TEKS UCAPAN 

 

YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF

TIMBALAN PERDANA MENTERI 

DAN

MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI

 

SEMPENA

 

HARI BERANDAU DAN 

KOPERASI KLUSTER KOKO SARAWAK  2023

 

30 SEPTEMBER 2023 (SABTU)

PUSAT PENYELIDIKAN DAN PEMBANGUNAN KOKO,

KOTA SAMARAHAN, SARAWAK

 

Bismillahirrahmanirrahim

Salutasi

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera, Salam Malaysia Madani dan Salam Segulai Sejalai

  1. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua kita dapat bersama-sama hadir pada Majlis Perasmian Hari Berandau dan Koperasi Kluster Koko Sarawak 2023 di Kota Samarahan pada hari ini. Terima kasih juga kerana telah menjemput saya untuk menyempurnakan perasmian majlis ini.
  1. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Lembaga Koko Malaysia (LKM) kerana telah mencapai satu lagi kejayaan dalam menambah aktiviti di pusat LKM Kota Samarahan iaitu melibatkan Komoditi-pelancongan / Agropelancongan. Semoga usaha ini, akan mengukuhkan lagi sumbangan agensi komoditi dalam membangunkan ekonomi di Sarawak.

Hadirin Yang Di Hormati Sekalian,

  1. Koko adalah tanaman komoditi ketiga terbesar penyumbang nilai eksport negara selepas kelapa sawit dan getah. Pada tahun 2022, koko menyumbang sebanyak RM7.8 billion kepada pendapatan eksport negara. Sumbangan ini telah meningkat 13.7 peratus berbanding pada tahun 2021. Dalam tempoh 7 bulan tahun ini (Januari hingga Julai), jumlah pendapatan eksport koko negara telah mencecah RM4.364 bilion. Sasaran pendapatan eksport pada tahun ini adalah RM8 bilion. 
  1. Manakala, keluasan tanaman koko terkini adalah seluas 5,985 hektar dan disasarkan meningkat sehingga 6,335 hektar hasil daripada pembukaan kawasan tanaman koko baharu. Sebanyak 24.6 peratus atau 1,473 hektar tanaman koko diusahakan di Sarawak. Tanaman koko di Sarawak tertumpu di kawasan Kota Samarahan dan Sarikei, manakala bilangan petani koko di Sarawak sehingga kini adalah seramai 1,290 orang.
  1. Untuk makluman semua, jumlah pengeluaran biji koko kering negara pada tahun 2022 adalah sebanyak 493 tan metrik. Sarawak mengeluarkan 20.7 peratus atau 102 tan metrik.
  1. Kompleks Kluster Koko Sarawak atau lebih dikenali sebagai Kompleks SARA CC telah mula beroperasi secara rasmi pada 12 Disember 2021. Ianya merupakan kompleks yang     pertama seumpamanya di Malaysia     yang berkonsepkan koko ‘from farm to table’. Keistimewaan konsep ini merujuk kepada sumber biji koko tempatan diproses sehingga menghasilkan coklat Single Origin Sarawak. 
  1. Program Kluster Koko Sarawak pula melibatkan pembangunan tanaman koko di Samarahan, Asajaya, Sebuyau dan Padawan yang menyumbang biji koko untuk diproses di Kompleks SARA CC ini. Pada tahun 2022, sebanyak 44 tan biji koko telah dibeli oleh koperasi yang bernilai RM316,024. Sebahagian biji koko ini dijual semula ke kilang pengisar dan chocolatier di Semenanjung, manakala sebahagian lagi diproses di Kompleks SARA CC untuk menghasilkan coklat jenama Magnificent Choc.
  1. Operasi kompleks ini dijalankan oleh Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad atau ringkasnya 3KQ. Ianya merupakan koperasi dibawah pimpinan LKM yang dibangunkan untuk meningkatkan pendapatan pemain industri koko Sarawak melalui agihan pendapatan koperasi kepada semua ahli koperasi. Koperasi ini mempunyai seramai 226 orang ahli yang berdaftar sehingga kini.

Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

  1. Koperasi 3KQ melaksanakan beberapa aktiviti yang memberi keuntungan kepada semua ahli-ahlinya, seperti aktiviti jualan coklat Magnificient sebanyak RM69 ribu telah diperolehi oleh koperasi pada tahun 2022. Coklat Magnificient merupakan coklat keluaran Negeri Sarawak. Kitak orang mesti coba. Nang nyaman. 
  1. Selain itu, koperasi 3KQ turut melaksanakan beberapa aktiviti lain seperti jual-beli biji koko kering, pemprosesan biji koko, penghasilan coklat blok dan pralin serta galeri jualan. Pada hari ini, sempena Hari Berandau dan Kluster Koko 2023, akan dirasmikan pula satu lagi produk aktiviti koperasi terbaharu iaitu komoditi-pelancongan / agropelancongan dan education tour.
  1. Aktiviti ini dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Residen Samarahan, Sarawak Tourism Board (STB), Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) dan agensi-agensi pelancongan di Sarawak selain daripada pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Oleh itu, pengunjung bukan sahaja dapat merehatkan minda, malah dapat mempelajari mengenai rantaian koko bermula daripada tanaman sehingga ke produk siap coklat. Adalah diharapkan dengan pertambahan aktiviti terbaru ini mampu meningkatkan kesedaran orang ramai dan pelancong – pelancong yang mengunjungi industri koko di Sarawak.
  1. Tahniah kepada LKM dan Koperasi 3KQ kerana berjaya membangunkan konsep koko farm to table sehingga dikembangkan kepada produk komoditi-pelancongan / agro-pelancongan. Konsep ini bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan koperasi, tetapi turut menyokong ke arah kelestarian industri koko negara. 

Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Hari Berandau dan Koperasi Kluster Koko Sarawak 2023.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum

Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih,