UCAPAN 2023

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF

TIMBALAN PERDANA MENTERI & 

MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI

 

MAJLIS PELANCARAN PROJEK RINTIS MODEL BAHARU INSENTIF

PENGELUARAN LATEKS (IPL) DAN PROJEK RINTIS

KEMAMPANAN GETAH ASLI MALAYSIA / MALAYSIAN

SUSTAINABLE NATURAL RUBBER (MSNR)

 

DEWAN SERBAGUNA KG MENDERANG, SUNGKAI, PERAK

 

ISNIN, 23 OKTOBER 2023

 

Bismillahirrahmanirrahim

Salutasi

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI

  1. Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, Wa bihi Nasta’in. Selawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad SAW, Rasul junjungan dan ikutan sepanjang zaman. Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama hadir pada MAJLIS PELANCARAN PROJEK RINTIS MODEL BAHARU INSENTIF PENGELUARAN LATEKS (IPL) DAN PROJEK RINTIS KEMAMPANAN GETAH ASLI MALAYSIA/ MALAYSIAN SUSTAINABLE NATURAL RUBBER (MSNR) .
  1. Dikesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua hadirin yang hadir khususnya pekebun-pekebun kecil getah, wakil agensi pelaksana dan wakil daripada kilang pemprosesan di negeri Perak ini. Sesungguhnya kehadiran tuan-tuan dan puan-puan membuktikan kesungguhan kita untuk sama-sama melihat masa depan industri getah negara yang cemerlang.
  1. Terima kasih juga kepada warga kerja Lembaga Getah Malaysia (LGM) kerana telah bekerja keras untuk mengaturkan program ini, dan seterusnya memberi peluang kepada saya untuk bertemu dengan warga getah di Negeri Perak terutama di Sungkai.

MODEL BAHARU INSENTIF PENGELUARAN LATEKS (IPL)

Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian,

  1. Kementerian telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif dalam mendukung semangat Malaysia Madani termasuk pengenalan kepada Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL). Program IPL yang diperkenalkan oleh LGM bertujuan untuk membantu pekebun kecil getah untuk menambah pendapatan dengan memberi galakan untuk beralih kepada penghasilan susu getah (lateks) berbanding getah sekerap (cuplump) dan membantu menampung bekalan lateks negara untuk sektor hiliran.
  1. Terkini, Model Baharu IPL telah dirangka sebaiknya bagi memberi lebih banyak manfaat kepada pekebun kecil selaras dengan teras kebersamaan di bawah konsep Malaysia Madani, di mana Kementerian dan LGM komited bagi memastikan pekebun-pekebun kecil getah mengecapi nikmat kemakmuran negara melalui program ini.
  1. Sehubungan itu, saya memberi sokongan sepenuhnya kepada LGM atas inisiatif untuk melaksanakan projek rintis selama satu (1) tahun di beberapa negeri seperti Perak, Kedah dan Saba, dengan anggaran peserta sebanyak 1,500 pekebun kecil dan penyertaan oleh tiga (3) kilang pemprosesan. 
  1. Melalui model baharu IPL ini, model perniagaan bekalan lateks yang lebih berkesan telah dibangunkan dengan memendekkan rantaian pemasaran melalui jualan lateks daripada pekebun kecil secara terus kepada kilang pemproses. Ini sekaligus meningkatkan harga jualan lateks dan pendapatan pekebun kecil getah. Untuk makluman, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM21 juta bagi tujuan pelaksanaan program IPL ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Melalui Projek Rintis IPL, setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai projek ini, akan menerima empat (4) manfaat insentif, iaitu:
  1. Kadar insentif bulanan berjumlah RM2.00 sekilogram (100% kandungan getah kering);
  1. Kadar bayaran Insentif Penyertaan berjumlah RM 200.00 setiap bulan dengan tempoh terhad selama 1 tahun bagi pekebun kecil yang beralih kepada pengeluaran lateks;
  • Kadar bayaran Insentif Galakan berjumlah RM100.00 setiap bulan dengan tempoh terhad selama 1 tahun bagi galakan pekebun kecil yang sedang mengeluarkan lateks; dan
  1. Insentif Produktiviti berdasarkan produktiviti tahunan yang mencapai sasaran produktiviti antara 1,000 ke 1,499 kilogram bagi setiap hektar setahun (Kluster 1) dan 1,500 kilogram ke atas setiap hektar setahun (Kluster 2)
  1. Bagi kilang pemproses lateks yang terpilih pula, mereka akan memperoleh manfaat seperti berikut:
  1. Kebenaran khas diberikan dengan tempoh terhad selama 1 tahun untuk membeli lateks secara bergerak dan secara terus daripada kluster pekebun kecil dalam negeri yang sama;
  1. Pinjaman tiga (3) unit RRIMeter kepada tiga (3) kilang pemprosesan daripada LGM; dan
  • Pinjaman tiga (3) unit kenderaan reka bentuk khas bagi mengangkut lateks (special design vehicle) kepada tiga (3) kilang pemproses daripada LGM.
  1. Untuk makluman, RRIMeter merupakan teknologi LGM yang dapat membantu pekebun kecil dan kilang pemproses dalam penentuan kandungan getah kering (KGK) dengan pantas dan tepat, yang seterusnya akan menentukan harga bagi aktiviti urus jual beli getah di peringkat lapangan.

