BERITA AGRIKOMODITI 2024

KUALA LUMPUR, 24 Jun - Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah sedikit pada Isnin, seiring dengan aliran menurun di pasaran niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.

Beliau berkata, sentimen global terjejas oleh kebimbangan terhadap cadangan tarif ke atas kenderaan elektrik (EV) dari China oleh Kesatuan Eropah (EU) baru-baru ini.

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dikekang oleh kebimbangan terhadap bekalan getah di negara-negara pengeluar getah asli (NR) utama ketika para peniaga menunggu pengumuman data inflasi AS yang akan mempengaruhi kenaikan kadar faedah,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata agensi meteorologi Thailand memberi amaran ramalan hujan sangat lebat yang boleh mengakibatkan kejadian banjir kilat dari 24 hingga 26 Jun ini.

Selain itu beliau juga berkata China dan EU sedang berunding mengenai cadangan pelaksanaan tarif ke atas EV buatan China yang diimport ke pasaran Eropah.

“Pengesahan itu dibuat selepas Kementerian Perdagangan China bersetuju untuk memulakan rundingan berhubung siasatan anti-subsidi EU ke atas EV China,” katanya.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) turun 1.5 sen kepada 794.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal berkurangan lima sen kepada 762 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 fizikal berada pada 794 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 757.5 sen sekilogram.-BERNAMA

 

 

https://berita.rtm.gov.my/ekonomi/senarai-berita-ekonomi/senarai-artikel/pasaran-getah-ditutup-rendah-sedikit-seiring-aliran-menurun-pasaran-niaga-getah-serantau

 

Sumber : Berita RTM

KUALA LUMPUR, 23 Jun - Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia dijangka diniagakan dengan kecenderungan menurun minggu depan.

Ini disebabkan kebimbangan paras saham yang meningkat.

Peniaga minyak sawit menjangkakan julat dagangan antara RM3,800 satu tan metrik dan RM3,950 satu tan metrik.

Penganalisis Kanan Fastmarkets, Sathia Varqa berpandangan peniaga akan menumpukan pada pengeluaran data pengeluaran Persatuan Minyak Sawit Malaysia (MPOA) dari 1 hingga 20 Mei untuk petunjuk arah pasaran.

Beliau berkata, prospek pengeluaran yang lebih tinggi juga boleh memberi tekanan kepada harga jika eksport tidak bertambah baik.

 

Minyak sawit mentah, dagangan di bursa dijangka diniaga menurun minggu depan

https://berita.rtm.gov.my/ekonomi/senarai-berita-ekonomi/senarai-artikel/minyak-sawit-mentah-dagangan-di-bursa-dijangka-diniaga-menurun-minggu-depan

 

Sumber : Berita RTM

KUALA LUMPUR, 19 Jun- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Rabu, menjejaki harga minyak mentah yang menjadi penanda aras dan pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.

Beliau berkata harga minyak mentah bercampur-campur hari ini berikutan kebimbangan mengenai konflik yang meningkat di Eropah dan Timur Tengah yang mengimbangi kebimbangan mengenai permintaan susulan peningkatan yang tidak dijangka dalam inventori minyak Amerika Syarikat (AS).

“Bagaimanapun, penurunan seterusnya dikekang berikutan peniaga meneliti unjuran prospek permintaan getah asli global yang meningkat oleh Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli dan kebimbangan mengenai bekalan getah yang terhad berikutan pengeluar utama Thailand mengunjurkan cuaca buruk dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata sentimen pasaran disokong oleh jangkaan yang diperkukuh mengenai penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan berikutan data ekonomi AS yang lemah.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk Standard Malaysian Rubber 20 (SMR 20) merosot tiga sen kepada 804 sen sekilogram manakala susu getah pukal kekal tidak berubah pada 792 sen sekilogram.

Pada 5 petang, harga rujukan LGM untuk SMR 20 fizikal sebanyak 802 sen sekilogram manakala susu getah pukal sebanyak 789.5 sen sekilogram.- BERNAMA

 

https://berita.rtm.gov.my/ekonomi/senarai-berita-ekonomi/senarai-artikel/pasaran-getah-ditutup-bercampur-campur-15

 

Sumber : Berita RTM

PUTRAJAYA: Sistem kutipan cukai yang diamalkan di negara ini adalah bagi mengelak kerajaan berdepan dalam keadaan terus berhutang atau meminjam dana daripada luar negara.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, berkata kerajaan perlu mengambil tindakan drastik supaya negara tidak terjejas akibat hutang sehingga mendatangkan risiko kepada generasi akan datang.

"Tetapi ada juga pengusaha di luar sana mengambil kesempatan untuk mengelak daripada membayar cukai.

"Sebab itu mana-mana agensi kerajaan yang terbabit secara langsung mengutip hasil untuk negara, sebenarnya hasil kita kutip bukan untuk kita, tetapi kutip hasil untuk negara dan generasi akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab Himpunan Aspirasi MADANI Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam di sini, hari ini.

Himpunan itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Terdahulu, seorang peserta himpunan itu bertanya mengenai langkah kerajaan menambah bilangan pembayar cukai berbanding meningkatkan kadar cukai sedia ada.

Mengulas lanjut, Johari berkata, pelbagai usaha yang dilaksanakan kerajaan tidak akan bertahan lama jika negara hanya bersandarkan kepada hutang.

Dalam pada itu, katanya, sesebuah jabatan atau agensi perlu melaksanakan perubahan dan menjadi lebih bertanggungjawab, konsisten dan berdisiplin.

"Saya mempunyai pengalaman di Kementerian Kewangan selama 22 bulan, saya bersetuju dalam soal konteks kita kena meningkatkan pendapatan kerajaan.

"Tetapi dalam proses kita meningkatkan pendapatan kerajaan ini, kita mesti berlaku adil dan saksama kepada mereka yang mengadu mengenai sistem percukaian kita," katanya.

 

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/06/1258636/sistem-cukai-bantu-elak-negara-daripada-terus-berhutang-johari

 

Sumber : Berita Harian