500 setiap MT, sekali gus masih mampu menjana margin huluan yang sihat bagi sektor perladangan ini.
4. Ketika ini, kedua-dua minyak sawit (dengan sekitar 35% penguasaan pasaran) dan minyak kacang soya (sekitar 25% penguasaan pasaran), kekal sebagai minyak makan utama di pasaran dunia walaupun pengeluaran minyak sawit sudah melepasi tahap kemuncaknya, manakala pengeluaran kacang soya Amerika Syarikat bagi musim 2022 pula baru bermula.
5. Dalam aspek ini, peladang sawit - sama ada syarikat besar atau pekebun kecil - mesti mempunyai keyakinan terhadap tanaman 'emas' ini memandangkan permintaan terhadap minyak makan masih mencatatkan pertumbuhan setara selama berdekad, disokong pula dengan pertambahan populasi penduduk dunia, faktor kemewahan - dan sehingga takat tertentu - perubahan gaya hidup manusia kepada gaya hidup yang lebih moden.
6. Secara purata, penggunaan minyak sawit tumbuh 3% dari tahun ke tahun atau 'yearon-year (y-o-y)’ sepanjang dekad terbaharu, manakala purata penggunaannya sepanjang 30 tahun pula lebih tinggi, iaitu pada 3.6%, menurut laporan Kenanga Research bertarikh 28 September 2022 yang turut mengulangi penarafan 'overweight' terhadap sektor ini.
PROSPEK JANGKA PANJANG YANG UTUH
7. Pandemik COVID-19 sememangnya memberi impak negatif kepada aktiviti ekonomi, terutama sektor hospitaliti, pengangkutan dan pelancongan, sekali gus menyebabkan permintaan terhadap minyak sawit menyusut kepada sekitar 1% y-oy sejak 2020.
8. Bagaimanapun, laporan pasaran menjangkakan permintaan kembali mencatatkan pertumbuhan 3% berikutan ekonomi dunia pasca pandemik kini mula dibuka kembali dari semasa ke semasa.
9. Walaupun timbul kebimbangan permintaan menguncup atau menurun lebih teruk berikutan ekonomi global yang perlahan dan pada masa sama dunia dibelenggu inflasi, kenaikan kadar faedah serta kerisauan terhadap kegawatan, semua itu dijangka sementara kerana China, iaitu pengguna utama minyak sawit dijangka melonggarkan secara berperingkat dasar sifar COVID-19 dilaksanakannya selama ini yang turut menjejaskan penggunaan dan permintaan terhadap komoditi berkenaan.
10.Umum sedia maklum, produk makanan serta bahan api adalah barangan keperluan asas yang mendapat permintaan utama dan ia adalah bahan yang pasti habis digunakan. Selain itu, Indonesia - pengeluar minyak sawit dan biodiesel terbesar - sudah melaksanakan semula ujian penggunaan biodiesel B40 sejak penghujung Julai lalu selepas tertangguh selama lima bulan. Indonesia ketika ini menggunakan biodiesel B30 campuran (blend) dengan perancangan selepas ini adalah menggunakan B40 campuran (mix), sama ada dalam tahun ini atau 2023.
11.Sesuatu yang sangat menggalakkan adalah sektor perladangan Malaysia kini sudah berkembang dengan penggiat-penggiat industri sudah menerima pakai prinsip tadbir urus alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) dalam operasi harian mereka.
12.Sebagai bukti, kira-kira 16 juta MT minyak sawit Malaysia sudah mendapat penarafan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), selain memenuhi beberapa standard tinggi ESG bagi hasil ladang yang dikeluarkan di seluruh dunia.
13.Sebagaimana hasil kajian Kenanga Research, kumpulan-kumpulan perladangan yang diurus tadbir dengan baik turut mengambil inisiatif sendiri dan tidak berdiam diri, dengan berusaha mendapatkan hasil minyak sawit yang lebih tinggi mencecah sehingga 6 MT per hektar atau kira-kira 10 kali ganda lebih tinggi berbanding hasil tanaman minyak makan yang lain.
