BETONG: Pembangunan serta pengenalan teknologi baharu dalam industri lada mampu meningkatkan produktiviti serta pendapatan para pekebun yang bergantung kepada komoditi ini.

Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, teknologi baharu yang akan dibangunkan bakal menjadi talian hayat baharu bagi industri berkenaan.

“Saya telah diberitahu oleh Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia (MPB) Vincent Sawat bahawa mereka sedang melakukan ini.

“MPB menjalankan projek perintis untuk mengaplikasikan Internet Benda (IOT) dan kaedah moden seperti fertigasi di Semengok di Kuching dan di Sarikei.

Uggah dan Rundi ketika memetik buah lada selepas menyempurnakan Program Randau Pemansang Industri Lada Bahagian Betong.

“Industri ini amat penting kepada negeri dan para pekebun luar bandar yang sekian lama bergantung kepada komoditi untuk mendapatkan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Randau Pemansang Industri Lada Bahagian Betong di sini, hari ini.

Tambahnya, teknologi baharu ini dijangka boleh menuai hampir empat kilogram lada bagi setiap pokok yang ditanam berbanding purata pada masa ini, dua kilogram.

“Langkah ini pasti dapat membantu para petani, sekali gus menarik minat generasi muda untuk melibatkan diri dalam tanaman baharu berkualiti yang lebih baik dengan kuantiti yang lebih banyak,” katanya.

 

https://suarasarawak.my/pembangunan-teknologi-baharu-dalam-industri-lada-beri-manfaat-kepada-petani/

 

Sumber : Suara Sarawak