JEMPOL: Kerajaan Negeri menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyasarkan 2,000 hektar kebun getah tidak ditoreh milik pekebun kecil di negeri ini akan dipulihkan tahun ini.

Exco Desa, Perladangan dan Komoditi, YB Dato’ Seri Jalaluddin Alias berkata, jumlah disasarkan itu sebahagian daripada keseluruhan 15,000 hektar kebun getah terbiar seluruh negeri.

“Pelbagai sebab menyebabkan kebun terbiar dan tidak ditoreh antaranya faktor pekebun itu sendiri seperti sudah berusia.

“RISDA sudah diarah mengenal pasti kebun getah terbiar itu dan menjelang akhir tahun ini, kita mahu 2,000 hektar kebun getah terbiar itu dipulihkan.

“Kita mahu usaha pemulihan kebun getah terbiar ini dapat diselesaikan segera dan berharap proses pemulihan ini tidak tergendala akibat pelbagai masalah dan akhirnya menemui kegagalan,” jelas Jalaluddin.

Jalaluddin berkata demikian selepas merasmikan Karnival Usahawan Risda (KUR)@Ekspo Raya Jempol di Bahau.

Menurut Jalaluddin, jika semua kebun terbiar boleh ditoreh semula, ia sekali gus meningkatkan peratusan kawasan penanaman getah di negeri ini.

“Dalam perkembangan lain, Jalaluddin berkata RISDA tidak akan menganjurkan program jualan murah seperti pernah dilaksanakan agensi itu sebelum ini.

“Di negeri ini sudah terdapat tiga program jualan murah bagi membantu rakyat iaitu Jualan Agro Madani, Jualan Rahmah dan Jualan Nismilan Prihatin,” katanya.

Dalam pada itu, Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu berkata KUR memberi peluang kepada 34 usahawan RISDA menjual produk masing-masing sepanjang Ramadhan dan menjelang sambutan Aidilfitri.

 

https://negerikita.org/negeri-sembilan-sasar-pulih-2000-hektar-kebun-getah-terbiar/

 

Sumber : Negeri Kita