BERITA AGRIKOMODITI 2024

KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli Malaysia menurun 20.9 peratus kepada 21,325 tan pada April 2024 berbanding 26,966 tan yang dicatatkan semasa Mac lalu, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dari tahun ke tahun, pengeluaran getah asli menyusut sebanyak 9.1 peratus kepada 23,460 tan metrik pada April 2023, katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menjelaskan pekebun kecil menyumbang 89.1 peratus pengeluaran getah asli pada April tahun ini, dengan baki 10.9 peratus datang dari sektor ladang.

Daripada segi inventori, jumlah stok getah asli merosot 5.1 peratus kepada 211,119 tan metrik daripada 222,455 tan metrik pada Mac 2024.

Kilang pemprosesan getah memegang 92.4 peratus daripada stok, diikuti kilang pengguna getah (7.5 peratus) dan ladang getah (0.1 peratus).

Mohd Uzir menyatakan bahawa untuk April, eksport getah asli Malaysia adalah sebanyak 47,796 tan, turun 18.9 peratus daripada 58,965 tan yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

China kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli, menyumbang 44.8 peratus daripada jumlah eksport pada April. diikuti India (11.4 peratus), Jerman (8.0 peratus), Emiriah Arab Bersatu (4.3 peratus) dan Pakistan (3.9 peratus).

"Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan, tayar, tiub dan benang getah," katanya.

Sarung tangan merupakan eksport utama dalam kalangan produk berasaskan getah, dengan nilai RM1.09 bilion pada April 2024, jatuh 3.8 peratus daripada RM1.14 bilion pada Mac 2024.

DOSM turut menjelaskan analisis harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat berkurangan 0.9 peratus pada April 2024 kepada 733.58 sen sekilogram, manakala getah sekerap susut 0.1 peratus kepada 639.62 sen sekilogram.

"Harga bagi semua Getah Standard Malaysia (SMR) menurun antara 0.3 peratus sen kepada 0.9 peratus," katanya.

Sementara itu, Malaysian Rubber Board Digest keluaran April 2024 melaporkan trend bercampur-campur dalam pasaran getah Kuala Lumpur, dengan SMR 20 pada mulanya menunjukkan pergerakan menaik sebelum melemah menjelang akhir bulan.

"Pasaran getah asli juga terencat akibat cuaca buruk di negara pengeluar utama.

"Bagaimanapun, sentimen pasaran mendapat sokongan daripada data ekonomi China yang menggalakkan, langkah sokongan berterusan dari China, ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan unjuran pertumbuhan ekonomi yang stabil oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)," tambahnya.

-BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/06/1257447/pengeluaran-getah-asli-negara-merosot-209-peratus-pada-april

 

Sumber : Berita Harian

KUALA LUMPUR, 11 Jun- Pasaran getah Kuala Lumpur menyusut pada Selasa susulan penurunan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga minyak mentah, disebabkan aktiviti pengambilan untung, kata seorang peniaga.

Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh ringgit yang menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan kemeorosotan pengeluaran getah asli tempatan dalam persekitaran bekalan getah yang terhad, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peniaga pasaran sentiasa memantau dengan teliti data ekonomi AS yang penting dan hasil mesyuarat dasar monetari AS minggu ini.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia 20 (SMR 20) turun 9.5 sen kepada 850 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut 2 sen kepada 798 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan bagi fizikal SMR 20 berada pada 843 sen sekilogram, manakala lateks pukal pada 796.50 sen sekilogram. – BERNAMA

 

https://berita.rtm.gov.my/ekonomi/senarai-berita-ekonomi/senarai-artikel/pasaran-getah-ditutup-rendah-jejaki-penurunan-niaga-hadapan-serantau

 

Sumber : Berita RTM

 

PETALING JAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi menjangkakan hasil eksport sarung tangan getah yang akan mencatat pertumbuhan dua angka tahun ini.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, berkata Malaysia meramalkan potensi pertumbuhan permintaan produk getah antara 12 peratus hingga 15 peratus setiap tahun.

