UCAPAN PERASMIAN

YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH HAJI YUSOF

TIMBALAN PERDANA MENTERI 

DAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI (KPK)  

 

SEMPENA MAJLIS PERASMIAN

PROGRAM SEMBANG SANTAI TREK KOMODITI 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 

BERSAMA PEKEBUN KECIL SAWIT NEGERI SELANGOR

 

AHAD, 6 OGOS 2023

PUSAT KRAFTANGAN ORANG ASLI 

KAMPUNG ORANG ASLI SUNGAI BUMBUN  PULAU CAREY, SELANGOR

 

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum w.b.t., Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani

Salutasi

  1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya jua, kita semua dapat menghadiri Sembang Santai Trek Komoditi Kementerian Perladangan dan Komoditi Bersama Pekebun Kecil Sawit Negeri Selangor, yang merupakan sebahagian daripada pengisian Program Trek Komoditi KPK 2023 di Zon Tengah.
  1. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan di atas komitmen yang diberikan dan kehadiran semua pada hari ini. Kesempatan yang diberikan ini membolehkan saya bersemuka dengan hadirin sekalian yang menjadi tulang belakang kepada industri sawit negara. Saya amat menghargai penglibatan dan sumbangan tuan-tuan dan puan-puan dalam memacu kemajuan industri sawit Malaysia. Terima kasih juga di atas komitmen semua pihak termasuklah pihak media yang turut hadir untuk memberi sokongan dalam membuat liputan program pada hari ini.
  1. Penganjuran program pada hari ini merupakan salah satu pendekatan turun padang Kerajaan untuk bersemuka dengan para pekebun kecil sawit terutamanya di negeri Selangor selain dapat menyampaikan penerangan dan hebahan maklumat mengenai Amalan Pertanian Baik dan juga penerangan mengenai situasi pasaran sawit negara kepada pekebun kecil sawit.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Industri sawit Malaysia akan terus menjadi tonggak ekonomi negara yang berperanan penting dalam mencapai matlamat Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN 2030). Industri sawit menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara yang berkekalan dan menjamin kestabilan dalam sektor agrikomoditi. Melalui pelbagai usaha dan inovasi dalam pengeluaran dan pemasaran, Malaysia telah berjaya memperluas eksport produk sawitnya, menjadikan negara ini salah satu pemain utama dalam pasaran global. Pembangunan industri sawit turut memberi kesan positif kepada aspek sosial dengan menawarkan peluang pekerjaan dan kemakmuran terutamanya di kawasan luar bandar.
  1. Industri sawit Malaysia diramal meneruskan prestasi memberangsangkan dengan didorong oleh permintaan minyak sawit yang dijangka kukuh oleh negara-negara pengguna. Dengan keluasan tanaman sawit Malaysia mencecah 5.6 juta hektar, pembangunan industri sawit semestinya akan memberi banyak manfaat yang signifikan bukan sahaja kepada para pekebun kecil sawit, tetapi juga kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan,

  1. Mutakhir ini, industri sawit negara berdepan dengan pelbagai cabaran yang mana pihak berkepentingan di luar negara sering mengaitkan penanaman sawit sebagai penyumbang kepada kemusnahan hutan, alam sekitar dan ancaman habitat semulajadi hidupan liar. Sehubungan itu, Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan (MSPO) merupakan langkah strategik Kerajaan untuk memastikan pengeluaran mampan minyak sawit Malaysia di samping meningkatkan imej industri sawit negara.
  1. Dalam hal ini, Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang mempergiat usaha untuk meningkatkan lagi penyertaan pekebun-pekebun kecil sawit bagi mematuhi prinsip-prinsip kemampanan Pensijilan MSPO. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru pekebun kecil sawit persendirian untuk mengemas kini maklumat peribadi tuan-tuan dan puan-puan sekalian dengan pihak MPOB dengan kadar segera. Langkah pengemaskinian data adalah penting untuk memastikan MPOB dapat mengawal selia dan menyampaikan inisiatif Kerajaan kepada pekebun kecil sawit dengan pantas. Diharap dengan pengemaskinian data oleh tuan-tuan dan puan-puan akan membantu Kementerian untuk merangka program pekebun kecil sawit yang khusus dan mengikut keperluan semasa sejajar dengan peranan pekebun kecil sebagai rantaian utama industri sawit negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Kerajaan sentiasa memberikan keutamaan kepada kebajikan pekebun kecil sawit dengan pemberian skim-skim bantuan. Ini adalah antara usaha berterusan Kerajaan melalui MPOB untuk meningkatkan pembangunan pekebun kecil sawit persendirian. Antaranya ialah, penyaluran pelbagai bantuan seperti Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) serta Skim Insentif Integrasi Tanaman (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan (ITe).
  1. Skim Insentif Integrasi Ternakan (ITe) yang diperkenalkan ini misalannya, bertujuan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian. Sehingga 30 Jun 2023, sebanyak 25 projek integrasi ternakan telah dilaksanakan yang terdiri daripada 23 projek ternakan ayam dan dua (2) projek ternakan itik di negeri Selangor.
  1. Selain daripada itu, Skim Insentif Integrasi Tanaman (ITa) turut diperkenalkan dengan objektif untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian melalui penggunaan tanah dan sumber semula jadi yang optimum. Program integrasi ini melibatkan tanaman kontan pisang, jagung, tembikai, betik, dan nanas. Selain itu juga, MPOB telah menambah baik skim ini dengan memperkenalkan dua (2) lagi jenis tanaman iaitu serai dan cendawan. Sehingga hari ini, sebanyak tujuh (7) projek tanaman pisang, nanas dan tembikai telah dilaksanakan di negeri Selangor.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

