TEKS UCAPAN

 

YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF

TIMBALAN PERDANA MENTERI & 

MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI

 

MAJLIS PELANCARAN PROJEK RINTIS MODEL BAHARU INSENTIF

PENGELUARAN LATEKS (IPL) DAN PROJEK RINTIS

KEMAMPANAN GETAH ASLI MALAYSIA / MALAYSIAN

SUSTAINABLE NATURAL RUBBER (MSNR)

 

DEWAN SERBAGUNA KG MENDERANG, SUNGKAI, PERAK

 

ISNIN, 23 OKTOBER 2023

 

Bismillahirrahmanirrahim

Salutasi

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI

  1. Alhamdulillahi Rabbil A’lamin, Wa bihi Nasta’in. Selawat dan Salam ke atas Nabi Muhammad SAW, Rasul junjungan dan ikutan sepanjang zaman. Terlebih dahulu marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama hadir pada MAJLIS PELANCARAN PROJEK RINTIS MODEL BAHARU INSENTIF PENGELUARAN LATEKS (IPL) DAN PROJEK RINTIS KEMAMPANAN GETAH ASLI MALAYSIA/ MALAYSIAN SUSTAINABLE NATURAL RUBBER (MSNR) .
  1. Dikesempatan ini juga, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua hadirin yang hadir khususnya pekebun-pekebun kecil getah, wakil agensi pelaksana dan wakil daripada kilang pemprosesan di negeri Perak ini. Sesungguhnya kehadiran tuan-tuan dan puan-puan membuktikan kesungguhan kita untuk sama-sama melihat masa depan industri getah negara yang cemerlang.
  1. Terima kasih juga kepada warga kerja Lembaga Getah Malaysia (LGM) kerana telah bekerja keras untuk mengaturkan program ini, dan seterusnya memberi peluang kepada saya untuk bertemu dengan warga getah di Negeri Perak terutama di Sungkai.

MODEL BAHARU INSENTIF PENGELUARAN LATEKS (IPL)

Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian,

  1. Kementerian telah melaksanakan pelbagai program dan inisiatif dalam mendukung semangat Malaysia Madani termasuk pengenalan kepada Program Insentif Pengeluaran Lateks (IPL). Program IPL yang diperkenalkan oleh LGM bertujuan untuk membantu pekebun kecil getah untuk menambah pendapatan dengan memberi galakan untuk beralih kepada penghasilan susu getah (lateks) berbanding getah sekerap (cuplump) dan membantu menampung bekalan lateks negara untuk sektor hiliran.
  1. Terkini, Model Baharu IPL telah dirangka sebaiknya bagi memberi lebih banyak manfaat kepada pekebun kecil selaras dengan teras kebersamaan di bawah konsep Malaysia Madani, di mana Kementerian dan LGM komited bagi memastikan pekebun-pekebun kecil getah mengecapi nikmat kemakmuran negara melalui program ini.
  1. Sehubungan itu, saya memberi sokongan sepenuhnya kepada LGM atas inisiatif untuk melaksanakan projek rintis selama satu (1) tahun di beberapa negeri seperti Perak, Kedah dan Saba, dengan anggaran peserta sebanyak 1,500 pekebun kecil dan penyertaan oleh tiga (3) kilang pemprosesan. 
  1. Melalui model baharu IPL ini, model perniagaan bekalan lateks yang lebih berkesan telah dibangunkan dengan memendekkan rantaian pemasaran melalui jualan lateks daripada pekebun kecil secara terus kepada kilang pemproses. Ini sekaligus meningkatkan harga jualan lateks dan pendapatan pekebun kecil getah. Untuk makluman, Kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM21 juta bagi tujuan pelaksanaan program IPL ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Melalui Projek Rintis IPL, setiap peserta pekebun kecil getah yang menyertai projek ini, akan menerima empat (4) manfaat insentif, iaitu:
  1. Kadar insentif bulanan berjumlah RM2.00 sekilogram (100% kandungan getah kering);
  1. Kadar bayaran Insentif Penyertaan berjumlah RM 200.00 setiap bulan dengan tempoh terhad selama 1 tahun bagi pekebun kecil yang beralih kepada pengeluaran lateks;
  • Kadar bayaran Insentif Galakan berjumlah RM100.00 setiap bulan dengan tempoh terhad selama 1 tahun bagi galakan pekebun kecil yang sedang mengeluarkan lateks; dan
  1. Insentif Produktiviti berdasarkan produktiviti tahunan yang mencapai sasaran produktiviti antara 1,000 ke 1,499 kilogram bagi setiap hektar setahun (Kluster 1) dan 1,500 kilogram ke atas setiap hektar setahun (Kluster 2)
  1. Bagi kilang pemproses lateks yang terpilih pula, mereka akan memperoleh manfaat seperti berikut:
  1. Kebenaran khas diberikan dengan tempoh terhad selama 1 tahun untuk membeli lateks secara bergerak dan secara terus daripada kluster pekebun kecil dalam negeri yang sama;
  1. Pinjaman tiga (3) unit RRIMeter kepada tiga (3) kilang pemprosesan daripada LGM; dan
  • Pinjaman tiga (3) unit kenderaan reka bentuk khas bagi mengangkut lateks (special design vehicle) kepada tiga (3) kilang pemproses daripada LGM.
  1. Untuk makluman, RRIMeter merupakan teknologi LGM yang dapat membantu pekebun kecil dan kilang pemproses dalam penentuan kandungan getah kering (KGK) dengan pantas dan tepat, yang seterusnya akan menentukan harga bagi aktiviti urus jual beli getah di peringkat lapangan.

