JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
TINDAKAN PERLINDUNGAN SEMPADAN OLEH AMERIKA
SYARIKAT KE ATAS SIME DARBY PLANTATION ADALAH
TERBURU-BURU DAN TIDAK BERASAS


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) sedang memantau rapi tindakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat terhadap Sime Darby Plantation (SDP) atas alasan isu buruh paksa, baru-baru ini.


2. KPPK dimaklumkan bahawa CBP telah menurunkan taraf tindakan terhadap Sime Darby Plantation daripada Perintah Pelepasan Penahanan ‘Withhold Release Order’ (WRO) kepada Penemuan (Finding). Di bawah WRO, produk masih boleh mendarat di Amerika Syarikat namun tidak boleh didagangkan atau diproses. Walau bagaimanapun, berikutan notis penemuan yang diterima oleh Sime Darby Plantation, sebarang produk yang ditemui akan dirampas.


3. Saya berpandangan yang tindakan CBP ini adalah terburu-buru dan tidak berasas memandangkan SDP sedang menyusun laporan bebas yang komprehensif dan bakal diserahkan kepada Amerika Syarikat dalam masa yang terdekat. Kementerian juga akan mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan isu ini daripada agensi berkaitan di Amerika Syarikat, agar penyelesaian segera dapat dicapai.


4. Bagi tujuan ini KPPK juga akan bekerjasama rapat dengan Wisma Putra dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Selain itu, Kementerian juga akan memperluaskan kerjasama sepenuhnya dengan agensi di Amerika Syarikat dan negara lain supaya minyak sawit keluaran negara boleh didagangkan secara bebas di peringkat global. Untuk rekod, Kementerian menghargai kelonggaran yang diberikan oleh CBP kepada SDP untuk menghasilkan laporan audit bebas bagi menyangkal dakwaan tersebut.


5. Saya dengan tegas ingin mengulangi bahawa industri minyak sawit Malaysia beroperasi di bawah piawaian ketat yang selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDGs) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Kementerian juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Alam Sekitar dan Air bagi memastikan industri minyak sawit negara mematuhi undang-undang dan amalan domestik dan antarabangsa yang telah ditetapkan.


6. Saya yakin dengan usaha berterusan pihak Kementerian dan semua agensi berkaitan, isu ini akan dapat diselesaikan segera. Kementerian akan terus bekerja keras bagi memastikan kepentingan jangka panjang industri minyak sawit terjaga dan seterusnya membantu jutaan pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan yang lain.


7. Selain itu, saya juga menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan Kementerian dalam usaha menangani propaganda anti-minyak sawit oleh negara-negara Barat yang dengan jelas bertujuan untuk menjatuhkan industri minyak sawit negara kita.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
31 JAN 2022