14.Dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada 7 Oktober nanti, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menyarankan anjakan asas dalam strategi dengan memberi tumpuan kepada pertumbuhan intensif, didorong oleh hasil dan pelaburan sejajar dengan penekanan terhadap aspek kemampanan oleh negara-negara pengeluar utama dan pasaran pengguna yang semakin meningkat.
15.Sebagai tambahan, KPPK juga sudah melancarkan kempen 'Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit' demi menyokong usaha meningkatkan kesedaran mengenai kualiti minyak sawit Malaysia, selain membidas tuduhan palsu dan maklumat tidak tepat yang dilemparkan pihak tertentu terhadap minyak 'emas' negara.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
3 OKTOBER 2022
SIARAN MEDIA
KPPK TERUS SOKONG INDUSTRI BAGI MENJAMIN KEMAMPANAN
SEKTOR SAWIT MALAYSIA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin hari ini telah mengadakan lawatan rasmi ke Kilang Delima Oil Products Sdn. Bhd. dan FGV Kernel Products Sdn. Bhd. Berhad di Pasir Gudang, Johor.
2. FGV Holdings Berhad merupakan antara pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar di dunia yang menyumbang kepada 15 peratus daripada jumlah pengeluaran tahunan MSM Malaysia. Bahagian hiliran di FGV menyokong operasi huluan dengan menyediakan jaminan pengambilan MSM yang ditapis menjadi pelbagai produk berasaskan minyak sawit seperti oleokimia, biodiesel, minyak, lemak dan fast moving consumer goods (FMCG).
3. Delima Oil Products Sdn. Bhd. (DOPSB) merupakan anak syarikat FGV Holdings Berhad yang telah memulakan operasi pada tahun 2000 dan terus berkembang serta menguasai tiga (3) operasi utama iaitu melibatkan penapisan minyak sawit, pengilangan produk minyak sawit diproses, pengedaran produk perindustrian dan pengguna. Produk dan jenama DOPSB kini dikenali di pasaran utama seperti ASEAN, Timur Tengah, Asia Barat, Eropah dan Afrika Barat. Antara jenama keluaran DOPSB ialah Saji, Adela, Seri Pelangi dan Tiga Udang. FGV Kernel Products Sdn. Bhd. (FGVKPSB) pula telah diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 dan perniagaan terasnya melibatkan pemprosesan isirung sawit (PK) untuk menghasilkan Crude Palm Kernel Oil (CPKO) dan Palm Kernel Expeller (PKE).
4. Sumbangan eksport minyak dan produk berasaskan sawit kepada pendapatan eksport negara telah meningkat kepada RM108.52 bilion pada tahun 2021 berbanding RM73.33 bilion pada tahun 2020. Sumbangan subsektor sawit kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2021 juga bernilai RM44.98 bilion atau mewakili 53.38 peratus daripada keseluruhan sumbangan KDNK sektor agrikomoditi negara.
5. Kementerian sentiasa menyokong penglibatan industri dalam memperkasa pengeluaran eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit untuk memastikan sektor agrikomoditi terus
mencatat sumbangan KDNK yang memberangsangkan bagi menggalakkan pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
28 September 2022
SIARAN MEDIA
HAB PERDAGANGAN KOKO DI JOHOR BAKAL TINGKAT
KDNK NEGARA
________________________________________________________________
1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng pada hari ini telah menyempurnakan Majlis Perasmian Pengisytiharan Hab Perdagangan Koko Malaysia di Forest City Hotel, Gelang Patah, Johor.
2. Kajian Kemungkinan (Feasibility Study) mewujudkan Hab Perdagangan Koko di Malaysia telah bermula pada tahun 2019 dan 2021. Kajian ini merupakan salah satu usaha dan komitmen Lembaga Koko Malaysia (LKM) dalam menilai lanskap semasa sektor hiliran industri koko di Malaysia yang sedang giat beroperasi khususnya di negeri Johor. Kajian telah dilaksanakan secara libat urus dengan kementerian dan agensiagensi terlibat seperti Kementerian Pengangkutan (MOT), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ).
3. Hab Perdagangan Koko ini diwujudkan untuk memudahkan proses pengimportan biji koko dan membantu dalam menyelesaikan isu-isu kualiti yang boleh menyebabkan penahanan konsainan. Penubuhan hab diasaskan daripada model hab perdagangan koko yang telah beroperasi di luar negara seperti Pelabuhan Amsterdam di Netherlands dan Pelabuhan Singapura.
4. Terdapat dua (2) lokasi yang diisytiharkan sebagai Hab Perdagangan Koko iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Pasir Gudang (PPG) di Johor. Kedua-duanya mempunyai kemudahan infrastruktur yang lengkap, tenaga kerja yang mahir dan mencukupi serta jaringan domestik yang sangat baik.
5. Bersempena dengan majlis ini juga, sebuah Buku Garisan Panduan Pengimportan Biji Koko Kering ke Malaysia yang diterbitkan oleh LKM turut dilancarkan. Buku ini bakal menjadi panduan utama kepada pihak berkuasa dan pihak industri khususnya dalam pengurusan pengimportan biji koko kering.
6. Selain itu, satu kerjasama melalui ‘Memorandum of Understanding’ (MoU) telah dimeterai di antara LKM dan Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ). Kerjasama ini juga diyakini mampu membangunkan ekonomi negara. Bagi tempoh bulan Januari hingga Jun tahun 2022 sahaja, kadar nilai eksport bagi koko dan produk berasaskan koko telah mencecah RM4.4 billion, iaitu meningkat lebih 11 peratus berbanding nilai eksport pada tempoh yang sama tahun 2021.
7. Kerajaan menerusi Kementerian dan LKM akan memastikan sektor hiliran koko terus berdaya saing serta lebih produktif untuk menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejajar dengan sasaran yang ditetapkan dalam Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030)
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
26 SEPTEMBER 2022
SIARAN MEDIA
KEMENTERIAN KOMITED PERTINGKAT KESEDARAN DAN
SOKONGAN AWAM TERHADAP INDUSTRI KOKO NEGARA
1. Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Hajah Zuraida Kamaruddin pada hari ini telah menyempurnakan program Lawatan Kerja ke Muzium Coklat (Choclate Museum) milik DR Group Holdings Sdn. Bhd. (DR Group) yang terletak di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor Darul Ehsan.
2. Muzium tersebut dilengkapi dengan kemudahan yang terkini. Chocolate Labs, menyediakan peluang kepada pengunjung dan orang awam merasai pengalaman untuk membuat coklat. Projek ini turut memanfaatkan kerjasama DR Group dengan Lembaga Koko Malaysia (LKM) dalam menjalankan kursus satelit asas pembangunan usahawan coklat buatan tangan terutamanya untuk warga negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Perak.
3. DR Group bersama LKM akan melaksanakan tiga (3) projek strategik usahasama dalam masa terdekat untuk memacu pembangunan industri koko dan coklat di Malaysia. Melalui perjanjian persefahaman antara kedua-dua belah pihak yang telah dimeterai pada 22 Jun 2022, DR Group dan LKM telah bersetuju untuk bekerjasama dalam beberapa perkara termasuk pembuatan blok coklat dengan mengoptimakan penggunaan mesin milik LKM untuk menyokong Koperasi Kluster Koko di Semenanjung Malaysia. Selain itu, kerjasama ini dapat menyediakan bekalan blok coklat yang berdaya maju untuk menyokong usahawan-usahawan coklat bimbingan LKM di masa hadapan.