KEMAMPANAN         GETAH      ASLI MALAYSIA         /         MALAYSIAN SUSTAINABLE NATURAL RUBBER (MSNR)  

  1. Beralih kepada program seterusnya, Malaysian Sustainable Natural Rubber (MSNR) merupakan pengiktirafan kemampanan melalui kaedah kawal selia yang dikuatkuasakan di bawah Akta LGM 1996 (Akta 551) di mana LGM adalah satu-satunya badan yang diberi kuasa dalam melaksanakan pematuhan kepada kemampanan getah asli keluaran tempatan menggunakan lima prinsip MSNR. Pelaksanaan projek rintis ini adalah amat penting bagi membuat penilaian impak dan risiko pematuhan MSNR serta analisis jurang terhadap keberkesanan MSNR dengan fokus terhadap lima (5) prinsip MSNR seperti berikut:

Prinsip 1: Tiada penyahhutanan untuk penanaman getah Prinsip 2:Tiada penerokaan tanah secara haram untuk penanaman getah

Prinsip 3: Kemampanan alam sekitar

Prinsip 4: Pematuhan sosial

Prinsip 5: Kebolehkesanan rantaian bekalan

  1. Projek rintis ini merupakan persediaan LGM bagi industri getah Malaysia ke arah perlaksanaan pematuhan MSNR di peringkat kebangsaan yang bakal melonjakkan Malaysia sebagai peneraju dalam penghasilan getah asli dan produk getah yang mampan di dunia. Sehubungan itu, projek rintis akan dimulakan di beberapa negeri terpilih di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan penyertaan oleh pekebun kecil, peniaga getah, dan kilang pemprosesan.

PERKHIDMATAN KAUNTER BERGERAK LGM [(ONE STOP CENTER(OSC)]

Tuan-tuan dan puan-puan yang dikasihi sekalian,

  1. LGM sentiasa komited turun ke lapangan melalui pembukaan kaunter bergerak (One Stop Centre atau OSC) di seluruh Malaysia melibatkan kawasan-kawasan pedalaman atau yang jauh dari pejabat LGM. Ia bertujuan bagi menyantuni pekebun kecil dalam mempermudahkan urusan permohonan Permit Autoriti Transaski Getah (PAT-G) dan urusan lain berkaitan LGM. Bagi tempoh Januari hingga September 2023, sebanyak 95 kaunter OSC LGM telah dibuka di Semenanjung Malaysia bagi mempermudahkan urusan permohonan dan pembaharuan PAT-G serta memberi penerangan mengenai bantuanbantuan Kerajaan seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan IPL.
  1. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada LGM kerana telah mengambil satu lagi inisiatif yang amat baik untuk menyantuni pekebun kecil dengan menyediakan kemudahan Van Kaunter Bergerak LGM yang secara rasminya akan menjelajah ke seluruh negara. Dengan adanya van kaunter bergerak ini, ia memudahkan pihak LGM untuk bergerak bertemu dengan pemegang taruh termasuk ke kawasan-kawasan luar bandar, untuk mendekati pekebun kecil dan pelesen getah dalam memberikan perkhidmatan berkaitan, khidmat nasihat dan promosi mengenai teknologi serta inovasi LGM yang terkini.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

16. Saya ingin menyarankan kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian supaya mengambil peluang ini dan sentiasa berbincang dengan LGM dan agensi-agensi pelaksana kerajaan berkaitan, bagi mendapatkan bimbingan mengenai cara pengendalian lateks, khidmat nasihat dan sebarang jenis bentuk bantuan setelah menyertai  Projek Rintis IPL. 

  1. Semoga dengan penyertaan tuan-tuan dan puan-puan, ia akan menjadi permulaan kepada sesuatu yang besar iaitu penerimaan pekebun kecil getah negara untuk menyertai IPL dan seterusnya beralih kepada menghasilkan susu getah iaitu lateks. Syabas dah tahniah kepada anda semua kerana telah mengambil langkah pertama dengan menyertai Projek Rintis Modek Baharu IPL ini. Semoga Projek Rintis ini mencapai matlamat dengan jayanya seperti yang disasarkan.

 

  1. Selain itu, saya juga percaya Projek Rintis MSNR yang bakal dilaksanakan ini juga akan memberi impak yang besar kepada industri getah khususnya dalam memastikan industri getah Malaysia dapat memenuhi keperluan antarabangsa terhadap kemampanan industri selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (United Nation

Sustainable Development Goal) 2030 oleh Bangsa-Bangsa Bersatu. Saya yakin dengan pelaksanaan MSNR ini, ia juga mampu memastikan produk-produk getah keluaran Malaysia kekal berdaya saing serta dapat mengukuhkan kedudukan dalam rantaian nilai global seiring dengan trend mega (mega trend) yang mencabar.

  1. Akhir kata, sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Jawatankuasa Penganjur serta semua pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis pada hari ini. Semoga segala inisiatif yang dilaksanakan ini akan memberikan manfaat kepada semua pekebun kecil getah dan pelesen dalam membangunkan industri getah negara.

Terima kasih atas sokongan tuan-tuan dan puan-puan semua.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.