"Malaysia mengeksport lebih RM11 bilion nilaisarung tangan getah, dengan 86 peratus daripada jumlah eksport produk lateks dan 58 peratus daripada jumlah eksport keluaran getah.

"Jadi secara asasnya tahun ini kerajaan optimistik dengan eksport sarung tangan getah kerana Malaysia sentiasa menjadi peneraju global untuk industri ini," katanya selepas pra pelancaran Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa (IRGCE) Ke-11, hari ini, di sini.

Foong Hin berkata, kerajaan menjangkakan bahawa selagi negara dapat mengukuhkan kelebihan daya saingnya, Malaysia boleh melakukan yang lebih baik dalam industri ini.

Katanya, dengan mengikuti arah aliran pertumbuhan tahunan, serta kepimpinan daripada Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) dan usaha yang diletakkan oleh semua pihak berkepentingan, Malaysia boleh mencapai pertumbuhan dua angka.

Sementara itu, Presiden MARGMA, Oon Kim Hung, berkata IRGCE ini adalah untuk menghimpunkan pemimpin industri, penyelidik dan penggubal dasar dari seluruh dunia untuk memupuk pertukaran ilmu dan inovasi yang tiada tandingan.

"Ia berfungsi sebagai platform bukan sahaja untuk perdagangan dan industri tetapi juga untuk pembelajaran dan penglibatan untuk beribu-ribu peserta persidangan di mana pada masa ini, sebanyak 550 gerai ditempah oleh 171 pempamer dari 17 negara untuk IRGCE ke-11.

"Kami menjangkakan lebih 12,000 pengunjung untuk menghadiri dewan pameran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada September ini yang bakal diadakan pada 3 September sehingga 5 September 2024," katanya.

Kim Hung berkata, MARGMA kini sedang meneroka penubuhan piawaian industri untuk sarung tangan getah buatan Malaysia dan melaksanakan inisiatif 'Malaysia Sustainable Natural Rubber', termasuk 'Green Gloves' dan pilihan mesra alam yang lain.

"Kami percaya bahawa kerjasama antara pihak berkepentingan dan penggunaan teknologi dengan internet kebendaan (IoT) serta kecerdasan buatan (AI) dapat membuka jalan untuk meningkatkan rantaian bekalan.

"Usaha ini menekankan komitmen kami terhadap amalan lestari dan pemeliharaan alam sekitar," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/06/1255648/hasil-eksport-sarung-tangan-getah-dijangka-catat-pertumbuhan-dua#google_vignette

 

Sumber : Berita Harian

JERANTUT: Lebih 150,000 penoreh yang memiliki keluasan kebun getah kurang dua hektar terjejas pendapatan kerana tidak menikmati harga komoditi yang kini melonjak lebih RM4 sekilogram sejak bulan lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Pahang, Anuar Mustakim berkata, perkara itu berlaku kerana harga getah sekerap yang dibeli pusat pe­ngumpul atau pembeli berlesen tidak selaras di kebanyakan tempat di seluruh negara khususnya di luar bandar.

“Bagi kawasan luar bandar harga getah yang ditawarkan pihak pembeli antara RM3 hingga RM3.50 sahaja, begitu juga kawasan pedalaman ada kala­ngan pekebun cuma memperoleh kurang RM2.50.

“Keadaan ini lebih teruk apabila ada penoreh yang cuma menerima hasil jualan getah kurang RM2 sekilogram khususnya kawasan yang jauh daripada bandar dan pedalaman termasuk perkampungan Orang Asli di Pahang dan tempat-tempat lain,” katanya di sini kelmarin.

Menurutnya, harga tidak sama di beberapa tempat berkemungkinan berpunca daripada pembeli selaku ‘orang tengah’ bagi pihak pengumpul berlesen di kawasan-kawasan tertentu.

“Orang tengah atau sub ini akan mengambil sedikit keuntungan dengan memotong harga berkenaan dengan alasan jarak perhubungan kenderaan atau pengangkutan yang jauh serta kualiti getah sekerap ber­kenaan.

