JATA LATES

SIARAN MEDIA
PROGRAM TRANSFORMASI KILANG (FTP) BANTU SYARIKAT
PERKAYUAN TEMPATAN MENDEPANI PERSAINGAN SENGIT DAN
MENCABAR DALAM INDUSTRI PERKAYUAN NEGARA


1. YB Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi hari ini telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Isella Sofa Design Sdn. Bhd. (Isella Sofa) Semenyih, Selangor, sebuah syarikat yang telah berkecimpung selama lebih 20 tahun dalam industri pembuatan sofa dan telah menyertai Program Transformasi Kilang (FTP)  anjuran Malaysian Timber Council (MTC) pada tahun 2021.


2. FTP adalah sebuah program yang dilaksanakan secara bersama oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), SIRIM STS Sdn. Bhd. dan MTC. Program ini bertujuan untuk menyokong dan membantu industri perkayuan khususnya syarikat-syarikat terlibat dalam menjalankan penilaian dan kajian diagnostik kilang bagi mengenal pasti ketidakcekapan dan pembaziran melalui aplikasi alat dan teknik Green 5S dan Pengurusan Lean. Ia seterusnya meningkatkan keupayaan pembuatan industri dan penggunaan teknologi automasi dan inovasi dalam Industri Perkayuan Negara selaras dengan halatuju pembangunan industri perkayuan di bawah Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) dan juga perkembangan Revolusi Perindustrian Keempat (I.R. 4.0) di Malaysia.

3. Pada permulaan FTP, sebanyak 14 buah syarikat perkayuan telah berjaya dipilih untuk menyertai program ini dan kebanyakannya adalah daripada industri perabot. Lawatan secara khusus ke Isella Sofa adalah bagi menyaksikan kejayaan syarikat tersebut dalam melaksanakan transformasi kilang di bawah modul Lean Manufacturing serta pelbagai penambahbaikan dalam sektor pembuatannya. Melalui program FTP ini, Isella Sofa telah berjaya mengurangkan bilangan pekerja kilang dan pada masa yang sama masih terus meningkatkan pendapatan tahunannya. Ini secara langsung telah membuktikan keberkesanan pelaksanaan modul program di syarikat tersebut.


4. Modul program di bawah FTP dirangka berdasarkan piawaian yang dibangunkan oleh SIRIM STS Sdn. Bhd. Jenis modul yang dicadangkan kepada syarikat akan bergantung kepada keperluan syarikat yang akan dikenal pasti oleh SIRIM. Setiap modul akan mengambil masa maksimum 6 bulan untuk disiapkan. Syarikat-syarikat yang mengambil bahagian akan diaudit dan syarikat-syarikat yang berjaya akan dibenarkan untuk menggunakan tanda pensijilan SIRIM yang diiktiraf (tertakluk kepada audit tahunan) dalam dokumen, peralatan, dan pengiklanan mereka.


5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menerusi MTIB selaku peneraju utama bersama-sama MTC akan terus memberikan penekanan kepada program-program automasi, mekanisasi serta digitalisasi dalam Industri Perkayuan Negara. Kerjasama strategik pelbagai agensi dan pihak berkepentingan adalah penting untuk memperkasakan industri perkayuan melalui pelaksanaan FTP dan adaptasi penggunaan teknologi dan inovasi agar industri ini terus berdaya saing.

6. KPPK juga berharap pemain industri perkayuan yang lain turut mengambil peluang untuk menyertai program ini dan dapat memberikan komitmen yang jitu serta memanfaatkan sepenuhnya penyertaan dalam program ini. Penggunaan teknologi, inovasi, automasi, kecekapan dan produktiviti ini semestinya dapat memperkasakan industri perkayuan dalam mendepani persekitaran persaingan yang semakin sengit dan mencabar kini.


KEMENTERIAN PERUSAHAAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
19 Julai 2022