TEKS UCAPAN

YAB DATO' SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF

TIMBALAN PERDANA MENTERI & MENTERI PERLADANGAN DAN

KOMODITI

 

MAJLIS PERASMIAN SAMBUTAN

WORLD BAMBOO DAY MALAYSIA (WBD) 2023

 

AUDITORIUM INSTITUT PENYELIDIKAN PERHUTANAN

MALAYSIA (FRIM), KEPONG SELANGOR

 

21 SEPTEMBER 2023 (KHAMIS)

 

Bismillahirrahmanirrahim

Salutasi

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI

Terlebih dahulu, saya ingin memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat  Allah S.W.T kerana diizinkan untuk hadir ke majlis sambutan World Bamboo Day Malaysia 2023 (WBD 2023) pada pagi ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), di atas penganjuran sambutan World Bamboo Day Malaysia 2023 buat kali ke12 pada hari ini dan saya amat berbesar hati dijemput untuk menyempurnakan perasmian majlis ini.  

Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

  1. Sektor agrikomoditi telah menjana pendapatan eksport Negara sebanyak RM207.27 bilion pada tahun 2022. Agrikomoditi merujuk kepada aktiviti-aktiviti di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang merangkumi subsektor sawit, getah, kayu-kayan, koko, lada serta kenaf. Sungguhpun Negara telah dilanda wabak pandemik Covid19 pada tahun 2020 dan 2021, sektor agrikomoditi masih merupakan penyumbang ke-2 terbesar kepada pendapatan eksport Negara. Ini menunjukkan bahawa sektor ini mempunyai peranan yang besar dalam pembangunan sosio ekonomi Negara. KPK sebagai peneraju sektor agrikomoditi akan terus memberi fokus untuk memantapkan lagi usahausaha pembangunan dan kemajuan sektor ini agar ia dapat mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

 

Hadirin Sekalian,

 

  1. Industri perkayuan sebagai penyumbang ekonomi ke-3 sektor agrikomoditi telah menyumbang pendapatan eksport Negara sebanyak RM25.21 bilion pada tahun 2022. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 10.6% berbanding nilai eksport yang dicatat pada tahun 2021 sebanyak RM22.79 bilion. Produk berasaskan kayu dari Malaysia telah dieksport ke lebih 173 buah negara di seluruh dunia. Antara produk utama berasaskan kayu yang dieksport adalah papan lapis, kayu gergaji dan perabot.

 

  1. Selain daripada kayu, buluh merupakan antara sumber hutan yang penting dan dijadikan sumber alternatif bagi industri perkayuan. Malaysia mempunyai lebih kurang 70 spesies buluh, di mana 45 daripada spesies tersebut merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semulajadi di kawasan hutan. Dari segi taburan penanaman, sebanyak 31% tanaman buluh terdapat di Semenanjung Malaysia, 45% di Sarawak dan 24% didapati di Sabah. Di Semenanjung Malaysia, keluasan taburan tanaman buluh adalah lebih kurang 229,122.57 hektar. Walaupun dari segi sumbangan nilai eksport produk ini tidak besar berbanding produk-produk perkayuan lain, namun ia mempunyai potensi yang sangat besar untuk dimajukan dan digunakan sebagai bahan altenatif kayu untuk pelbagai jenis aplikasi.  

Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

 

  1. Pada tahun 2022, nilai eksport produk buluh berjumlah RM14.46 juta iaitu peningkatan sebanyak 66.1% berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM8.7 juta. Manakala nilai import produk buluh bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM129.18 juta, kebanyakannya diimport dari China, Indonesia dan Vietnam. Pada masa kini, terdapat sebanyak 577 pengusaha yang terlibat secara langsung dalam industri berasaskan buluh di Malaysia merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan, tekstil, perladangan, makanan dan arang serta kraftangan. 
  1. Bagi melonjakkan pertumbuhan industri buluh Negara, satu pendekatan yang efektif perlu dilakukan. Transformasi industri buluh perlu dilakukan secara holistik bagi mewujudkan suasana yang kondusif agar peralihan struktur industri ini daripada industri berorientasikan kecilkecilan kepada industri hiliran yang mengeluarkan produk buluh bernilai tambah tinggi dapat dicapai. Saya ingin menggesa agar semua pihak, khasnya yang terlibat secara langsung dengan pembangunan industri ini, untuk mengambil langkah proaktif bagi memastikan pembaharuan berlaku dalam rantaian pengeluaran daripada industri huluan (upstream) sehinggalah ke peringkat hiliran (downstream), baik dari segi penghasilan bahan mentah sehinggalah kepada penghasilan produk akhir (finished products).
  1. Dalam konteks ini, penghasilan produk buluh yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi perlu diutamakan, menerusi inovasi, pembangunan modal insan dan teknologi yang terkini. Aspek ini hendaklah sentiasa diterapkan di kalangan semua pihak seperti usahawan, profesional, penyelidik, perekabentuk, penggubal polisi dan pihak-pihak lain yang berkaitan. Saya yakin, dengan program penyelidikan, pembangunan dan galakan yang berterusan, industri buluh berupaya  mengoptimumkan penggunaan sumber bahan mentah ini sebagai sumber alternatif dalam industri perkayuan. 

 

Hadirin Sekalian,

 

  1. Bagi memastikan industri buluh di Malaysia terus berkembang maju, KPK menerusi MTIB telah membangunkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030 yang memfokuskan kepada 5 Teras Strategik berikut:

i)      Pengukuhan Dasar dan Perluasan Sumber ii) Peningkatan Modal Insan, Kepakaran dan Kapasiti;  iii)      Pengukuhan Inovasi, Teknologi dan R&D&C; iv)   Pemerkasaan Rantaian dan Jaminan Kualiti; dan

                   v)      Pengukuhan Strategi Pemasaran dan Perkongsian Pintar.