KEMAMPANAN         GETAH      ASLI MALAYSIA         /         MALAYSIAN SUSTAINABLE NATURAL RUBBER (MSNR)  

  1. Beralih kepada program seterusnya, Malaysian Sustainable Natural Rubber (MSNR) merupakan pengiktirafan kemampanan melalui kaedah kawal selia yang dikuatkuasakan di bawah Akta LGM 1996 (Akta 551) di mana LGM adalah satu-satunya badan yang diberi kuasa dalam melaksanakan pematuhan kepada kemampanan getah asli keluaran tempatan menggunakan lima prinsip MSNR. Pelaksanaan projek rintis ini adalah amat penting bagi membuat penilaian impak dan risiko pematuhan MSNR serta analisis jurang terhadap keberkesanan MSNR dengan fokus terhadap lima (5) prinsip MSNR seperti berikut:

Prinsip 1: Tiada penyahhutanan untuk penanaman getah Prinsip 2:Tiada penerokaan tanah secara haram untuk penanaman getah

Prinsip 3: Kemampanan alam sekitar

Prinsip 4: Pematuhan sosial

Prinsip 5: Kebolehkesanan rantaian bekalan

  1. Projek rintis ini merupakan persediaan LGM bagi industri getah Malaysia ke arah perlaksanaan pematuhan MSNR di peringkat kebangsaan yang bakal melonjakkan Malaysia sebagai peneraju dalam penghasilan getah asli dan produk getah yang mampan di dunia. Sehubungan itu, projek rintis akan dimulakan di beberapa negeri terpilih di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan penyertaan oleh pekebun kecil, peniaga getah, dan kilang pemprosesan.

PERKHIDMATAN KAUNTER BERGERAK LGM [(ONE STOP CENTER(OSC)]

Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian,

  1. LGM sentiasa komited turun ke lapangan melalui pembukaan kaunter bergerak (One Stop Centre atau OSC) di seluruh Malaysia melibatkan kawasan-kawasan pedalaman atau yang jauh dari pejabat LGM. Ia bertujuan bagi menyantuni pekebun kecil dalam mempermudahkan urusan permohonan Permit Autoriti Transaski Getah (PAT-G) dan urusan lain berkaitan LGM. Bagi tempoh Januari hingga September 2023, sebanyak 95 kaunter OSC LGM telah dibuka di Semenanjung Malaysia bagi mempermudahkan urusan permohonan dan pembaharuan PAT-G serta memberi penerangan mengenai bantuanbantuan Kerajaan seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan IPL.
  1. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada LGM kerana telah mengambil satu lagi inisiatif yang amat baik untuk menyantuni pekebun kecil dengan menyediakan kemudahan Van Kaunter Bergerak LGM yang secara rasminya akan menjelajah ke seluruh negara. Dengan adanya van kaunter bergerak ini, ia memudahkan pihak LGM untuk bergerak bertemu dengan pemegang taruh termasuk ke kawasan-kawasan luar bandar, untuk mendekati pekebun kecil dan pelesen getah dalam memberikan perkhidmatan berkaitan, khidmat nasihat dan promosi mengenai teknologi serta inovasi LGM yang terkini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

16. Saya ingin menyarankan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian supaya mengambil peluang ini dan sentiasa berbincang dengan LGM dan agensi-agensi pelaksana kerajaan berkaitan, bagi mendapatkan bimbingan mengenai cara pengendalian lateks, khidmat nasihat dan sebarang jenis bentuk bantuan setelah menyertai  Projek Rintis IPL. 

  1. Semoga dengan penyertaan tuan-tuan dan puan-puan, ia akan menjadi permulaan kepada sesuatu yang besar iaitu penerimaan pekebun kecil getah negara untuk menyertai IPL dan seterusnya beralih kepada menghasilkan susu getah iaitu lateks. Syabas dah tahniah kepada anda semua kerana telah mengambil langkah pertama dengan menyertai Projek Rintis Modek Baharu IPL ini. Semoga Projek Rintis ini mencapai matlamat dengan jayanya seperti yang disasarkan.

 

  1. Selain itu, saya juga percaya Projek Rintis MSNR yang bakal dilaksanakan ini juga akan memberi impak yang besar kepada industri getah khususnya dalam memastikan industri getah Malaysia dapat memenuhi keperluan antarabangsa terhadap kemampanan industri selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (United Nation

Sustainable Development Goal) 2030 oleh Bangsa-Bangsa Bersatu. Saya yakin dengan pelaksanaan MSNR ini, ia juga mampu memastikan produk-produk getah keluaran Malaysia kekal berdaya saing serta dapat mengukuhkan kedudukan dalam rantaian nilai global seiring dengan trend mega (mega trend) yang mencabar.

  1. Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Penganjur serta semua pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis pada hari ini. Semoga segala inisiatif yang dilaksanakan ini akan memberikan manfaat kepada semua pekebun kecil getah dan pelesen dalam membangunkan industri getah negara.

Terima kasih atas sokongan tuan-tuan dan puan-puan semua.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

 

TEKS UCAPAN 

 

YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF

TIMBALAN PERDANA MENTERI 

DAN

MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI

 

SEMPENA

 

HARI BERANDAU DAN 

KOPERASI KLUSTER KOKO SARAWAK  2023

 

30 SEPTEMBER 2023 (SABTU)

PUSAT PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN KOKO,

KOTA SAMARAHAN, SARAWAK

 

Bismillahirrahmanirrahim

Salutasi

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Segulai Sejalai

  1. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua kita dapat bersama-sama hadir pada Majlis Perasmian Hari Berandau dan Koperasi Kluster Koko Sarawak 2023 di Kota Samarahan pada hari ini. Terima kasih juga kerana telah menjemput saya untuk menyempurnakan perasmian majlis ini.
  1. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Lembaga Koko Malaysia (LKM) kerana telah mencapai satu lagi kejayaan dalam menambah aktiviti di pusat LKM Kota Samarahan iaitu melibatkan Komoditi-pelancongan / Agropelancongan. Semoga usaha ini, akan mengukuhkan lagi sumbangan agensi komoditi dalam membangunkan ekonomi di Sarawak.

Hadirin Yang Di Hormati Sekalian,

  1. Koko adalah tanaman komoditi ketiga terbesar penyumbang nilai eksport negara selepas kelapa sawit dan getah. Pada tahun 2022, koko menyumbang sebanyak RM7.8 billion kepada pendapatan eksport negara. Sumbangan ini telah meningkat 13.7 peratus berbanding pada tahun 2021. Dalam tempoh 7 bulan tahun ini (Januari hingga Julai), jumlah pendapatan eksport koko negara telah mencecah RM4.364 bilion. Sasaran pendapatan eksport pada tahun ini adalah RM8 bilion. 
  1. Manakala, keluasan tanaman koko terkini adalah seluas 5,985 hektar dan disasarkan meningkat sehingga 6,335 hektar hasil daripada pembukaan kawasan tanaman koko baharu. Sebanyak 24.6 peratus atau 1,473 hektar tanaman koko diusahakan di Sarawak. Tanaman koko di Sarawak tertumpu di kawasan Kota Samarahan dan Sarikei, manakala bilangan petani koko di Sarawak sehingga kini adalah seramai 1,290 orang.
  1. Untuk makluman semua, jumlah pengeluaran biji koko kering negara pada tahun 2022 adalah sebanyak 493 tan metrik. Sarawak mengeluarkan 20.7 peratus atau 102 tan metrik.
  1. Kompleks Kluster Koko Sarawak atau lebih dikenali sebagai Kompleks SARA CC telah mula beroperasi secara rasmi pada 12 Disember 2021. Ianya merupakan kompleks yang     pertama seumpamanya di Malaysia     yang berkonsepkan koko ‘from farm to table’. Keistimewaan konsep ini merujuk kepada sumber biji koko tempatan diproses sehingga menghasilkan coklat Single Origin Sarawak. 
  1. Program Kluster Koko Sarawak pula melibatkan pembangunan tanaman koko di Samarahan, Asajaya, Sebuyau dan Padawan yang menyumbang biji koko untuk diproses di Kompleks SARA CC ini. Pada tahun 2022, sebanyak 44 tan biji koko telah dibeli oleh koperasi yang bernilai RM316,024. Sebahagian biji koko ini dijual semula ke kilang pengisar dan chocolatier di Semenanjung, manakala sebahagian lagi diproses di Kompleks SARA CC untuk menghasilkan coklat jenama Magnificent Choc.
  1. Operasi kompleks ini dijalankan oleh Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad atau ringkasnya 3KQ. Ianya merupakan koperasi dibawah pimpinan LKM yang dibangunkan untuk meningkatkan pendapatan pemain industri koko Sarawak melalui agihan pendapatan koperasi kepada semua ahli koperasi. Koperasi ini mempunyai seramai 226 orang ahli yang berdaftar sehingga kini.

Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

  1. Koperasi 3KQ melaksanakan beberapa aktiviti yang memberi keuntungan kepada semua ahli-ahlinya, seperti aktiviti jualan coklat Magnificient sebanyak RM69 ribu telah diperolehi oleh koperasi pada tahun 2022. Coklat Magnificient merupakan coklat keluaran Negeri Sarawak. Kitak orang mesti coba. Nang nyaman. 
  1. Selain itu, koperasi 3KQ turut melaksanakan beberapa aktiviti lain seperti jual-beli biji koko kering, pemprosesan biji koko, penghasilan coklat blok dan pralin serta galeri jualan. Pada hari ini, sempena Hari Berandau dan Kluster Koko 2023, akan dirasmikan pula satu lagi produk aktiviti koperasi terbaharu iaitu komoditi-pelancongan / agropelancongan dan education tour.
  1. Aktiviti ini dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Residen Samarahan, Sarawak Tourism Board (STB), Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dan agensi-agensi pelancongan di Sarawak selain daripada pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Oleh itu, pengunjung bukan sahaja dapat merehatkan minda, malah dapat mempelajari mengenai rantaian koko bermula daripada tanaman sehingga ke produk siap coklat. Adalah diharapkan dengan pertambahan aktiviti terbaru ini mampu meningkatkan kesedaran orang ramai dan pelancong – pelancong yang mengunjungi industri koko di Sarawak.
  1. Tahniah kepada LKM dan Koperasi 3KQ kerana berjaya membangunkan konsep koko farm to table sehingga dikembangkan kepada produk komoditi-pelancongan / agro-pelancongan. Konsep ini bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan koperasi, tetapi turut menyokong ke arah kelestarian industri koko negara. 

Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Hari Berandau dan Koperasi Kluster Koko Sarawak 2023.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum

Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih,

TEKS UCAPAN

YAB DATO' SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF

TIMBALAN PERDANA MENTERI & MENTERI PERLADANGAN DAN

KOMODITI

 

MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN

WORLD BAMBOO DAY MALAYSIA (WBD) 2023

 

AUDITORIUM INSTITUT PENYELIDIKAN PERHUTANAN

MALAYSIA (FRIM), KEPONG SELANGOR

 

21 SEPTEMBER 2023 (KHAMIS)

 

Bismillahirrahmanirrahim

Salutasi

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI

Terlebih dahulu, saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat  Allah S.W.T kerana diizinkan untuk hadir ke majlis sambutan World Bamboo Day Malaysia 2023 (WBD 2023) pada pagi ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), di atas penganjuran sambutan World Bamboo Day Malaysia 2023 buat kali ke12 pada hari ini dan saya amat berbesar hati dijemput untuk menyempurnakan perasmian majlis ini.  

Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

  1. Sektor agrikomoditi telah menjana pendapatan eksport Negara sebanyak RM207.27 bilion pada tahun 2022. Agrikomoditi merujuk kepada aktiviti-aktiviti di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang merangkumi subsektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada serta kenaf. Sungguhpun Negara telah dilanda wabak pandemik Covid19 pada tahun 2020 dan 2021, sektor agrikomoditi masih merupakan penyumbang ke-2 terbesar kepada pendapatan eksport Negara. Ini menunjukkan bahawa sektor ini mempunyai peranan yang besar dalam pembangunan sosio ekonomi Negara. KPK sebagai peneraju sektor agrikomoditi akan terus memberi fokus untuk memantapkan lagi usahausaha pembangunan dan kemajuan sektor ini agar ia dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

 

Hadirin Sekalian,

 

  1. Industri perkayuan sebagai penyumbang ekonomi ke-3 sektor agrikomoditi telah menyumbang pendapatan eksport Negara sebanyak RM25.21 bilion pada tahun 2022. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 10.6% berbanding nilai eksport yang dicatat pada tahun 2021 sebanyak RM22.79 bilion. Produk berasaskan kayu dari Malaysia telah dieksport ke lebih 173 buah negara di seluruh dunia. Antara produk utama berasaskan kayu yang dieksport adalah papan lapis, kayu gergaji dan perabot.

 

  1. Selain daripada kayu, buluh merupakan antara sumber hutan yang penting dan dijadikan sumber alternatif bagi industri perkayuan. Malaysia mempunyai lebih kurang 70 spesies buluh, di mana 45 daripada spesies tersebut merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semulajadi di kawasan hutan. Dari segi taburan penanaman, sebanyak 31% tanaman buluh terdapat di Semenanjung Malaysia, 45% di Sarawak dan 24% didapati di Sabah. Di Semenanjung Malaysia, keluasan taburan tanaman buluh adalah lebih kurang 229,122.57 hektar. Walaupun dari segi sumbangan nilai eksport produk ini tidak besar berbanding produk-produk perkayuan lain, namun ia mempunyai potensi yang sangat besar untuk dimajukan dan digunakan sebagai bahan altenatif kayu untuk pelbagai jenis aplikasi.  

Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

 

  1. Pada tahun 2022, nilai eksport produk buluh berjumlah RM14.46 juta iaitu peningkatan sebanyak 66.1% berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM8.7 juta. Manakala nilai import produk buluh bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM129.18 juta, kebanyakannya diimport dari China, Indonesia dan Vietnam. Pada masa kini, terdapat sebanyak 577 pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan dan arang serta kraftangan. 
  1. Bagi melonjakkan pertumbuhan industri buluh Negara, satu pendekatan yang efektif perlu dilakukan. Transformasi industri buluh perlu dilakukan secara holistik bagi mewujudkan suasana yang kondusif agar peralihan struktur industri ini daripada industri berorientasikan kecilkecilan kepada industri hiliran yang mengeluarkan produk buluh bernilai tambah tinggi dapat dicapai. Saya ingin menggesa agar semua pihak, khasnya yang terlibat secara langsung dengan pembangunan industri ini, untuk mengambil langkah proaktif bagi memastikan pembaharuan berlaku dalam rantaian pengeluaran daripada industri huluan (upstream) sehinggalah ke peringkat hiliran (downstream), baik dari segi penghasilan bahan mentah sehinggalah kepada penghasilan produk akhir (finished products).
  1. Dalam konteks ini, penghasilan produk buluh yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi perlu diutamakan, menerusi inovasi, pembangunan modal insan dan teknologi yang terkini. Aspek ini hendaklah sentiasa diterapkan di kalangan semua pihak seperti usahawan, profesional, penyelidik, perekabentuk, penggubal polisi dan pihak-pihak lain yang berkaitan. Saya yakin, dengan program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya  mengoptimumkan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif dalam industri perkayuan. 

 

Hadirin Sekalian,

 

  1. Bagi memastikan industri buluh di Malaysia terus berkembang maju, KPK menerusi MTIB telah membangunkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030 yang memfokuskan kepada 5 Teras Strategik berikut:

i)      Pengukuhan Dasar dan Perluasan Sumber ii) Peningkatan Modal Insan, Kepakaran dan Kapasiti;  iii)      Pengukuhan Inovasi, Teknologi dan R&D&C; iv)   Pemerkasaan Rantaian dan Jaminan Kualiti; dan

                   v)      Pengukuhan Strategi Pemasaran dan Perkongsian Pintar.

