KUALA LUMPUR: Harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh 12 bulan pada 15 Mac lalu, hampir 10 peratus melebihi harga penutup pada Februari.

Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dalam satu kenyataan berkata, aliran harga kukuh yang diperhatikan pada suku pertama 2024 sebahagian besarnya dibentuk oleh pertumbuhan bekalan defisit yang dinamik.

"Pergerakan harga yang meningkat daripada paras semasa RM4,250 berkemungkinan bukan disebabkan bekalan kacang soya yang mencukupi dari Amerika Selatan memasuki pasaran global mulai April dan seterusnya, serta pemulihan bermusim secara beransur-ansur pengeluaran minyak sawit di Malaysia.

"Harga minyak sawit didagangkan pada premium AS$40 (RM188.55) hingga AS$95 (RM447.81) pada Mac," katanya.

MPOC berkata, memandangkan musim rendah pengeluaran minyak sawit berakhir pada Mac, harga minyak sawit mungkin mula mencerminkan pemulihan dalam tahap pengeluaran dan inventori pada April dan Mei, yang berpotensi mengehadkan harga minyak sawit.

Selain itu, katanya, harga premium minyak sawit berbanding 'soft oil' terus meningkat pada Mac dan telah melepasi harga tiga 'soft oil' utama secara serentak sejak Februari di pasaran Eropah.

"Stok minyak sawit Malaysia meneruskan aliran menurun pada Februari 2024, turun sebanyak lima peratus kepada 1.919 juta tan. Ini menandakan paras terendah stok yang didaftarkan sejak Julai 2023," katanya.

Organisasi itu menjelaskan, pengurangan dalam inventori minyak sawit pada Februari didorong terutamanya oleh pengurangan import dan penggunaan domestik yang kukuh.

"Dalam dua bulan pertama 2024, import minyak sawit Malaysia mengalami penurunan 70 peratus tahun ke tahun, menjunam kepada 62,000 tan.

"Jumlah ini menyumbang hanya 6.9 peratus daripada jumlah import pada tahun 2023. Dari segi sejarah, inventori minyak sawit Malaysia telah banyak bergantung kepada import," katanya.

Justeru, MPOC berkata, pemantauan rapi angka import bulan akan datang adalah penting untuk mengukur tahap stok minyak sawit di Malaysia.

"Satu lagi faktor penting yang menyumbang kepada penurunan dalam stok ialah penggunaan domestik yang kukuh. Penggunaan domestik minyak sawit Malaysia pada Januari dan Februari 2024 meningkat 11.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023.

"Tidak mungkin stok minyak sawit Malaysia akan mengalami sebarang pertumbuhan pada Mac berikutan penggunaan domestik yang teguh, terutamanya pada Ramadan. Selain itu, pengeluaran dijangka tidak meningkat sehingga April dan seterusnya.

"Harga minyak sawit dijangka kembali ke julat dagangan RM3,800 hingga RM4,000 pada April," katanya.

MPOC berkata, pengumuman oleh Gabungan Pengusaha Kelapa Sawit Indonesia (GAPKI) berhubung inventori 3.14 juta tan minyak sawit setakat Disember 2023 menunjukkan lagi bekalan komoditi itu yang terhad.

Justeru, katanya diramalkan bahawa gabungan stok minyak sawit Malaysia dan Indonesia adalah kurang daripada lima juta tan pada Februari.

"Pada 2024, pengeluaran minyak sawit global diunjurkan meningkat dengan minimum sebanyak 0.11 peratus, yang mana pertumbuhan pengeluaran bagi minyak kacang soya, minyak 'rapeseed' dan minyak bunga matahari masing-masing dijangka meningkat 2.88 peratus, 3.48 peratus dan3.94 peratus," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/03/1225357/harga-minyak-sawit-mentah-tertinggi-dalam-tempoh-12-bulan

 

Sumber : Berita Harian