JATA LATES

SIARAN MEDIA
PUSAT KEUSAHAWANAN COKLAT TANJUNG PIAI ANTARA USAHA
KEMENTERIAN LAHIRKAN USAHAWAN TEMPATAN BERDAYA
SAING DALAM RANTAIAN INDUSTRI KOKO


1. Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng telah merasmikan Pusat Keusahawanan Coklat Tanjung Piai pada 24 Julai 2022 di Pekan Nanas, Johor. Pusat ini merupakan yang pertama dibangunkan dengan kerjasama Lembaga Koko Malaysia (LKM) dan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).


2. Sempena pembukaan Pusat Keusahawanan Coklat Tanjung Piai, beliau turut merasmikan Kursus Asas Pembangunan Usahawan Coklat Buatan Tangan Johor anjuran LKM yang diadakan pada 24 hingga 25 Julai 2022 di pusat ini. Seramai 30 orang peserta menghadiri kursus siri kedua yang dianjurkan di negeri Johor ini. Kursus siri pertama telah berjaya diadakan di Kukup Golf Resort, Pekan Penerok pada 6 Mac 2022 yang lalu.


3. Pusat ini akan mengendalikan kursus dan latihan pembuatan coklat kepada masyarakat tempatan. Dalam usaha ke arah melahirkan lebih ramai usahawan tempatan yang berdaya saing di pelbagai peringkat dan aktiviti rantaian industri koko, para peserta kursus akan diberikan pendedahan kepada kemahiran pembuatan coklat buatan tangan, asas-asas keusahawanan serta diberikan bantuan pemasaran dan penjualan hasil produk di premis yang sama sebagai khidmat sokongan permulaan (kick-start) untuk menjadi seorang usahawan coklat.


4. Penubuhan pusat ini juga bertujuan untuk mempromosikan produkproduk coklat keluaran usahawan tempatan khususnya di negeri Johor. Penubuhan pusat ini akan dapat mempelbagaikan produk koko dan coklat buatan tangan serta meningkatkan pendedahan dan permintaan kepada produk-produk coklat tempatan.


5. Pada peringkat awal pelaksanaan, pusat ini dijadual akan membimbing seramai 300 bakal usahawan. Pusat ini berupaya untuk mencipta peluang bagi menjana pendapatan kepada golongan berstatus B40 di kawasan ini yang berminat untuk menceburi industri pembuatan coklat buatan tangan.


6. Bagi menyokong agenda pembangunan sosioekonomi Malaysia yang inklusif, seimbang dan mapan, LKM telah melaksanakan Program Pembangunan Usahawan Coklat untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan usahawan-usahawan PKS untuk menceburi industri koko serta mengeluarkan produk-produk berasaskan koko terutamanya coklat.


7. Usahawan coklat bimbingan LKM dibangunkan untuk menggalakkan mereka menceburi bidang keusahawanan serta melatih dan mendedahkan mereka dengan pengetahuan dan pemahaman yang lebih mendalam berkaitan dengan teknologi coklat serta pemasaran produk dengan lebih efektif untuk menghasilkan produk yang berdaya saing.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
24 Julai 2022