KUALA LUMPUR: Kerajaan meminta pemaju projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru di sini, menyerahkan semula tanah berkenaan kepada pihak lebih layak jika tidak lagi mampu meneruskan pembangunan di situ.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, beliau mendapati kawasan terbabit masih belum dibangunkan walaupun 95 peratus penduduk di situ sudah berpindah sejak enam tahun lalu.

“Walaupun sudah berkali-kali perbincangan dilakukan dengan pemaju tetapi langsung tidak ada perkembangan berhubung perkara itu kerana mendapati syarikat terbabit kemungkinan berdepan masalah kewangan,” kata beliau pada Majlis Rumah Terbuka Parlimen Titiwangsa di sini semalam.

Oleh itu, kata Johari, beliau mencadangkan pihak tersebut menyerahkan kembali tanah itu kepada syarikat atau agensi kerajaan yang lebih berwibawa untuk menyiapkan projek di situ.

Berikutan projek pemba­ngunan belum dilaksanakan, Ahli Parlimen Titiwangsa itu berkata, bangunan yang berada di situ bertukar menjadi tempat masalah sosial seperti ‘pusat’ menghisap dadah.

“Hari ini kalau kita te­ngok Kampung Sungai Baru, masyarakat sudah pindah dan bangunan pun kosong. Sudah jadi macam pusat orang datang hisap dadah di dalamnya.

“Jadi saya nak desak Jabatan Wilayah Persekutuan dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta pemaju, kalau tak boleh buat agar serahkan semula sebab orang tunggu lama.

“Mereka (penduduk) sudah korbankan rumah mereka tetapi dia tak dapat balik rumah mereka. Jadi saya akan terus pastikan projek ini mesti dimulakan. Untuk menunjukkan ia dimulakan, kena roboh dulu blok-blok yang telah dikosongkan supaya tidak ada isu yang berbangkit dalam kawasan berkenaan,” katanya.

Isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru membabitkan 67 unit rumah teres dan 14 blok pangsapuri untuk diba­ngunkan semula dimulakan sejak tahun 2016. – UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/berita/2024/04/projek-kampung-sungai-baru-tertangguh/

 

Sumber : Utusan