SIARAN MEDIA
PERSIDANGAN KEBANGSAAN INDUSTRI KENAF 2022 (PKIK 2022)


PUTRAJAYA: Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), YBhg. Dato’ Mad Zaidi bin Mohd Karli mewakili kementerian telah menyempurnakan Perasmian Persidangan Kebangsaan Industri Kenaf 2022 (PKIK 2022) dengan tema “Kenaf Melestarikan Kehidupan” bertempat di The Everly Hotel, Putrajaya.


Persidangan anjuran Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) ini diadakan setiap dua tahun sekali dan ia merupakan platform perkongsian perkembangan mutakhir industri kenaf di Malaysia di samping menghebahkan maklumat dan memromosikan industri kenaf negara.

Persidangan tersebut melibatkan pelbagai program merangkumi pembentangan kertas kerja, pameran dan jualan pelbagai produk inovasi berasaskan kenaf oleh Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan dan pihak swasta termasuk aktiviti pemadanan perniagaan yang turut diadakan bagi memberi peluang kepada industri untuk memperkembang perniagaan dan pasaran baharu.


Sebanyak sembilan (9) kertas kerja dibentangkan dalam persidangan ini merangkumi pelbagai segmen industri kenaf termasuklah kegunaan produk kenaf dalam pembinaan, perkayuan, biokomposit, pulpa, panel akustik dan sebagainya.


Selain itu, lapan (8) reruai pameran produk kenaf yang disertai oleh Agensi Kerajaan, Institusi Penyelidikan dan pihak swasta turut disediakan. Seramai 300 orang peserta telah menyertai persidangan ini secara fizikal dan 200 orang peserta lagi mengikuti persidangan secara maya terdiri daripada pegawai dan penggiat industri dari Agensi Kerajaan dan Swasta, Institusi Penyelidikan, Institusi Kewangan, Persatuan, Koperasi, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), pekebun kecil dan individu yang berminat dalam industri ini.


Usaha berterusan digiatkan oleh kementerian melalui LKTN agar pelbagai inovasi dapat dihasilkan dan seterusnya meningkatkan keboleh pasaran produk serta meneroka pasaran baharu bagi industri hiliran berasaskan kenaf. Selain itu, KPK juga komited dalam memastikan permintaan produk bernilai tambah berasaskan kenaf yang bersifat mesra alam (environmentally friendly) dapat digunakan secara meluas dalam pelbagai industri.


Bersempena dengan PKIK 2022, tiga (3) pertukaran dokumen perjanjian dan persefahaman juga telah dimeterai iaitu:


i. Perjanjian Kerjasama antara LKTN dengan Agensi Nuklear Malaysia
(ANM) dalam Pembangunan Benih Mutasi Kenaf;
ii. Perjanjian Kerjasama di antara LKTN dengan Universiti Putra Malaysia
(UPM) dalam Pembangunan Bahan Binaan Pengangkutan; dan
iii. Perjanjian Kerjasama di antara LKTN dengan MERC Resources Sdn
Bhd (MRSB) dalam Pengeluaran Pulpa Kenaf.


Penganjuran PKIK 2022 merupakan inisiatif KPK bersama LKTN untuk memastikan industri kenaf terus diberi perhatian sewajarnya bagi memacu potensi pembangunan sektor komoditi kenaf secara progresif.


KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
20 DISEMBER 2022