  1. Sukacita dimaklumkan, pelbagai initiatif projek berkaitan buluh dilaksanakan oleh Kementerian menerusi MTIB bagi meningkatkan potensi industri Buluh Negara. Antaranya adalah:
  1. Penubuhan Ladang Buluh contoh yang kini sedang dibangunkan secara bersama antara MTIB dan Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) di Hulu Terengganu. Penubuhan 15 hektar ladang Buluh contoh ini melibatkan penanaman plot kajian daripada spesis Buluh Betung, Beting, Semeliang, Brang, Madu, Lemang dan Semantan. Penubuhan ladang buluh contoh ini akan menjadi sumber rujukan kepada pemain industri bagi melihat potensi Buluh dalam konteks perladangan itu sendiri. Sehingga Ogos 2023, seluas 2 hektar kawasan telah dibangunkan dan proses pembangunan ini dijalankan sehingga tahun 2025;
  1. Program Community Farming Buluh pula telah diluluskan di bawah Projek Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12). Program ini memberikan insentif berupa anak benih buluh dan baja bagi penanaman dalam julat keluasan 1 sehingga 9.9 ekar. Program ini terbuka bagi sesiapa yang berminat di seluruh Malaysia. Sehingga Ogos 2023, sebanyak 75 hektar telah diluluskan daripada 190 hektar permohonan yang diterima untuk program ini. Ia melibatkan agihan anak benih buluh sebanyak 30,625 pokok;
  • Bamboo One Stop Centre di Tadom Hill Resort Banting pula adalah salah satu projek kolaborasi di antara MTIB, Malaysian Timber Council (MTC) dan Tadom Hill Resort Sdn Bhd dalam membangunkan pusat rujukan buluh untuk orang awam. Sehingga Ogos 2023, ianya sedang dalam rangka penyediaan reka bentuk;
  1. Selain itu, MTIB juga bekerjasama dengan Pusat Kraftangan Sabah (PKS) bagi penubuhan model ladang Buluh contoh berkeluasan 120 ekar. Ia akan melibatkan kira-kira 60 peserta daripada kalangan usahawan PKS. Program pertama yang melibatkan kerjasama antara MTIB dan PKS ini akan bermula pada bulan September dan Oktober 2023 ini; dan
  1. Pelaksanaan Projek Pembangunan Produk Non-Wooven daripada gentian Buluh bagi aplikasi bahan perabot dan binaan oleh Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC) MTIB. Ianya bertujuan untuk membangun dan menubuhkan satu sistem lestari pengeluaran komersial papan komposit gentian buluh melalui aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi;
  1. Saya turut difahamkan bahawa Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berkaitan buluh juga dilaksanakan di FRIM merangkumi pelbagai bidang penyelidikan termasuk huluan dan hiliran. Di bawah Projek Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), FRIM telah melaksanakan kajian komprehensif terhadap beberapa spesies buluh terpilih sebagai bahan alternatif kepada industri perkayuan bertujuan untuk pemuliharaan, penggunaan, pengkomersialan dan penghasilan produk bernilai tambah. Selain itu, FRIM telah bekerjasama dengan pelbagai Agensi melalui program pemindahan teknologi seperti kursus, latihan, seminar, pameran dan perkhidmatan perundingan berkaitan buluh. Selain penanaman dan kaedah semaian anak pokok buluh, FRIM menyediakan khidmat nasihat dan kursus dalam aspek pengendalian kaedah rawatan dan pengawetan buluh. FRIM turut menawarkan perkhidmatan ujian penentuan kandungan rambatan kering garam (CCA) dan kandungan boron di dalam produk berasaskan buluh yang telah diawet.

Tahniah kepada MTIB dan FRIM atas kerjasama erat dan segala usaha yang dilaksanakan untuk terus menyokong industri ini.

 

Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

 

  1. Penganjuran Sambutan World Bamboo Day pada tahun 2023 ini merupakan sambutan tahun ke -12, semenjak sambutan pertama yang telah dianjurkan pada tahun 2012. Saya berbangga dengan pencapaian MTIB dan beberapa penganjur bersama, yang mana pada sambutan World Bamboo Day tahun 2012, Malaysia telah mendapat pengiktirafan dari World Bamboo Organization (WBO) sebagai penganjur World Bamboo Day terbaik di peringkat dunia di kalangan 26 buah negara yang menyambutnya. Manakala pada tahun ini pula, MTIB meneruskan kerjasama dengan FRIM untuk menganjurkan sambutan WBD2023 selama 2 hari bermula dari 18 hingga 19 September 2023.
  1. Pada hari ini juga, saya difahamkan sebuah Buku yang telah dibangunkan secara bersama oleh MTIB dan FRIM sejak tahun 2022 berkaitan Industri Arang Buluh di Malaysia akan dilancarkan. Saya berharap kerjasama ini dapat diteruskan lagi dari semasa ke semasa menerusi penerbitan Buku Ilmiah yang mampu memberikan manfaat kepada pemain industri Buluh di Malaysia.
  1. Akhir kata, saya berpandangan bahawa industri buluh adalah industri berpotensi untuk diperkembangkan melalui lebih banyak kajian R&D dan pengkomersialan. Kerjasama yang rapat di antara Agensi Kerajaan dan pihak industri adalah penting dalam memaju dan membangunkan industri buluh. Saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada pihak MTIB, FRIM dan semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung di atas penganjuran majlis pada pagi ini.
  1. Dengan lafaz kalimah Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan World Bamboo Day Malaysia Tahun 2023.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

TEKS UCAPAN PERASMIAN

 

YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA

DAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI 

 

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN PUSAT KORPORAT SALIHIN

DAN

PELANCARAN SALIHIN ACADEMY

 

28 OGOS 2023 (ISNIN)

JAM 10.00 PAGI

LEVEL 25 - 02, MENARA FELDA,

PERSIARAN KLCC, KUALA LUMPUR

Bismillahirrahmanirrahim

SALUTASI

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan

Salam Malaysia MADANI

  1. Terlebih dahulu, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, kita dapat bersama-sama pada hari ini, sempena Majlis Perasmian Pusat Korporat SALIHIN dan Pelancaran Akademi SALIHIN.
  1. Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Kumpulan Firma SALIHIN kerana telah mencapai kejayaan yang membanggakan sejak awal penubuhannya. Komitmen SALIHIN yang tidak berbelah bahagi terhadap kecemerlangan, profesionalisme dan amalan beretika telah membuahkan hasil yang boleh dibanggakan, dan acara pada hari ini adalah bukti kecemerlangan SALIHIN sebagai firma perkhidmatan profesional Bumiputera tempatan yang dihormati dan disegani.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian,