  1. Sukacita dimaklumkan, pelbagai initiatif projek berkaitan buluh dilaksanakan oleh Kementerian menerusi MTIB bagi meningkatkan potensi industri Buluh Negara. Antaranya adalah:
  1. Penubuhan Ladang Buluh contoh yang kini sedang dibangunkan secara bersama antara MTIB dan Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) di Hulu Terengganu. Penubuhan 15 hektar ladang Buluh contoh ini melibatkan penanaman plot kajian daripada spesis Buluh Betung, Beting, Semeliang, Brang, Madu, Lemang dan Semantan. Penubuhan ladang buluh contoh ini akan menjadi sumber rujukan kepada pemain industri bagi melihat potensi Buluh dalam konteks perladangan itu sendiri. Sehingga Ogos 2023, seluas 2 hektar kawasan telah dibangunkan dan proses pembangunan ini dijalankan sehingga tahun 2025;
  1. Program Community Farming Buluh pula telah diluluskan di bawah Projek Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12). Program ini memberikan insentif berupa anak benih buluh dan baja bagi penanaman dalam julat keluasan 1 sehingga 9.9 ekar. Program ini terbuka bagi sesiapa yang berminat di seluruh Malaysia. Sehingga Ogos 2023, sebanyak 75 hektar telah diluluskan daripada 190 hektar permohonan yang diterima untuk program ini. Ia melibatkan agihan anak benih buluh sebanyak 30,625 pokok;
  • Bamboo One Stop Centre di Tadom Hill Resort Banting pula adalah salah satu projek kolaborasi di antara MTIB, Malaysian Timber Council (MTC) dan Tadom Hill Resort Sdn Bhd dalam membangunkan pusat rujukan buluh untuk orang awam. Sehingga Ogos 2023, ianya sedang dalam rangka penyediaan reka bentuk;
  1. Selain itu, MTIB juga bekerjasama dengan Pusat Kraftangan Sabah (PKS) bagi penubuhan model ladang Buluh contoh berkeluasan 120 ekar. Ia akan melibatkan kira-kira 60 peserta daripada kalangan usahawan PKS. Program pertama yang melibatkan kerjasama antara MTIB dan PKS ini akan bermula pada bulan September dan Oktober 2023 ini; dan
  1. Pelaksanaan Projek Pembangunan Produk Non-Wooven daripada gentian Buluh bagi aplikasi bahan perabot dan binaan oleh Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC) MTIB. Ianya bertujuan untuk membangun dan menubuhkan satu sistem lestari pengeluaran komersial papan komposit gentian buluh melalui aktiviti penyelidikan, pembangunan dan inovasi;
  1. Saya turut difahamkan bahawa Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) berkaitan buluh juga dilaksanakan di FRIM merangkumi pelbagai bidang penyelidikan termasuk huluan dan hiliran. Di bawah Projek Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), FRIM telah melaksanakan kajian komprehensif terhadap beberapa spesies buluh terpilih sebagai bahan alternatif kepada industri perkayuan bertujuan untuk pemuliharaan, penggunaan, pengkomersialan dan penghasilan produk bernilai tambah. Selain itu, FRIM telah bekerjasama dengan pelbagai Agensi melalui program pemindahan teknologi seperti kursus, latihan, seminar, pameran dan perkhidmatan perundingan berkaitan buluh. Selain penanaman dan kaedah semaian anak pokok buluh, FRIM menyediakan khidmat nasihat dan kursus dalam aspek pengendalian kaedah rawatan dan pengawetan buluh. FRIM turut menawarkan perkhidmatan ujian penentuan kandungan rambatan kering garam (CCA) dan kandungan boron di dalam produk berasaskan buluh yang telah diawet.

Tahniah kepada MTIB dan FRIM atas kerjasama erat dan segala usaha yang dilaksanakan untuk terus menyokong industri ini.

 

Hadirin Yang Dihormati Sekalian,

 

  1. Penganjuran Sambutan World Bamboo Day pada tahun 2023 ini merupakan sambutan tahun ke -12, semenjak sambutan pertama yang telah dianjurkan pada tahun 2012. Saya berbangga dengan pencapaian MTIB dan beberapa penganjur bersama, yang mana pada sambutan World Bamboo Day tahun 2012, Malaysia telah mendapat pengiktirafan dari World Bamboo Organization (WBO) sebagai penganjur World Bamboo Day terbaik di peringkat dunia di kalangan 26 buah negara yang menyambutnya. Manakala pada tahun ini pula, MTIB meneruskan kerjasama dengan FRIM untuk menganjurkan sambutan WBD2023 selama 2 hari bermula dari 18 hingga 19 September 2023.
  1. Pada hari ini juga, saya difahamkan sebuah Buku yang telah dibangunkan secara bersama oleh MTIB dan FRIM sejak tahun 2022 berkaitan Industri Arang Buluh di Malaysia akan dilancarkan. Saya berharap kerjasama ini dapat diteruskan lagi dari semasa ke semasa menerusi penerbitan Buku Ilmiah yang mampu memberikan manfaat kepada pemain industri Buluh di Malaysia.
  1. Akhir kata, saya berpandangan bahawa industri buluh adalah industri berpotensi untuk diperkembangkan melalui lebih banyak kajian R&D dan pengkomersialan. Kerjasama yang rapat di antara Agensi Kerajaan dan pihak industri adalah penting dalam memaju dan membangunkan industri buluh. Saya sekali lagi ingin mengucapkan tahniah kepada pihak MTIB, FRIM dan semua yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung di atas penganjuran majlis pada pagi ini.
  1. Dengan lafaz kalimah Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Sambutan World Bamboo Day Malaysia Tahun 2023.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.