4. Muzium coklat yang berkonsepkan 3E iaitu ‘Pendidikan’ (Education), Pengalaman’ (Experience) dan ‘Keseronokan Membeli Belah’ (Enjoyable Shopping) menyediakan paparan menarik yang bersifat interaktif dan menyeronokkan untuk memberi pengalaman pembelajaran terbaik untuk semua peringkat umur tentang koko dan coklat. Kini, Muzium Coklat menerima lebih dari 2 juta pengunjung atau pelawat sejak pembukaan muzium semenjak tahun 2013.
5. Kementerian menyokong inisiatif yang dilaksanakan oleh LKM bersama DR Group dalam melaksanakan projek strategik bagi pembangunan industri koko. Industri koko mempunyai potensi untuk berkembang dan menjana pendapatan ekonomi negara. Kementerian juga sentiasa komited untuk membantu dan melahirkan usahawan-usahawan industri koko melalui kerjasama seumpama ini, menerusi Program Pembangunan Usahawan Coklat dan Program Promosi Koko dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas.
KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
23 September 2022
KENYATAAN MEDIA
KEMAMPANAN HASIL AGRIKOMODITI NEGARA TERJAMIN
DENGAN DASAR AGRIKOMODITI NEGARA 2021-2030 (DAKN 2030)
1. Tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik COVID-19 sepanjang tahun 2020-2021 menyaksikan situasi di luar jangkaan apabila pertumbuhan pesat
keluaran agrikomoditi negara menunjukkan peningkatan keseluruhan sebanyak 64 peratus berbanding tempoh prapandemik 2018-2019.
2. Walaupun negara berhadapan pelbagai cabaran berikutan pandemik COVID-19, nilai eksport produk agrikomoditi Malaysia kekal kukuh, malah mencatatkan pertumbuhan pesat sepanjang
tempoh empat tahun daripada RM127.9 bilion pada 2018 kepada RM128.5 bilion (2019) dan meningkat kepada RM151.3 bilion (2020) serta RM209.6 bilion (2021).
3. Untuk mengekalkan potensi dan pertumbuhan industri agrikomoditi Malaysia, Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) telah dilancarkan pada bulan Mac 2020 untuk terus
memacu perkembangan sektor agrikomoditi negara di landasan yang lebih mampan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran. Hal ini selaras dengan norma baharu dan peningkatan penggunaan teknologi digital dalam era pasca COVID-19.
4. Intipati DAKN 2030 adalah bertunjangkan lima teras utama, iaitu
(i) kemampanan;
(ii) produktiviti;
(iii) ciptaan bernilai tambah;
(iv)pembangunan pasaran; dan
(v) keterangkuman.
5. Berikut adalah enam produk agrikomoditi yang memperoleh manfaat secara langsung daripada pelaksanaan DAKN 2030;
(i) Minyak sawit: Usaha akan dilaksanakan untuk meningkatkan eksport dan mengurangkan stok simpanan melalui pengecualian duti eksport untuk minyak isirung sawit mentah (CPKO) dan minyak isirung sawit proses (RBDPKO) kepada syarikat-syarikat yang memenuhi kriteria permohonan. Hasilnya, harga minyak sawit mentah (CPO) kembali stabil dan pada masa
yang sama harganya menunjukkan trend peningkatan dari tempoh Jun 2020 sehingga kini. Selaras dengan usaha ini, Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) dilaksanakan untuk memperkukuh kemampanan dan kualiti minyak sawit negara serta menerusi usaha mempererat kerjasama strategik dengan Indonesia melalui Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC).
(ii) Getah: Terdapat perancangan untuk memperluaskan penggunaan getah di Malaysia sebagai bahan bagi pembinaan jalan raya, selain pengeluaran produk-produk baharu berasaskan
getah yang ada nilai tambah seperti alat penahan getaran/gempa seismic bearing, sarung tangan dan pelbagai lagi. Pada masa yang sama, Malaysia akan bekerjasama dengan negara-negara pengeluar getah utama dunia seperti Thailand dan Indonesia di bawah rangka kerja Majlis Getah Tiga Pihak Antarabangsa (ITRC) untuk memperkukuh dan memperkuatkan harga pasaran getah dunia.