  1. Dalam keadaan ekonomi global yang mencabar pada masa kini dan mengambil kira ketidaktentuan pasaran dunia yang masih melalui proses pemulihan pasca pandemik, kita boleh berbangga apabila ada firma swasta Bumiputera yang berdaya tahan, kalis kegawatan serta bersifat inovatif lagi kreatif dalam memburu peluang-peluang perniagaan. Ciri-ciri inilah yang membolehkan firma SALIHIN bukan sahaja terus beroperasi dalam keadaan yang amat mencabar, malah terus berkembang dan kekal berdaya saing.  
  1. Saya difahamkan sejak penubuhannya pada awal tahun 2002, dengan bermodalkan RM10,000, dengan hanya seorang kakitangan, kini firma SALIHIN menjana perolehan sebanyak RM25 juta setahun dengan tenaga kerja 250 orang professional bertauliah dan pakar dalam pelbagai disiplin termasuk dalam bidang ekonomi, perakaunan, percukaian, kewangan korporat, perundingan syariah, teknologi maklumat serta pengauditan dan jaminan.
  1. Daripada permulaan yang sederhana di sebuah ruang pejabat yang dikongsi, pada hari ini Kumpulan SALIHIN, bukan sahaja mengukir nama di tengah-tengah ibu kota, tetapi juga mempunyai cawangan di Kuching, Johor Bahru dan Gombak. Malah, saya dimaklumkan bahawa di Nairobi, Kenya pun Kumpulan SALIHIN telah membuka sebuah cawangan sebagai langkah permulaan melebarkan sayap di peringkat antarabangsa. Ini adalah pencapaian yang amat membanggakan dan mencerminkan wawasan kepimpinan Kumpulan SALIHIN.
  1. Kini kemuncak kejayaan Kumpulan SALIHIN dapat kita lihat dengan wujudnya pusat korporat baharu yang bakal dirasmikan pagi ini yang sekaligus membentuk sebuah penanda aras kesungguhan Kumpulan SALIHIN untuk menyumbang secara bermakna kepada professionalisme dan pembangunan modal insan di negara kita. Serentak dengan itu, Akademi SALIHIN akan dilancarkan bersama dengan termetrainya memorandum persefahaman dan nota kerjasama bagi perkongsian strategik antara industri dan akademi. Ini juga telah membuka satu lagi lembaran baharu dalam kisah kejayaan Kumpulan SALIHIN.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

  1. Saya amat mengalu-alukan langkah firma SALIHIN untuk mewujudkan Akademi SALIHIN sebagai pelengkap kepada perkhidmatan-

perkhidmatan profesional yang ditawarkan oleh firma ini. Saya kira langkah ini memenuhi tanggungjawab sosial korporat Kumpulan SALIHIN bagi melatih anak bangsa untuk lebih berdaya saing dan berpeluang lebih cerah bagi mendapatkan pekerjaan berpendapatan tinggi. 

  1. Saya dimaklumkan bahawa Akademi ini akan memberi penyelesaian pendidikan dan latihan bagi pembangunan profesional dalam bidang kewangan dan perbankan Islam, pengurusan perniagaan, automasi digital, analitik, penyelesaian perakaunan dan lain-lain bidang yang pastinya akan menambah nilai kepada sesiapa sahaja yang mengikuti latihan tersebut.
  1. Saya amat berharap agar inisiatif ini dapat dimajukan dan dikembangkan lagi bagi manfaat lebih ramai rakyat tempatan khususnya dari kalangan Bumiputera. Saya juga telah dimaklumkan bahawa bermula tahun 2024, Akademi SALIHIN meletakkan sasaran untuk melatih seramai 60 orang penuntut yang akan menyertai program-program pensijilan profesianal setiap tahun merangkumi bidang kelulusan dibawah AAOIFI (Accounting and Auditing Organisation For Islamic Financial Institutions) ; CIBAFI (General Council for Islamic Banks and Financial Institutions) serta IICRA (The International Islamic Centre for Reconciliation and Arbitration). Ini adalah perancangan permulaan yang amat baik dan saya percaya jika dilaksanakan dengan teliti ia boleh membuka ruang untuk kejayaan yang lebih besar, mungkin dengan jalinan kerjasama dengan universitiuniversiti dan pusat-pusat pengajian tinggi tempatan.
  1. Saya kira keseriusan Kumpulan SALIHIN menceburi bidang latihan ini jelas terserlah dengan termetrainya perjanjian yang akan kita saksikan sebentar lagi. Perjanjian Program Rakan Kongsi antara SALIHIN dengan firma digital antarabangsa Diligent Corporation yang berpangkalan di Amerika Syarikat, akan membuka peluang baharu pertumbuhan serta inovasi, sekaligus meletakkan SALIHIN sebagai firma kewangan yang membawa permodenan dan perubahan paradigma di dalam bidang perakaunan, pengauditan dan perundingan korporat melalui pendigitalan dan automasi robotik. Semoga lebih banyak usahasama seperti ini dapat diadakan di masa hadapan, bagi membolehkan Akademi SALIHIN menjadi perintis dalam menawarkan latihan dalam bidang-bidang baharu yang mampu meningkatkan daya saing golongan profesional yang menceburinya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya kasihi sekalian,

  1. Dedikasi teguh firma SALIHIN untuk menegakkan integriti, ketelusan dan profesionalisme dalam penyampaian perkhidmatannya selama dua puluh satu tahun ini adalah resipi kejayaan yang membina keyakinan para pelanggan dan rakan-rakan berkepentingan termasuklah pihak berkuasa undang-undang, agensi pelaksana serta pesaing industri. Ia menjadi contoh yang baik bagi golongan profesional tempatan yang ingin mengembangkan perniagaan mereka. Saya meletakkan harapan tinggi agar firma SALIHIN tidak sekadar berpuas hati dengan kejayaan setakat ini sahaja, tetapi terus meneroka peluang-peluang yang lebih besar melalui penyumberan pakar tempatan berprestasi tinggi di persada antarabangsa sepertimana yang dilakukan oleh golongan profesional dari negaranegara maju yang membantu pemacuan ekonomi mereka melalui eksport perkhidmatan.
  1. Sebagai anak watan Malaysia, saya ingin melihat SALIHIN terus berdiri teguh mendepani era-era mendatang dan menjadi contoh motivasi kepada usahawan muda tempatan bahawa sesuatu kejayaan boleh dicapai, jika kita menetapkan keazaman yang tinggi dan tidak cepat menyerah kalah dalam perjuangan.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Saya Hormati Sekalian,

