BERITA SAWIT 2024

KUALA LUMPUR: Lebihan buruh asing yang dibawa masuk ke negara ini untuk sektor pengilangan dan perkhidmatan perlu segera digerakkan untuk mengatasi kekurangan tenaga kerja dalam perladangan komoditi.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ini kerana Industri sawit negara menanggung kerugian nilai eksport sebanyak RM7.9 bilion setahun susulan kekurangan hampir 40,000 tenaga kerja dalam sektor perladangan komoditi itu.

Menurutnya, anggaran kerugian itu mengambil kira nilai ekonomi yang diterjemah melalui tuaian satu tan kelapa sawit bagi setiap seorang tenaga kerja bagi tempoh 265 hari.

“Mengikut maklum balas, kementerian mendapati sektor perladangan sawit kekurangan hampir 40,000 pekerja dan disebabkan masalah kita, negara kehilangan RM7.9 bilion nilai eksport,” katanya semasa pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan lisan di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mohd. Shahar Abdullah [BN-Paya Besar] mengenai kekurangan tenaga kerja yang merencat nilai eksport kelapa sawit negara.

Mengulas lanjut, kata Johari, industri sawit negara berdepan masalah menyaksikan lambakan buruh asing di beberapa sektor lain yang tidak boleh dipindah untuk berkhidmat dalam sektor perladangan sawit.

Jelasnya, kebanyakan buruh asing terbabit dibawa masuk ke Malaysia untuk berkhidmat di sektor pengilangan serta perkhidmatan, masing-masing mencatat lebihan seramai 160,000 dan 27,000 orang.

“Mereka (lebihan buruh asing di sektor pengilangan dan perkhidmatan) ini sepatutnya kalau boleh digerakkan masuk dalam ladang (sawit), ia sangat bagus untuk membantu kekurangan pekerja ladang.

“Namun, masalahnya ialah buruh asing ini dibawa masuk atas tiket pengilangan dan perkhidmatan, menyebabkan mereka enggan bekerja di ladang (kelapa sawit),” katanya.

Menjawab soalan asal Mohd. Shahar berkaitan jumlah produktiviti minyak sawit mentah (CPO) dan minyak isirung sawit mentah (CPKO) dan kepenggunaan mengikut negeri dan daerah dari 2013 hingga 2023, Johari berkata, Malaysia mengeluarkan 19.07 tan CPO dan 2.2 juta tan minyak CPKO sepanjang tahun itu.

Katanya, nilai eksport CPO dan minyak sawit diproses ialah RM184.27 juta tan bagi tempoh sama.

“Eksport secara pukal pula sebanyak 155 juta tan, iaitu purata hampir 14 juta tan setahun, manakala eksport secara bukan pukal adalah 29.24 juta tan, atau purata 2.66 juta tan setahun.

“Dari segi peratusan, eksport secara pukal adalah 84.1 peratus, manakala bukan pukal (15.9 peratus),” katanya. – UTUSAN

 

https://www.utusan.com.my/nasional/2024/02/gerak-lebihan-buruh-asing-kerja-dalam-industri-sawit/#google_vignette

 

Sumber : Utusan

KUALA LUMPUR: Industri sawit negara menanggung kerugian nilai eksport sebanyak RM7.9 bilion setahun susulan kekurangan hampir 40,000 tenaga kerja dalam sektor perladangan komoditi berkenaan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata anggaran kerugian itu mengambil kira nilai ekonomi diterjemahkan melalui tuaian satu tan kelapa sawit bagi setiap seorang tenaga kerja bagi tempoh 265 hari.

Beliau berkata, industri sawit negara juga berdepan masalah apabila lambakan buruh asing di beberapa sektor lain, tidak boleh dipindahkan untuk berkhidmat dalam sektor perladangan komoditi itu.

Ini kerana, katanya, kebanyakan buruh asing terbabit dibawa masuk ke Malaysia untuk berkhidmat di sektor pengilangan serta perkhidmatan, masing-masing mencatatkan lebihan seramai 160,000 dan 27,000 orang.

"Mereka (lebihan buruh asing di sektor pengilangan dan perkhidmatan) ini sepatutnya kalau boleh 'mobilize' masuk dalam ladang (sawit), ia sangat bagus untuk membantu kekurangan pekerja ladang.

"Namun, masalahnya ialah buruh asing ini dibawa masuk atas tiket pengilangan dan perkhidmatan, menyebabkan mereka enggan bekerja di ladang (kelapa sawit).

"Malah, saya difahamkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) sudah menghentikan kuota kemasukan buruh asing dan kita cuba meyakinkan sebahagian mereka (lebihan pekerja asing) untuk masuk ke sektor perladangan," katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) mengenai kekurangan tenaga kerja yang merencatkan nilai eksport kelapa sawit negara, pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Johari mengakui industri sawit negara berdepan masalah kritikal untuk menuai komoditi berkenaan memandangkan tiada teknologi yang boleh digunakan bagi proses terbabit.

Ini kerana, katanya, proses menuai buah sawit memerlukan tenaga mahir dibantu penggunaan mekanisasi tertentu, antaranya beberapa jenis pisau automatik.

"Sebab ini kita banyak bergantung kepada buruh asing. Kalau ikut nisbah, separuh daripada 300 pekerja dalam satu ladang diperuntukkan bagi proses menuai buah sawit," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai).

Beliau berkata, kementerian ketika ini melaksanakan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melahirkan penuai sawit profesional bagi mengoptimumkan hasil tuaian.

Katanya, peringkat awal pelaksanaan program itu membabitkan 60 belia tempatan yang kurang berminat melanjutkan pengajian untuk menjalani latihan menuai buah sawit, bermula April hingga September ini.