(iii) Kayu-kayan: Malaysia akan terus memperluaskan penyertaan dalam pameran-pameran pembinaan, perabot dan kayu-kayan antarabangsa bagi mempromosi dan mendorong permintaan untuk produk kayu-kayan negara dan meningkatkan rantaian hubungan serta peluang perniagaan di negara-negara berkaitan. Pada masa yang sama, negara juga merancang meningkatkan kerjasama di antara agensi-agensi terlibat seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia
Malaysia (SKMM) bagi menggalakkan industri perkayuan memperluas akses dalam pasaran digital melalui penyertaan dalam pameran secara maya, selain menggalakkan usaha pemasaran
melalui platform-platform digital, antaranya seperti AliBaba dan MineBizs.
(iv) Koko: DAKN 2030 melaksanakan Program Khidmat Sokongan Pemasaran Domestik (KSPD) bagi membantu pekebunpekebun koko memasarkan hasil kebun mereka dengan tawaran
harga pembelian yang munasabah, seterusnya mengurangkan peranan orang tengah yang biasanya menawarkan harga tidak berdaya saing. Sebagai tambahan, usaha-usaha akan
dilaksanakan bagi aktiviti-aktiviti promosi secara virtual, malah pihak industri juga sudah menyertai beberapa program pameran secara maya ini melalui sesi webminar, pembentangan secara
zoom, sesi chat secara langsung (live chat) dan platform pemadanan bisnes secara dalam talian.
(v) Lada: Antara usaha yang dilihat berpotensi adalah menjual secara terus hasil lada negara dan produk berkaitan dengannya ke pasaran khusus atau ‘niche market‘ bagi meningkatkan daya saing industri lada negara. Ini melibatkan pengeluaran produk-produk lada dengan nilai tambah seperti lada yang disteril (steriled pepper) atau Mikrokleen dan serbuk lada
untuk pasaran yang mengambil berat aspek keselamatan dan kualiti makanan, selain produk-produk khusus peringkat ladang (‘farmlevel specialty’) seperti lada putih berkrim (LPK). Sehingga kini, Lembaga Lada Malaysia (MPB) telah berjaya menembusi pasaran produk lada bernilai tambah dan pasaran khusus lada, antaranya di Jepun, Sweden, Korea Selatan, China, Taiwan, Hong Kong, Sepanyol dan Polinesia.
(vi) Kenaf: Perancangan awal adalah untuk memperkenalkan ladang-ladang kluster dengan keluasan antara 20 hingga 50 hektar bagi menggantikan ladang-ladang berskala kecil
kurang ekonomik yang diusahakan oleh pekebun kenaf sedia ada. Sebagai tambahan, tumpuan juga diberikan untuk membangunkan Pusat Penyelidikan, Teknologi Inovasi dan Inkubasi Perusahaan Kecil atau ‘Center for Research, Innovation Technology and Incubation Of Small Enterprises ’ (RINTIS) bagi melahirkan usahawan aktiviti pemprosesan serat premium selain meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) kenaf di peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.
6. Kementerian komited untuk terus membawa sektor agrikomoditi negara ke satu tahap yang lebih baik agar pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 akan terus mencatatkan prestasi
cemerlang meskipun berdepan cabaran inflasi yang diramal berlaku pada tahun 2023. DAKN 2030 menjadi garis panduan yang jelas bagi memaksimumkan potensi ekonomi kitaran menerusi biojisim agrikomoditi yang diyakini menjadi benteng memperkasa kedudukan sektor agrikomoditi sebagai nadi pemulihan ekonomi Malaysia.
YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
26 SEPTEMBER 2022
Pelawat Hari Ini : 552 | Pelawat Bulan : 4448