BERITA AGRIKOMODITI 2024

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Kesibukan tugas sebagai individu yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal komoditi negara tidak menghalang Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani turun padang menyantuni dan mengambil berat permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di kawasan.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa dalam perkongsian di akaun X hari ini bertemu dengan peniaga Pasar Wirawati Kg Pandan di sini baru-baru ini bagi mendapatkan maklumat secara terus dan seterusnya membantu mereka.

“Terima kasih kepada semua peniaga yang sudi hadir untuk saya dapatkan ‘direct-input’ bagi menangani isu-isu yang berbangkit,” ujar Naib Presiden UMNO itu lagi.

Terdahulu, Johari juga mengadakan sesi pertemuan bersama masyarakat kawasannya.

“…untuk mereka membuat aduan atau memerlukan bantuan dalam beberapa isu permasalahan setempat,” katanya.

Jelasnya juga, bagi penduduk Parlimen Titiwangsa yang mahu membuat aduan turut boleh terus hadir ke pejabatnya dan pegawai yang bertugas akan sentiasa bersedia untuk membantu.

Pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa berada di Wisma Jozawa, No.39, Jalan 3/76d, Desa Pandan, 55100 Kuala Lumpur beroperasi pada Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa juga boleh dihubungi melalui talian telefon 03-7800 0367. – UMNO ONLINE

 

https://umno-online.my/2024/02/14/johari-turun-padang-dapatkan-input-secara-terus-dari-rakyat/

 

Sumber : UMNO Online

LONDON – Harga koko yang mencecah rekod tertinggi dibimbangi meningkatkan kos untuk sekeping coklat, lapor akhbar Daily Express semalam.

Harga komoditi itu melonjak lebih 40 peratus dalam tempoh sebulan daripada £3,443 (RM20,719) satu tan metrik pada 9 Januari lalu kepada £4,909 (RM29,525) satu tan metrik semalam.

Harga koko melonjak lebih 5 peratus dalam pasaran Ice Exchange London. Pada setahun lalu, harga koko adalah sekitar £1,904 (RM11,457) bagi setiap satu tan metrik.

Syarikat Cdbury pada bulan lalu memaklumkan bahawa pihaknya terpaksa melakukan ‘kenaikan harga, namun secara berhati-hati’.

“Membuat perubahan pada harga produk kami sentiasa menjadi pilihan terakhir, namun, kos merentasi rantaian bekalan kami meningkat secara mendadak.

“Ramuan utama seperti koko dan gula jauh lebih mahal, manakala kos tenaga, pembungkusan dan pengangkutan juga kekal tinggi,” jelas syarikat itu.

Satu kajian dijalankan laman pengguna Which? mendedahkan bahawa kos sekotak coklat dijual pada musim perayaan meningkat sekurang-kurangnya 50 peratus berbanding tahun sebelumnya. – AGENSI

 

https://www.kosmo.com.my/2024/02/10/coklat-mahal-harga-koko-melambung-tinggi/

 

Sumber : Kosmo

MACHANG – Sebanyak 15 buah syarikat perladangan di Kelantan telah menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia bagi menyediakan latihan dan kemahiran kepada Orang Bebas Berlesen (OBB) yang akan mengikuti program pemulihan dalam komuniti.

Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan), Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, kerjasama itu sekali gus akan memberi peluang pekerjaan kepada 750 prospek (penghuni penjara) menjalani kehidupan dalam komuniti sepanjang tahun ini bermula Mac depan.

Menurutnya,setakat ini, 15 syarikat yang menjalinkan kerjasama melalui Program Corporate Smart Internship (CSI) membabitkan industri perusahaan getah di daerah Tanah Merah dan Kuala Krai yang berminat untuk mendapatkan tenaga pekerja daripada prospek.

“Kita telah menjalankan kerjasama dengan 15 buah syarikat itu dalam usaha menangani isu kekurangan tenaga kerja dalam industri getah di negeri ini.

“Jadi, setiap ladang boleh menawarkan 50 peluang pekerjaan kepada prospek. Setakat ini, kita sudah mengumpul 150 prospek di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang untuk menghadiri kursus selama dua hari bersama Lembaga Getah Malaysia ,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kursus Pembukaan Panel Torehan dan Teknik Torehan Getah kepada OBB di PPA Machang, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ibrisam memberitahu, menerusi program itu, majikan akan bertindak sebagai penyelia dan perlu menyediakan kemudahan asrama kepada prospek sepanjang tempoh yang ditetapkan berdasarkan baki hukuman.

Katanya, torehan getah merupakan latihan dan kursus pertama dilaksanakan di Kelantan malah ia mampu dikembangkan ke negeri lain sekiranya mendapat permintaan daripada syarikat perladangan.- KOSMO! ONLINE

 

https://www.kosmo.com.my/2024/02/14/15-syarikat-perladangan-getah-sedia-latihan-kepada-orang-bebas-berlesen/#google_vignette

 

Sumber : Kosmo

PETALING JAYA – Teknologi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerusi formulasi makanan berjaya menghasilkan analog keju mozzarella berasaskan sawit sekali gus produk baik yang boleh digunakan dalam pembuatan piza di Malaysia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, analog keju mozzarella tersebut dirumus menggunakan minyak sawit sebagai pengganti lemak susu dan tidak mengandungi kolesterol dan asid lemak trans.

