BERITA UMUM 2024

KUALA LUMPUR, 14 Feb – Kesibukan tugas sebagai individu yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal komoditi negara tidak menghalang Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani turun padang menyantuni dan mengambil berat permasalahan yang dihadapi oleh rakyat di kawasan.

Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa dalam perkongsian di akaun X hari ini bertemu dengan peniaga Pasar Wirawati Kg Pandan di sini baru-baru ini bagi mendapatkan maklumat secara terus dan seterusnya membantu mereka.

“Terima kasih kepada semua peniaga yang sudi hadir untuk saya dapatkan ‘direct-input’ bagi menangani isu-isu yang berbangkit,” ujar Naib Presiden UMNO itu lagi.

Terdahulu, Johari juga mengadakan sesi pertemuan bersama masyarakat kawasannya.

“…untuk mereka membuat aduan atau memerlukan bantuan dalam beberapa isu permasalahan setempat,” katanya.

Jelasnya juga, bagi penduduk Parlimen Titiwangsa yang mahu membuat aduan turut boleh terus hadir ke pejabatnya dan pegawai yang bertugas akan sentiasa bersedia untuk membantu.

Pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa berada di Wisma Jozawa, No.39, Jalan 3/76d, Desa Pandan, 55100 Kuala Lumpur beroperasi pada Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi hingga 5 petang.

Pejabat Ahli Parlimen Titiwangsa juga boleh dihubungi melalui talian telefon 03-7800 0367. – UMNO ONLINE

 

https://umno-online.my/2024/02/14/johari-turun-padang-dapatkan-input-secara-terus-dari-rakyat/

 

Sumber : UMNO Online

KUALA LUMPUR: Nilai jualan keseluruhan bagi sektor pembuatan mencecah RM1.8 trilion pada 2023, meningkat sedikit sebanyak 0.2 peratus berbanding 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam kenyataan Perangkaan Pembuatan Bulanan Malaysia bagi Disember 2023 yang dikeluarkan hari ini, jabatan itu berkata nilai jualan sektor pembuatan mencatat penurunan 4.2 peratus kepada RM149.9 bilion pada Disember 2023 iaitu yang terbesar sejak Mei 2020 (20.4 peratus) dan dipengaruhi terutamanya oleh penyusutan berterusan dalam subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik sejak Jun 2023.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan itu mencatat negatif 13.6 peratus pada Disember 2023 (November 2023: -10.8 peratus).

"Ini ditambah lagi dengan penurunan subsektor peralatan elektrik dan elektronik sebanyak 4.6 peratus (November 2023 : -5.3 peratus) manakala subsektor makanan, minuman dan tembakau susut 2.6 peratus (November 2023: 2.0 peratus).

"Berbanding bulan sebelumnya, nilai jualan menguncup sebanyak 3.3 peratus berbanding RM155.0 bilion yang dicatatkan pada November 2023 (-1.1 peratus)," katanya.

Sementara itu, Jabatan Perangkaan berkata nilai jualan industri berorientasikan eksport yang mewakili hampir 70 peratus daripada jumlah jualan, terus merosot sebanyak 8.4 peratus pada Disember 2023 selepas menguncup 6.9 peratus pada November 2023.

"Penurunan itu terutamanya disebabkan penurunan pembuatan kok dan produk petroleum bertapis pada negatif 24.9 peratus dan diikuti oleh pembuatan minyak dan lemak sayuran serta haiwan (-8.6 peratus) dan pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal (-4.8 peratus)," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata industri berorientasikan domestik terus kukuh dengan merekodkan pertumbuhan positif sebanyak 6.7 peratus pada Disember 2023 (November 2023: 8.8 peratus) disokong terutamanya oleh pengembangan kukuh dalam pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan sebanyak 11.5 peratus.

Pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler mencatat pertumbuhan 8.0 peratus manakala pembuatan produk pemprosesan makanan meningkat 6.8 peratus.

Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan kedua-dua eksport dan domestik masing-masing menurun 3.9 peratus dan 1.8 peratus.

"Sektor pembuatan turut menggaji 2.37 juta pekerja, peningkatan sebanyak 1.7 peratus berbanding 2.34 juta orang pada Disember 2022. -- BERNAMA

 

https://www.astroawani.com/berita-bisnes/nilai-jualan-sektor-pembuatan-bagi-2023-cecah-rm1-8-trilion-457251?amp=1

 

Sumber : Astro Awani