KUALA LUMPUR: Menteri Perladangan dan Komuniti, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perlu ada koordinasi yang baik antara pihak kerajaan dan pemaju untuk memastikan pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar. 

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, mencadangkan supaya perbincangan terus diadakan antara pihak berkepentingan bagi mengatasi masalah pembangunan terbantut disebabkan pemaju dan masalah pemilikan tanah.

“Kegagalan pemaju untuk melaksanakan pembangunan yang telah lama ditangguhkan, telah mendapat bantuan daripada pihak berkuasa.

“Namun, pemaju tersebut dilihat kekurangan dana dan tidak mampu melaksanakan projek tersebut.

“Perdana Menteri dan pihak berkuasa perlu mengambil pendirian dan tindakan yang sesuai untuk menyelesaikan isu ini,” katanya ketika mengadakan Majlis Rumah Terbuka Parlimen Titiwangsa di sini, hari ini. 

Katanya, masalah yang timbul akibat pembangunan di Sungai Baru, berkait dengan kegagalan pemaju untuk mengembalikan penduduk ke unit asal.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan supaya projek pembangunan semula kawasan di Kampung Sungai Baru, di sini, tidak ditangguhkan lagi selepas ia sudah tertangguh sejak enam tahun lalu. 

Mengulas lanjut, Johari berkata, pembangunan di kawasan itu tergendala susulan terdapat lima peratus pemilik pangsapuri belum berpindah, manakala 95 peratus sudah berpindah dan menunggu rumah baharu daripada pemaju.

Sehubungan itu, Johari mencadangkan untuk menyerahkan tanah kepada syarikat atau agensi kerajaan jika pemaju tidak dapat melaksanakan projek pembangunan.

“ Keharusan untuk memulakan projek tersebut dengan tindakan merobohkan bangunan kosong yang sudah ditinggalkan untuk menghindari masalah dan isu-isu tambahan.

“ Saya mendesak kepada Kementerian WIlayah, DBKL dan pemaju untuk memulakan projek tersebut dengan merobohkan bangunan kosong,” ujarnya. – UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/nasional/2024/04/perlu-ada-hubungan-baik-antara-kerajaan-pemaju-johari/

Sumber : Utusan