“Cuba bayangkan seorang pekebun yang mempunyai hasil kurang daripada 100 kilogram sudah tentu tidak sanggup memunggah sekerap dalam perjalanan yang jauh ke pusat pengumpul di luar seperti mana dialami oleh pekebun kecil di Pos Lenjang dan Pos Sinderut kawasan Ulu Jelai,” katanya.

Anuar yang juga Ahli Jawatankuasa Kebajikan PKPPM selanjutnya mencadangkan pihak berwajib membuka lebih banyak pusat pengumpul getah yang berlesen di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memberikan kemudahan buat pekebun kecil di situ.

Katanya, kerajaan juga boleh menimbangkan pemberian subsidi bersasar diesel kepada pekebun kecil atau pembeli berlesen di pedalaman dan luar bandar supaya dapat meringankan kos pengangkutan antara beban selama ini menyebabkan kesan pembelian getah sekerap tidak selaras berbanding di pinggir bandar. – UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/berita/2024/06/kecewa-harga-getah-cuma-rm2/

 

Sumber : Utusan

PETALING JAYA: Kementerian Perladangan dan Komoditi optimis hasil eksport sarung tangan getah Malaysia mampu meraih pertumbuhan dua digit tahun ini.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin berkata, tahun lepas, Malaysia mengeksport sarung tangan getah bernilai lebih RM11 bilion.

“Ia disumbangkan oleh 86 peratus daripada jumlah eksport produk susu getah dan 58 peratus daripada jumlah eksport produk getah.

“Pada era selepas pandemik Covid-19, kita telah melihat pertumbuhan kira-kira 12 peratus hingga 15 peratus permintaan setiap tahun dan saya percaya kita boleh mencapai pertumbuhan dua digit tahun ini,” katanya selepas pra-pelancaran Persidangan dan Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa (IRGCE) ke-11.

Malaysia merupakan peneraju global bagi industri sarung tangan getah global dan mencatatkan pendapatan eksport sarung tangan getah sebanyak RM3.3 bilion pada suku pertama 2024.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA), Oon Kim Hung berkata, industri sarung tangan getah telah menunjukkan daya tahan dan fleksibiliti luar biasa dalam menghadapi keadaan global yang mencabar.

“Di sebalik penurunan yang berlaku pada 2023 apabila permintaan terhadap sarung tangan getah merosot ketara berikutan lebihan stok simpanan dan penyusutan ketara harga jualan, kalangan penggiat kita di Malaysia kekal gigih dalam perniagaan dan terus memajukan industri ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MARGMA kini sedang meneroka penubuhan piawaian industri untuk sarung tangan getah buatan Malaysia dan melaksanakan inisiatif ‘Malaysia Sustainable Natural Rubber’, termasuk ‘Green Gloves’ dan pilihan mesra alam yang lain.

“Persatuan percaya kerjasama dengan pihak berkepentingan dan penggunaan teknologi dengan Internet Kebendaan (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI) dapat membuka jalan untuk meningkatkan rantaian bekalan.

“Usaha-usaha ini menekankan komitmen kami terhadap amalan lestari dan pemeliharaan alam sekitar,” ujarnya.

Sementara itu, IRGCE ke-11 2024 bakal diadakan dari 3 September sehingga 5 September 2024.

Kim Hung berkata, seramai 171 pempamer dari 17 negara akan turut serta dan menjangkakan seramai 12,000 pengunjung bakal hadir berbanding 11,000 pengunjung tahun lalu.

Tambahnya, edisi ke-11 bertemakan “Ke Arah Industri Sarung Tangan Getah yang Berkesan, Lestari, dan Inovatif” akan menjadi platform penting untuk inovasi dan kerjasama industri. – UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/ekonomi/2024/06/hasil-eksport-sarung-tangan-getah-malaysia-dijangka-capai-pertumbuhan-dua-digit/#google_vignette

 

Sumber : Utusan