JATA LATES

SIARAN MEDIA
PESTA LADA 2022 SEBAGAI USAHA KEMENTERIAN TINGKAT
PROMOSI PRODUK LADA TEMPATAN


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi YB Datuk Willie Anak Mongin pada 29 Oktober 2022 (Sabtu) telah merasmikan Pesta Lada 2022 di Pusat Beli Belah Plaza Merdeka, Kuching, Sarawak.


2. Acara yang diadakan bermula 28 hingga 30 Oktober 2022 ini bersempena dengan sambutan ke-50 tahun International Pepper Community (IPC) ini turut dapat memperluaskan penggunaan lada sebagai bahan industri untuk meningkatkan pertumbuhan industri hiliran lada negara, memperkenalkan kepelbagaian penggunaan lada dalam masakan dan makanan serta menjana pendapatan sosioekonomi setempat.


3. Menerusi penganjuran Pesta Lada 2022, YB Datuk Willie Anak Mongin turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Lada Malaysia (MPB) dan UNIMAS Holdings Sdn Bhd. Memorandum berkaitan projek IOT Application In The Production Of White Peppercorns.


4. Memorandum berkenaan memfokuskan kerjasama pembangunan sistem penghasilan lada putih yang lebih sistematik serta memfokuskan kepada pemantauan kualiti air rendaman bagi menghasilkan kualiti lada putih bermutu tinggi.


5. Pada masa sama, MPB turut memeterai persefahaman bersama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang bersetuju untuk membangunkan Pemetaan Kawasan Tanaman Lada di Malaysia, bagi mendapatkan peta kawasan tanaman lada yang terkini di seluruh Malaysia.

6. Bahkan, MPB turut berkolaborasi bersama Swinburne University of Technology Sarawak (SUTS) dalam tiga projek penyelidikan, yang bertujuan untuk meningkatkan kecekapan amalan pengurusan penyakit dan penanaman lada serta mempelbagaikan kegunaan lada dalam industri hiliran lada.


7. Pada majlis sama, YB Datuk Willie Anak Mongin turut menyampaikan Skim Pembiayaan Pembangunan Keusahawanan Lada Tahun 2022 kepada tiga (3) penerima iaitu Zias Catering; Sophia Taha Holdings Sdn Bhd dan Leni Spice Sdn Bhd/ Leni Food Manufacturing Sdn Bhd. Skim ini bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran hiliran lada, kualiti dan mempelbagaikan produk keluarkan lada.


8. Bukan itu sahaja, YB Datuk Willie Anak Mongin turut menyampaikan anugerah kepada enam penerima iaitu syarikat MDF Global Sdn. Bhd. (Malaysia) yang menerima anugerah Excellence in Export of Value-Added Pepper Product 2020; Encik Ngerantar Anak Galau yang menerima Best Pepper Farmer 2020; Encik Chai Fook Yau yang menerima Pencalonan Anugerah Kategori Best Pepper Farmer Award 2021 Kategori Kebun Kurang dari 1 Hektar; syarikat Syn Ming Kong Sdn. Bhd. yang menerima Pencalonan Anugerah Kategori Excellence in Export of ValueAdded Pepper Products 2021; syarikat Sophia Taha Holdings Sdn. Bhd. yang menerima Pencalonan Anugerah Kategori Excellence in Manufacturers of Innovative Pepper Products 2021; dan Encik Tuing Anak Panting yang menerima Pencalonan Anugerah Kategori Best Pepper Farmer Award 2021 Kategori Kebun Lebih 1 Hektar. Anugerah IPC 2020 merupakan anugerah tahunan untuk mengiktiraf dan menghargai sumbangan penggiat-penggiat industri lada seperti pekebun kecil / pengeksport / usahawan terhadap industri lada.


9. Industri lada negara merupakan salah satu komponen dalam sektor agrikomoditi yang telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pendapatan eksport negara. Pada tahun 2021, eksport komoditi lada telah menyumbang RM153.7 juta dengan jumlah keseluruhan sebanyak 7.41 ribu tan metrik.


10. Sehingga Ogos 2022, industri lada mencatatkan prestasi membanggakan dengan nilai eksport RM125 juta berbanding RM85.5 juta dalam tempoh sama pada tahun 2021. Destinasi utama eksport lada Malaysia ialah ke negara Jepun, Vietnam, Taiwan, Singapura dan Republik Korea. Usaha untuk meluaskan lagi pasaran eksport lada akan tetap diteruskan ke negara-negara lain seperti di rantau Timur Tengah, Australia dan Eropah. Prestasi ini menunjukkan Malaysia masih dapat mengekalkan momentum dan pertumbuhan yang berdaya saing, tahan dan maju dalam jangka masa panjang.


11. Bagi memastikan usaha ini tercapai, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030) akan terus seiring dalam melaksanakan pembangunan industri lada berdasarkan lima (5) teras utama iaitu Kemampanan, Produktiviti, Penjanaan Nilai, Pembangunan Pasaran dan Keterangkuman.


12. Kementerian yakin dengan adanya hala tuju yang jelas serta pelan strategik yang menyeluruh, industri lada negara berpotensi untuk berkembang dan menyumbang kepada pendapatan negara lantaran senario harga lada yang menunjukkan trend peningkatan semenjak tahun lepas sekaligus dapat memberi keyakinan kepada pemegang taruh lada terhadap sektor komoditi lada di Malaysia.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
29 OKTOBER 2022