KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi akan berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menjadi sebahagian syarat sebelum mendapat pensijilan halal bagi pemasaran minyak sawit di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata ini kerana halal adalah satu pensijilan yang sangat berwibawa di negara ini serta diterima di seluruh dunia.

"Menerusi MSPO, ia merangkumi alam sekitar dan dapat mengetahui bagaimana proses minyak kelapa sawit ini sehingga ia dibotolkan.

"Bagaimana keadaan ladang kelapa sawit itu, pentadbiran ladangnya, menggunakan ciri-ciri yang sangat tinggi standardnya dan apa sahaja bahan kimia yang digunakan selamat untuk produk dikeluarkan.

"Sebab itu MSPO boleh buktikan kepada mereka (pembeli), produk mana yang ada (MSPO), produk itu bukan sahaja dijamin kebersihan, tetapi dijamin mutu dan keselamatannya kepada pengguna," katanya

selepas melancarkan label minyak masak Saji baharu dengan logo MSPO, di sini, hari ini.

Johari berkata, sebelum ini minyak kelapa sawit yang dipasarkan di negara ini tidak kira jenama perlu mempunyai pensijilan halal dan disebabkan itu pihaknya mahu MSPO menjadi sebahagian daripada syarat pensijilan berkenaan.

"Sebab itu kalau boleh, kita mahu kenakan syarat kepada pengeluar minyak sawit yang dipasarkan dalam negara, mereka kena ada MSPO sebelum boleh mengedarkan produk dalam negara kita," katanya.

Standard MSPO adalah piawaian pensijilan kebangsaan Malaysia dan dibangunkan dengan input daripada pihak berkepentingan dalam industri minyak sawit.

Skim pensijilan itu yang kali pertama dilancarkan pada November 2013 dilaksanakan secara rasmi atas dasar sukarela pada Januari 2015 dan pelaksanaannya ditambah baik dari semasa ke semasa.

Sebagai contoh, pensijilan itu sudah disemak semula tahun lalu dengan piawaian yang lebih ketat, termasuk tarikh akhir penebangan hutan pada 31 Disember 2019 yang memenuhi tarikh akhir Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EU).

Lebih banyak semakan dibuat terhadap pengenalpastian pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan rancangan pemantauan pengurangannya, pengenalan panduan baharu mengenai persetujuan bebas, terdahulu dan termaklum (FPIC) dan perlindungan pembela hak asasi manusia serta pemberi maklumat.

 

https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2024/03/1221504/cadang-mspo-jadi-pensijilan-halal-johari

 

Sumber : Berita Harian