  1. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan setinggitinggi penghargaan berserta ucapan syabas dan tahniah kepada Tuan Haji (Dr.) Salihin bin Abang yang merupakan seorang anak jati berasal dari Petra Jaya, Kuching, Sarawak, serta seluruh warga firma SALIHIN yang lain atas dedikasi, komitmen dan kesungguhan dalam menjadikan firma ini antara firma tempatan yang paling pesat berkembang.
  1. Saya doakan Kumpulan SALIHIN terus maju jaya, apatah lagi setelah kini bertapak di ‘Segitiga Emas’ Kuala Lumpur. Semoga firma ini terus berada di barisan hadapan dalam menjana perubahan positif untuk kebaikan masyarakat dan terus memberi inspirasi kepada usahawan lain.
  1. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Pusat Korporat SALIHIN Kuala Lumpur dan melancarkan Akademi SALIHIN . Sekian, Salam Merdeka dan semoga Allah Subhanahu Wataala merahmati negara kita dan rakyatnya.

Wabillahitaufik      Walhidayah      Wassalamualaikum      Warahmatullahi

Wabarakatuh

Terima kasih

TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI

YUSOF TIMBALAN PERDANA MENTERI

DAN

MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI

MALAYSIA

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN KEMPEN

#SAYSOMETHINGNICE 2023

TARIKH: 29 OGOS 2023 (SELASA)

 

DI LECTURE THEATRE 12, TAYLOR’S UNIVERSITY LAKESIDE CAMPUS, SUBANG

 

“STAY MEASURED TO MOVE FORWARD”

Do Not Over Do It, Do Not Under Do It. Do It Just Right.

Take action to make Malaysia better Bismillahirrahmanirrahim

Salutasi

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam

Sejahtera, dan Salam Malaysia MADANI

  1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak Zubedy (M) Sdn Bhd yang telah berjaya menganjurkan kempen #SaySomethingNice buat kali ke-10. Saya berasa amat gembira kerana dapat bersama-sama meraikan pelancaran kempen #SaySomethingNice yang akan bermula pada Hari Kebangsaan 31 Ogos  sehingga Hari Malaysia pada 16 September ini.
  1. Terima kasih juga kepada Taylor’s University selaku penaja lokasi bagi majlis pelancaran kempen #SaySomethingNice dan juga sebagai salah satu ahli ‘ Coalition of the Measured’. Saya amat mengalu-alukan penglibatan sebuah lagi pusat pendidikan ternama dalam usaha memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia, khususnya di kalangan pelajar dan anak-anak 
  1. Perpaduan merupakan aset penting negara serta tunjang utama ke arah menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan lebih dinamik pada masa akan datang. Adalah amat penting untuk kita mendidik anak-anak muda dan belia negara dengan rasa cinta kepada tanah air serta menghargai dan meraikan ciri-ciri kepelbagaian kaum, agama dan budaya yang telah sekian lama menjadi amalan di Malaysia.
  1. Bagi pihak Kerajaan, ingin saya tegaskan bahawa kami secara konsisten memikirkan usaha-usaha yang perlu dilaksanakan sejajar dengan kerangka perpaduan baharu yang telah dibangun oleh Kementerian Perpaduan Negara dengan berkonsepkan Perpaduan dalam Kepelbagaian bagi mereliasasikan aspirasi Malaysia MADANI. Kerajaan Malaysia juga telah menubuhkan Majlis Penasihat Perpaduan Negara Malaysia (MPPN), sebuah majlis yang diwujudkan khas untuk menggalakkan perpaduan dan persefahaman dalam kalangan penduduk yang berbilang kaum. Peranan MPPN adalah untuk memastikan perpaduan kekal utuh demi masa depan Malaysia menerusi perbincangan isu-isu perpaduan, usaha-usaha penyatuan nasional (national reconciliation) dari pelbagai sudut, dan mencadangkan kaedah-kaedah penyelesaian terbaik kepada kerajaan. Berpandangan kehadapan, saya yakin MPPN, bersedia untuk terus memainkan peranan penting bagi memupuk sikap saling hormat-menghormati, toleransi, serta bersatu hati demi kemajuan bersama di kalangan rakyat Malaysia. Saya amat berbesar hati dan berbangga dengan inisiatif kempen #SaySomethingNice ini dimana ianya sedikit sebanyak membantu MPPN dalam usaha ke arah membina jambatan bagi menghubungkan masyarakat berbilang kaum. Ini sekaligus mencerminkan kekuatan Malaysia yang kaya dengan budayanya serta keharmonian rakyat dari pelbagai kaum. 

