Kuala Lumpur: Kerajaan memperuntukkan RM53 juta bantuan melalui Skim Tanaman Lada Baharu (STLB), Skim Tanaman Lada Matang (STLM) dan Projek Pengeluaran Lada Premium (PPLP) kepada pekebun dan usahawan lada.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK), Datuk Chan Foong Hin berkata, bantuan itu ditawarkan kepada pekebun yang layak bagi meringankan beban kos ditanggung mereka di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

"Lembaga Lada Malaysia (MPB) giat membantu usahawan dalam pelbagai kursus keusahawanan bagi meningkatkan pembabitan usahawan hiliran yang berdaya saing dalam penghasilan produk hiliran lada.

"Untuk produk hiliran lada ini, kerajaan tidak ketinggalan memberi peruntukan sebanyak RM5 juta," katanya di Majlis Perasmian Penutupan Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia 2024 di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Lada Malaysia, Datuk Anyi Ngau, Ketua Setiausaha KPK, Datuk Razali Mohamad, Timbalan Pengerusi Saraspice Sdn Bhd, Datuk Sri Doris Sophia Brodi, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) KPK, Datuk Abdul Hadi Omar.

Chan berkata, MPB sedang melaksanakan Projek Pengeluaran Lada Premium (PPLP) di bawah RMK-12 dengan peruntukan sebanyak RM3 juta.

"Pada masa yang sama, MPB juga bergiat aktif dalam menerokai potensi pasaran baharu bagi memastikan rantaian permintaan dan bekalan yang berterusan.

"Antara pasaran yang dikenal pasti ialah di negara Skandinavia seperti Sweden dan Finland yang mampu menawarkan harga lebih premium dan beri pulangan lumayan kepada industri lada negara," katanya.

Beliau berkata, bagi STLB sepanjang 2021 hingga April 2024, 4,914 penerima mendapat manfaat berjumlah RM26.6 juta.

"Manakala seramai 8,257 penerima mendapat manfaat daripada STLM dengan nilai bantuan sebanyak RM24.4 juta," katanya.

Menurutnya, Malaysia mengeksport 5.8 ribu tan lada dengan nilai sebanyak RM149 juta pada 2023, sedikit menurun berbanding 6.7 ribu tan dengan nilai RM180 juta pada tahun sebelumnya.

"Namun, statistik pada 2023 menunjukkan penggunaan lada dunia kira-kira 291,000 tan metrik, berbanding kadar penggunaan pada tahun sebelumnya sebanyak 251,000 tan metrik.

"Potensi kegunaan komoditi lada dalam bidang farmaseutikal dan kosmeseutikal adalah pendorong kepada trend peningkatan positif terhadap permintaan lada kebelakangan ini," katanya.

Chan berkata, kerajaan tekad meneruskan sokongan terhadap industri lada negara melalui peruntukan yang diberikan bagi melaksanakan program pembangunan yang memberikan hasil kepada ekonomi.

 

https://www.hmetro.com.my/agro/2024/05/1090586/peruntukan-rm53-juta-bantu-pekebun-usahawan-lada

 

Sumber : Harian Metro