JATA LATES

KENYATAAN MEDIA
KPPK KEKAL KOMITED MELAKSANAKAN DASAR BIOFUEL NASIONAL (NBP)
MALAYSIA


1. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) memberi jaminan akan memperhalusi cadangan yang diutarakan oleh Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA), mengenai mandat biodiesel yang sedia ada.


2. Kementerian juga mengambil maklum mengenai penjelasan mengapa Malaysia tidak seharusnya mengurang atau menghentikan mandat biodieselnya kerana industri biodiesel menggunakan tidak sampai 1 juta tan minyak sawit setiap tahun berbanding lebih 40 juta tan yang digunakan di seluruh dunia. MBA juga telah menyuarakan pandangan bahawa jika bahan
api bio yang diperoleh daripada minyak sayuran diharamkan, ia akan membawa impak besar ke atas pasaran minyak sayuran global.

3. Kebimbangan ini disuarakan ekoran pandangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sehari sebelumnya –25 April– bahawa kedua-dua negara pengeksport dan pengimport minyak sawit harus "mempertimbangkan semula keutamaan makanan berbanding bahan api untuk sementara waktu". Perlu dingatkan bahawa suatu ketika dahulu, jiran Malaysia, dan pengeksport minyak sawit terbesar dunia, Indonesia, hampir melarang eksport olein sawit yang ditapis, diluntur dan dinyahbau (RBD).


4. Ini mendorong komen Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir -seorang pakar minyak sawit- untuk mengetengahkan pandangan beliau yang berlatarbelakangkan masalah bekalan minyak makan global yang tersekat di tengah-tengah keadaan cuaca buruk dan konflik RusiaUkraine.


5. Gangguan daripada ketegangan geopolitik telah memburukkan lagi kenaikan harga dalam komoditi makanan yang telah berlarutan. Indeks Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) mencapai tahap tertinggi dalam sedekad dan ini memberi ancaman bukan sahaja kepada masalah kekurangan zat makanan global tetapi juga melonjakkan inflasi merentasi ekonomi maju, membangun dan kurang maju.


6. Indonesia telah mengisytiharkan larangan eksport minyak masak dan bahan mentahnya pada 28 April (yang berkuatkuasa sehingga 23 Mei) dalam usaha memastikan bekalan minyak masak mencukupi dan pada harga berpatutan, untuk rakyatnya.


7. Namun, keadaan kini telah kembali normal dan kita perlu bersikap rasional. KPPK ingin sekali lagi menegaskan bahawa tidak akan ada perubahan dasar di dalam mandat sediada berkenaan biodiesel negara.


8. KPPK juga ingin mengambil kesempatan untuk mengulangi ketetapan di bawah Dasar Biofuel Nasional (NBP) Malaysia yang telah dilancarkan pada Mac 2006. Kementerian kekal komited untuk:


 Mengurangkan kadar pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45%
daripada KDNK menjelang 2030.
 Memperluaskan penggunaan produk minyak sawit hiliran bagi
meningkatkan pendapatan pekebun kecil kelapa sawit melalui
mekanisme kawalan harga pasaran minyak sawit
 Membantu mengurangkan pergantungan negara kepada bahan api fosil
sebagai salah satu inisiatif keselamatan tenaga.


9. Sekali lagi KPPK mengucapkan terima kasih kepada MBA atas maklum balas mereka mengenai peranan dasar biofuel ke arah pemuliharaan alam semula jadi untuk generasi muda Malaysia


10.Pada dasarnya, KPPK mengalu-alukan semua kritikan atau pandangan membina yang membolehkan kedua-dua belah pihak - pihak kerajaan dan pemain industri - mencapai penyelesaian menang-menang.


YB DATUK HAJAH ZURAIDA KAMARUDDIN
MENTERI PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
2 JUN 2022