"Ini kerana, mereka boleh meraih pendapatan melebihi RM3,500 sebulan, selain kita berharap pelatih berkenaan boleh memberi tumpuan untuk proses mengutip buah (sawit).

"Kita boleh menggalakkan lebih ramai (tenaga kerja tempatan) untuk menuai sawit apabila kepakaran (untuk menuai buah sawit) dapat diraih," katanya.

Terdahulu, Johari ketika menjawab soalan asal berkata, Malaysia mengeluarkan 19.07 tan minyak sawit mentah (CPO) dan 2.2 juta tan minyak isirung sawit mentah (CPKO), antara 2013 hingga 2023.

Beliau berkata, nilai eksport CPO dan minyak sawit diproses ialah RM184.27 juta tan bagi tempoh sama.

"Eksport secara pukal pula sebanyak 155 juta tan, iaitu purata hampir 14 juta tan setahun, manakala eksport secara bukan pukal adalah 29.24 juta tan, atau purata 2.66 juta tan setahun.

"Dari segi peratusan, eksport secara pukal adalah 84.1 peratus, manakala bukan pukal (15.9 peratus)," katanya yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa itu.

 

https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2024/02/1217540/kekurangan-tenaga-kerja-industri-sawit-negara-rugi-nilai-eksport

 

Sumber : Berita Harian

Kuala Langat: Sime Darby Plantation Berhad (SDP) mensasarkan 100 peratus penggunaan tenaga kerja tempatan di ladang kecuali kerja menuai buah kelapa sawit menjelang 2027.

Ketua Pegawai Sumber Manusia SDP, Zulkifli Zainal Abidin berkata, bagi kerja tuaian (harvesting), tenaga kerja asing masih diperlukan kerana ia kerja yang paling sukar dan kurang mendapat sambutan dari pekerja tempatan.

Beliau berkata, menerusi Projek Lokal yang diperkenalkan pada 2019, ia bertujuan mengubah transisi kerja perladangan daripada 3D (kotor, sukar dan bahaya) kepada pekerja mahir dalam kalangan warga tempatan menerusi penggunaan mesin dan jentera dalam memudahkan operasi perladangan kelapa sawit.

Katanya, langkah itu bagi mewujudkan dimensi baru dalam mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

"Pada 2021 kita dapat lihat bahawa minat pekerja tempatan dalam sektor pekerjaan di ladang adalah lebih baik daripada mula-mula kita perkenalkan (Projek Lokal).

"Buat masa ini, kita ada 600 pekerja tempatan termasuk wanita. Jika dulu, persepsi wanita tidak boleh direkrut untuk kerja di ladang berikutan terpaksa membawa barangan berat namun dengan mekanisasi telah memudahkan pekerjaan.

"Penggunaan mesin juga dapat mengurangkan tenaga kerja (pekerja asing) seterusnya dapat menambah baik kadar gaji selain kemudahan lain seperti rumah bagi menarik pekerja tempatan berusia lingkungan 25 tahun," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Fong Hin melakukan lawatan kerja ke Pusat Penyelidikan dan Pembangunan SDP di Pulau Carey selain menyaksikan memorandum Perjanjian Kerjasama (MoA) membabitkan Universiti Malaya dan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia bersama SDP.

Zulkifli berkata, pihaknya turut menyasarkan seorang pekerja akan menjaga seluas 7.18 hektar pada tahun 2027 menerusi projek ini berbanding seorang pekerja untuk 3.23 hektar ladang kelapa sawit ketika ini.

Menurutnya, pihaknya turut menyasarkan lebih 700 pekerja tempatan mahir di semua ladang milik SDP seluruh negara pada tempoh sama.

"Kita turut memfokuskan kepada penciptaan prototaip terutama mesin menuai kelapa sawit. Ini berikutan kerja mengait buah terutama pokok yang tinggi adalah sukar dalam peladangan kelapa sawit.

"Tidak ramai pekerja tempatan mahu kerja bahagian ini dan masih bergantung kepada tenaga asing," katanya.

 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2024/02/1063604/sasar-100-peratus-tenaga-kerja-tempatan-di-ladang-menjelang-2027#google_vignette

 

Sumber : Harian Metro

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengadakan pertemuan bersama Pengurus-pengurus Dana dari pelbagai pelabur institusi pada Khamis di Menara CIMB, KL Sentral di sini.

Dalam sesi bersama Pengurus-pengurus Dana itu, Johari yang juga Naib Presiden UMNO telah berkongsi kepada mereka mengenai potensi minyak sawit yang sentiasa menjadi keperluan dunia dalam pelbagai produk.

“Minyak sawit sangat cekap dan produktif berbanding minyak sayuran lain bagi setiap ekar sehingga menjadikannya sangat bermanfaat di setiap rantaian aktiviti huluan (upstream), pertengahan (midstream) serta hiliran (downstream).

“Saya turut membuka peluang kepada Pengurus-pengurus Dana ini untuk bertanya secara terus kepada saya bagi mereka mendapatkan pelbagai maklumat dalam sektor perladangan dan komoditi,” katanya dalam satu perkongsian di laman sosialnya.

Tambah Ahli Parlimen Titiwangsa itu, sektor agrikomoditi mempunyai nilai eksport mencecah lebih RM160 bilion dan menyumbang sebanyak 5.2% kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) Malaysia.

“Oleh itu, ‘engagement’ bersama pengurus dan pelabur institusi adalah penting untuk memberikan maklumat sektor kepada mereka, bertukar pandangan untuk manfaat sektor agrikomoditi Malaysia secara keseluruhan,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

 

https://umno-online.my/2024/02/23/johari-bertemu-pengurus-dana-dan-pelabur-institusi-berkongsi-potensi-minyak-sawit/

 

Sumber : UMNO Online