“Analog ini mempunyai kualiti dan fungsi yang sama seperti keju mozzarella berasaskan susu komersial dan sesuai untuk membuat piza,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut sempena lawatan beliau ke fasiliti penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB di Bangi semalam, termasuk Loji Rintis Marjerin, Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka (ABBC) dan Galeri Sawit MPOB.

Selain analog mozzarella tersebut, beliau turut menyentuh kejayaan MPOB menghasilkan formulasi pelet makanan untuk lembu pedaging yang diharap dapat mengurangkan import makanan haiwan Malaysia sekurang-kurangnya 10 peratus dan membolehkan negara mengeksport produk itu.

“Teknologi yang menggunakan produk sawit itu menawarkan alternatif kepada bahan mentah yang mampu mengurangkan kos pengeluaran makanan haiwan yang tinggi. Percubaan komersial produk tersebut mendapati ia tidak menjejaskan nilai pemakanan produk tersebut.

“Formulasi pelet makanan ini yang mengandungi lebih 80 peratus bahan berasaskan sawit, termasuk dedak isirung sawit, tandan buah kosong dan minyak sawit mentah adalah komponen nutrisi lengkap untuk pertumbuhan lembu pedaging mengikut spesifikasi nutrien,” ujarnya.

Sehubungan itu, Johari berkata, pihak swasta harus terlibat dalam pengkomersialan teknologi tersebut seperti memperhalusinya agar teknologi tersebut dapat digunakan oleh industri.

“Kita boleh meminta pihak swasta seperti FGV dan Sime Darby untuk bekerjasama dengan MPOB untuk melakukan percubaan,” katanya.

Pada taklimat semalam, Johari dan delegasinya diberi taklimat mengenai Penyelidikan dan Pengkomersialan Teknologi MPOB oleh Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Sehingga kini, MPOB berjaya membangunkan 714 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit termasuk formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.

Sebanyak 233 teknologi atau 32.7 peratus daripada teknologi tersebut telah dikomersialkan dan diterima pakai oleh industri dan usahawan tempatan. – KOSMO! ONLINE

 

https://www.kosmo.com.my/2024/02/14/mpob-hasilkan-keju-mozzarella-berasaskan-sawit-tanpa-kolesterol/#google_vignette

 

Sumber : Kosmo

Kuala Lumpur: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya membangunkan 714 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit termasuk formulasi produk makanan dan bukan makanan berasaskan sawit.

Sejumlah 233 teknologi atau 32.7 peratus daripada teknologi ini sudah dikomersialkan dan diguna pakai oleh industri dan usahawan tempatan, kata MPOB sempena dengan kunjungan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani ke pusat penyelidikan dan pembangunannya (R&D) di Bangi, semalam.

Semasa lawatan itu, Johari berkata, sektor swasta seharusnya terbabit dalam pengkomersialan teknologi seperti memperhalusinya agar ia dapat digunakan industri.

"Kita boleh meminta pihak swasta seperti FGV Holdings Bhd (FGV) dan Sime Darby bekerjasama dengan MPOB untuk melakukan ujian percubaan," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, teknologi MPOB dalam menghasilkan formulasi makanan seperti analog keju mozzarella berasaskan sawit memberikan prospek baik kerana produk itu boleh digunakan dalam pembuatan piza di Malaysia.

"Keju mozzarella berasaskan sawit itu dirumus menggunakan minyak sawit sebagai pengganti lemak susu dan tidak mengandungi kolesterol dan asid lemak trans.

"Analog ini mempunyai kualiti dan fungsi yang sama seperti keju mozzarella berasaskan susu komersial dan sesuai untuk membuat piza," katanya.

Selain itu, Johari juga berharap teknologi MPOB yang berjaya menghasilkan formulasi pelet makanan untuk lembu pedaging dapat mengurangkan import makanan haiwan sekurang-kurangnya 10 peratus dan membolehkan negara mengeksport produk terbabit.

Menurut MPOB, teknologi itu yang menggunakan produk sawit menawarkan alternatif kepada bahan mentah dan dapat mengurangkan kos pengeluaran makanan haiwan yang tinggi.

"Ujian percubaan komersial produk berkenaan mendapati ia tidak menjejaskan nilai pemakanan produk berkaitan.

"Formulasi pelet makanan ini yang mengandungi lebih 80 peratus bahan berasaskan sawit, termasuk dedak isirung sawit, tandan kosong dan minyak sawit mentah adalah komponen nutrisi lengkap untuk pertumbuhan lembu pedaging mengikut spesifikasi nutrien," katanya.

Sementara itu, Johari dan delegasinya juga melawat kilang rintis majerin, Pusat Kemajuan Bioteknologi dan Biakbaka (ABBC) dan galeri sawit MPOB.

 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1060748/mpob-bangun-714-teknologi-baharu-industri-minyak-sawit

 

Sumber : Harian Metro