KUALA LUMPUR, 23 Feb – Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengadakan pertemuan bersama Pengurus-pengurus Dana dari pelbagai pelabur institusi pada Khamis di Menara CIMB, KL Sentral di sini.

Dalam sesi bersama Pengurus-pengurus Dana itu, Johari yang juga Naib Presiden UMNO telah berkongsi kepada mereka mengenai potensi minyak sawit yang sentiasa menjadi keperluan dunia dalam pelbagai produk.

“Minyak sawit sangat cekap dan produktif berbanding minyak sayuran lain bagi setiap ekar sehingga menjadikannya sangat bermanfaat di setiap rantaian aktiviti huluan (upstream), pertengahan (midstream) serta hiliran (downstream).

“Saya turut membuka peluang kepada Pengurus-pengurus Dana ini untuk bertanya secara terus kepada saya bagi mereka mendapatkan pelbagai maklumat dalam sektor perladangan dan komoditi,” katanya dalam satu perkongsian di laman sosialnya.

Tambah Ahli Parlimen Titiwangsa itu, sektor agrikomoditi mempunyai nilai eksport mencecah lebih RM160 bilion dan menyumbang sebanyak 5.2% kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) Malaysia.

“Oleh itu, ‘engagement’ bersama pengurus dan pelabur institusi adalah penting untuk memberikan maklumat sektor kepada mereka, bertukar pandangan untuk manfaat sektor agrikomoditi Malaysia secara keseluruhan,” ujarnya lagi. – UMNO ONLINE

 

https://umno-online.my/2024/02/23/johari-bertemu-pengurus-dana-dan-pelabur-institusi-berkongsi-potensi-minyak-sawit/

 

Sumber : UMNO Online