Hadirin sekalian, ladies and gentlemen

  1. I believe that the slogan for #SaySomethingNice 2023 which is Stay MEASURED to move forward’, Do Not Over Do It, Do Not Under Do It. Do It Just Right”, is indeed very well thought and quite timely. It is imperative that all Malaysians always bear in mind that our unity as a nation is far more important than any differences we may have. Yes, we may have divergent political views and we certainly have diversity in culture and religion. But we must never forget that in the end, we are all Malaysians, one nation united under the Malaysian Flag, the Federal Constitution and the Rukun Negara. That is the overarching principle that should bind us all. That principle and our adherence to it, has served us well in the past and should continue to serve us well as we work together to build a worthy future for our country.
  1. Being MEASURED’ as i understand it is to be centred; to be in the middle ground in abeyance of extremism and ignorance. It is that conscious decision to remain moderate and just; to do the right thing for the right objectives, with integrity and sincerity. Throughout our history, Malaysia and Malaysians have been well known for our moderation and our willingness to embrace differences amongst ourselves while remaining respectful and tolerant. Why should we change something that has worked so well for us all this while? Now is the time for us to reflect on who we are, and to go back to the values that have made us strong and resilient as a country. Being MEASURED, is the first thing we all need to be mindful of, as we take our collective leap on to the path to the future that is fraught with challenges, but one that is full of promise if we start the journey right.
  1. I am indeed very pleased to note that one of the key elements in this #SaySomethingNice campaign is the emphasis on our Rukun Negara. As I understand it, for the 17-day duration of the campaign, that is from August 31 to September 16, or in other words from Hari Kebangsaan to Hari Malaysia, the Zubedy group has organised a sub-campaign themed #RukunNegaraSomethingNice specifically focused on a deeper understanding of the principles of Rukun Negara and the virtues that are found within them, especially targeted at the youth. I’m sure it will all go down very well and i look forward to hearing of the positive outcome that the campaign will certainly deliver.

Ladies and gentlemen, tuan-tuan dan puan-puan

  1. Apa yang turut menarik perhatian saya mengenai kempen ini ialah poster #SaySomethingNice yang mampu memupuk rasa kebersamaan dan semangat perpaduan kepada sesiapa yang mengamatinya. Saya ingin menggalakkan semua pihak, khususnya media penerbitan dan siaran untuk turut bersamasama menyokong kempen perpaduan seperti ini, yang boleh dikatakan kempen yang ‘simple’ tetapi berupaya menghasilkan impak yang besar. Sebagai contoh mungkin pihak media boleh pertimbangkan untuk mencetak poster #SaySomethingNice sebagai ‘centre spread ’; seperti mana yang pernah dilakukan oleh penerbitan akhbar seperti The Star, Sinar Harian New Straits Times dan Berita Harian bagi kempen #SaySomethingNice tahun- tahun sebelum ini.
  1. Langkah ini pasti akan menarik lebih perhatian dan meningkatkan lagi kesedaran rakyat Malaysia terhadap kempen positif ini. Bayangkan jika ramai yang mempamerkan poster ini di merata tempat termasuk di rumah dan di pejabat, malah di tempat-tempat kunjungan umum. Saya yakin posterposter ini akan dapat menyemai rasa kebersamaan  dan ikatan yang kuat untuk menyemarakkan semangat perpaduan dalam persekitaran peribadi dan profesional kita. Perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dapat diperjuangkan menerusi kempen #SaySomethingNice.
  1. Usaha Kumpulan Zubedy dalam menyediakan poster- poster ini secara percuma adalah sesuatu yang patut dihargai. Saya menggalakkan semua yang hadir pada hari ini untuk mendapatkan poster tersebut agar ianya boleh dikongsikan bersama  rakan-rakan dan keluarga sama ada secara langsung mahupun secara maya, sekaligus mewujudkan satu gerakan besar untuk menerapkan asas-asas murni kempen ini di kalangan masyarakat umum. 

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Pada pengamatan saya kempen #SaySomethingNice ini adalah platform yang baik untuk menyatupadukan rakyat. Kempen ini juga wajar dipuji kerana memberi inspirasi kepada orang ramai untuk mewujudkan lebih banyak kegiatan yang baik. Saya dimaklumkan di bawah kempen #SaySomethingNice terdapat beberapa projek, yang mana setiap projek tersebut membawa mesej perpaduan melalui aktiviti yang berbeza. Antara projek-projek tersebut adalah;

a. #RukunNegaraSomethingNice – Usaha mendidik belia akan  kefahaman tentang Prinsip dan Cita-cita Rukun Negara.

  1. #PestaWarisanSomethingNice – Projek yang dijalankan untuk memaparkan budaya dan tradisi yang dimiliki oleh rakyat Malaysia
  2. #HeritageSomethingNice – Menggalakkan orang ramai untuk sama-sama menjaga warisan budaya Malaysia dengan menggunakan media sosial sebagai platform penyebaran maklumat supaya lebih dikenali.
  1. Saya dimaklumkan juga terdapat lebih daripada 40 projek dibawah kempen #SaySomethingNice yang dirancang pada tahun ini. Saya harap semua program ini diberikan liputan serta pendedahan sewajarnya agar lebih ramai rakyat akan dapat turut serta dan mendapat manfaat daripadanya.
  1. Saya amat bangga melihat organisasi perniagaan, pusat membeli-belah dan institusi pendidikan seperti Taylor’s University, Rasuah Busters, Kumpulan Media Karangkraf, Jaya One, Kechara Soup Kitchen, Subang Parade, MeTimeBook Café semuanya bersatu hati dan bergabung tenaga bagi menjayakan kempen ini. Itulah cerminan kempen #SaySomethingNice yang meraikan konsep “Perpaduan dalam  Kepelbagaian” – slogan yang harus kita semai dan kita amalkan dengan lebih meluas. 
  1. Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang hadir dalam menyokong usaha kumpulan zubedy demi memupuk semangat perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Saya berharap lebih ramai peserta dapat melibatkan diri secara aktif, positif dan konstruktif di dalam kempen #SaySomethingNice, secara langsung dan secara berterusan, malah terus menggalakan semangat perpaduan setelah selesai tempoh kempen ini kelak. Semoga kempen ini berjalan dengan lancar dan berjaya. Marilah kita semua memberikan komitmen untuk menjadikan perpaduan keutamaan bersama demi kestabilan masa depan negara.
  1. Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus menganjurkan majlis ini. Saya doakan agar kempen yang murni ini mencapai objektif yang dihasratkan, Insya-Allah. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Kempen #SaySomethingNice tahun 2023 dengan tema ‘Stay MEASURED to move forward’.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatulahi Wabarakatuh. Terima kasih.