KUALA LUMPUR: Eksport minyak sawit Malaysia kembali pulih selepas merekodkan penurunan selama empat bulan berturut-turut dengan kenaikan bulanan 28.6 peratus direkodkan pada Mac.

Walau bagaimanapun, eksport minyak sawit negara bulan lalu adalah 11.4 peratus lebih rendah jika dibandingkan dengan bulan sama setahun lalu, demikian menurut RHB Investment Bank.

Bank pelaburan itu berkata, prestasi pada Mac itu berkemungkinan disokong oleh musim perayaan serta beberapa kegiatan penambahan stok yang dilaksanakan.

"Setakat akhir bulan Februari, inventori di China dan India masing-masing mencecah 15 peratus dan 13 peratus, iaitu di bawah paras purata, di mana hal ini berbeza dengan Bangladesh yang menyaksikan paras inventori sebanyak 12 peratus melepasi paras sebelum ini.

"Paras inventori terus merosot 10.7 peratus bulan ke bulan kepada 1.72 juta tan akibat daripada kadar eksport lebih tinggi di samping dilemahkan oleh kadar pengeluaran yang melonjak mengakibatkan nisbah inventori atau kegunaan masih lagi tersasar daripada purata 10 peratus dengan catatan 8.85 peratus setakat akhir Mac lalu," katanya dalam nota yang disediakan oleh penganalisis, Hoe Lee Leng.

RHB Investment Bank berkata, menuju ke hadapan, pengeluaran minyak sawit diramalkan beransur pulih dalam beberapa bulan berikutnya dengan peningkatan lebih besar dijangka berlaku mulai Mei atau Jun.

Menyentuh soal eksport pula, ia berkata kegiatan penambahan inventori berterusan yang berlaku mungkin akan meningkatkan permintaan secara berperingkat.

"Namun begitu, hal ini masih akan tergugat oleh kegiatan penukaran produk apabila minyak sawit mentah (MSM) yang masih dijual pada harga jauh lebih mahal berbanding minyak bunga matahari yang didagangkan pada AS$68 satu tan berbanding AS$65 satu tan bulan lalu.

"Malahan, MSM juga dijual pada diskaun harga lebih kecil sebanyak AS$133 satu tan berbanding AS$172 satu tan bulan lalu berbanding minyak kacang soya, dan ini menjadikan ia pilihan yang kurang menarik kepada pihak pengimport," katanya.

Bank pelaburan itu menambah, paras inventori dijangka terus berada du bawah paras dua juta tan pada bulan-bulan akan datang.

"Meskipun rentak eksport berterusan mengukuh, paras inventori tetap dijangka gagal mencecah paras dua juta tan dalam beberapa bulan akan datang kerana keluaran dijangka mencapai paras tertingginya dalam suku ketiga 2024, sekiranya tiada sebarang masalah cuaca yang tidak diingini berlaku.

"Kami terus menyarankan pemilihan syarikat perladangan lebih tulen bermodal lebih kecil untuk mengaut peluang daripada kenaikan semasa harga MSM berikutan kepekaannya yang lebih tinggi kepada pergerakan harga," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/04/1235298/eksport-sawit-negara-pulih-selepas-susut-empat-bulan-berturut-turut

 

Sumber : Berita Harian