KUALA LUMPUR: Stok minyak sawit Malaysia turun lima peratus kepada 1.92 juta tan metrik pada akhir Februari 2024 daripada 2.02 juta tan metrik pada Januari 2024, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Dalam laporan prestasi terbaharunya untuk Februari 2024, MPOB berkata inventori minyak sawit mentah (MSM) menurun 2.85 peratus kepada 1.03 juta tan metrik pada bulan itu berbanding 1.06 juta tan metrik yang dicatatkan pada Januari.

Ia berkata, stok minyak sawit yang diproses juga susut 7.35 peratus kepada 893,121 tan metrik pada Februari daripada 964,021 tan metrik sebelum ini.

Sementara itu, pengeluaran MSM menguncup 10.18 peratus kepada 1.26 juta tan metrik pada Februari daripada 1.40 juta tan metrik pada bulan sebelumnya dan pengeluaran isirung sawit merosot 11.70 peratus kepada 301,771 tan metrik daripada 341,747 tan metrik pada Januari.

MPOB berkata, eksport minyak sawit susut 24.75 peratus kepada 1.02 juta tan metrik pada Februari daripada 1.35 juta tan metrik pada Januari, tetapi eksport oleokimia meningkat 0.77 peratus kepada 255,163 tan metrik pada Februari daripada 253,204 tan metrik sebelum ini.

Eksport biodiesel pula susut 27.57 peratus kepada 29,378 tan metrik pada Februari daripada 40,559 tan metrik pada Januari.

Eksport kek isirung sawit turun 41.14 peratus kepada 136,195 tan metrik pada Februari daripada 231,398 tan metrik sebulan sebelumnya, dan eksport minyak isirung sawit jatuh 18.84 peratus kepada 55,585 tan metrik pada bulan lalu daripada 68,492 tan metrik pada Januari.

Bagaimanapun, import MSM melonjak 117.47 peratus kepada 8,592 tan metrik pada Februari daripada 3,951 tan metrik pada Januari, dan jumlah import minyak sawit pada bulan itu meningkat sebanyak 10.38 peratus kepada 32,556 tan metrik berbanding 29,494 tan metrik pada bulan sebelumnya.

-BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/03/1222370/stok-minyak-sawit-malaysia-jatuh-lima-peratus-kepada-192-juta-tan

 

Sumber : Berita Harian