  1. Kerajaan sentiasa merancang dan melaksana pelbagai inisiatif dan usaha untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran sawit, pendapatan serta taraf hidup pekebun kecil sawit. Antaranya, ialah melalui penubuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) yang bertujuan untuk membantu pekebun kecil menjalankan aktiviti ekonomi melalui Amalan Pertanian Baik (GAP) dan jualan buah sawit secara berkelompok terus ke kilang.
  1. Sehingga Jun tahun ini, sebanyak 69 buah KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara dengan 24 daripadanya berada di Semenanjung. Saya telah dimaklumkan bahawa terdapat dua (2) buah KPSM ditubuhkan di negeri Selangor iaitu Kuala Selangor Selatan Berhad dan Kuala Langat Berhad. Justeru, saya menggesa agar pekebun kecil di negeri Selangor supaya menyertai KPSM kerana ia mempunyai banyak faedah.
  1. Kerajaan melalui MPOB memperuntukkan RM200,000 kepada setiap KPSM bagi pembinaan Pusat Timbang. Saya difahamkan, sehingga hujung bulan Jun 2023, sebanyak 69 buah Pusat Timbang KPSM telah siap dibina sepenuhnya di seluruh Malaysia dengan jumlah jualan buah tandan segar (BTS) melebihi 200,000 tan. Purata jualan bagi satu pusat timbang pula adalah sebanyak 340 tan sebulan. Secara amnya, 8,000 orang pekebun kecil mendapat manfaat secara langsung daripada penubuhan KPSM ini, iaitu apabila pesaing-pesaing juga telah meningkatkan tawaran harga kepada pekebun setara dengan tawaran harga KPSM.
  1. Saya amat berharap skim-skim bantuan Kerajaan ini dapat memberi suntikan motivasi dan dorongan kepada pekebun kecil sawit persendirian untuk terus memajukan sektor sawit negara.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian,

  1. Tanaman sawit merupakan agrikomoditi utama negara yang mana pembangunan industri sawit terutamanya di negeri Selangor ini telah memberi banyak faedah iaitu dalam membangunkan ekonomi dan menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Dengan pelbagai bantuan dan insentif yang telah diberikan oleh Kerajaan, saya amat berharap pengeluaran hasil sawit pekebun-pekebun kecil dapat ditingkatkan seterusnya menjana pendapatan yang lebih tinggi. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pekebun-pekebun kecil di negeri Selangor atas usaha-usaha yang telah dijalankan dalam pembangunan industri sawit.
  1. Kerajaan komited melalui MPOB untuk terus mempergiat usaha dalam membangunkan industri sawit negara agar terus mampan, cemerlang dan unggul pada masa akan datang demi kesejahteraan rakyat Malaysia. Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam majlis pada hari ini.
  1. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Program Sembang Santai Trek Komoditi Kementerian Perladangan dan Komoditi Bersama Pekebun Kecil Sawit Negeri Selangor.

 

Wabillahi         Taufik         Walhidayah         Wassalamualaikum

Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sekian, terima kasih.