BERITA AGRIKOMODITI 2024

KUALA LUMPUR, 11 Julai- Harga Getah Mutu Malaysia SMR 20 ditutup tinggi pada Khamis yang juga hari ketiga berturut-turut dan seiring dengan prestasi pasaran niaga hadapan serantau dan harga minyak mentah, kata peniaga.

Sentimen itu juga, katanya, didorong oleh jangkaan penurunan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS).

Beliau berkata unjuran data ekonomi China yang kukuh berserta langkah-langkah rangsangan bagi menyokong pemulihan ekonominya, turut membantu mengekalkan momentum pasaran.

“Bagaimanapun, peningkatan seterusnya dikekang oleh pengukuhan prestasi nilai ringgit berbanding dolar AS menjelang pengumuman laporan inflasi negara maju itu yang penting,” katanya kepada Bernama.

Harga Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi SMR 20 meningkat 7.5 sen kepada 786.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal turun 2.0 sen kepada 660 sen sekilogram.

Setakat 5 petang, harga rujukan LGM bagi SMR 20 fizikal berada pada 782.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal pada 657 sen sekilogram.- BERNAMA

 

https://berita.rtm.gov.my/ekonomi/senarai-berita-ekonomi/senarai-artikel/harga-getah-ditutup-tinggi-bagi-hari-ketiga-seiring-prestasi-pasaran-serantau

 

Sumber : Berita RTM

KUALA LUMPUR: Jumlah stok minyak sawit Malaysia meningkat 4.35 peratus kepada 1.83 juta tan pada Jun 2024 daripada 1.75 juta tan pada Mei 2024, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Dalam laporan prestasi industri pada Jun 2024, MPOB berkata, stok minyak sawit mentah (MSM) negara merosot kepada 925,165 tan pada Jun daripada 979,019 tan yang direkodkan pada Mei.

"Stok minyak sawit diproses meningkat kepada 904,304 tan pada Jun daripada 774,192 tan sebelumnya," katanya.

Sementara itu, katanya, pengeluaran MSM merosot kepada 1.62 juta tan pada Jun daripada 1.70 juta tan pada bulan sebelumnya manakala pengeluaran isirung sawit berkurangan kepada 367,852 tan daripada 408,326 tan sebelumnya.

MPOB berkata, eksport minyak sawit susut kepada 1.21 juta tan pada Jun daripada 1.38 juta tan pada Mei dan eksport biodiesel turun kepada 14,542 tan pada Jun daripada 22,483 tan pada Mei.

Eksport oleokimia berkurangan kepada 217,430 tan pada Jun daripada 257,635 tan sebelum ini.

"Eksport minyak isirung sawit pada Jun naik kepada 90,895 tan daripada 87,827 tan pada Mei manakala eksport hampas isirung sawit melonjak kepada 213,418 tan pada Jun daripada 147,006 tan sebelumnya," menurut MPOB.

Mengenai import, MPOB berkata, MSM dan minyak sawit yang diproses merosot kepada 11,738 tan pada Jun daripada 20,761 tan pada bulan sebelumnya.

Jumlah import minyak isirung sawit turun kepada 11,214 tan pada Jun daripada 15,842 tan pada Mei, tambahnya. - BERNAMA

 

https://www.astroawani.com/berita-bisnes/stok-minyak-sawit-malaysia-meningkat-435-peratus-kepada-183-juta-pada-jun-mpob-478444

 

Sumber : Astro Awani

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin akan mengetuai delegasi Malaysia ke China untuk lawatan kerja dan promosi agrikomoditi dari 8 hingga 12 Julai 2024.

Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam kenyataan hari ini, lawatan itu dianjurkan kementerian dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Perkhidmatan Teknikal Sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia (PORTSIM China).

"Dalam lawatan itu, timbalan menteri akan mengadakan pertemuan peringkat tinggi dengan rakan sejawatannya daripada Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC), Menteri Ekologi dan Alam Sekitar China (MEE) serta Kementerian Perdagangan China (MOFCOM) untuk membincangkan isu-isu antara Malaysia dan China, terutamanya mengenai perdagangan agrikomoditi," katanya.

Selain itu, Foong Hin dijadualkan untuk menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Industri Bijirin dan Minyak Antarabangsa China ke-15, yang akan menekankan kepentingan minyak sawit dan peranannya dalam keterjaminan makanan global.

"Beliau juga akan menekankan komitmen Malaysia terhadap pengeluaran minyak sawit mampan melalui pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan menggariskan hubungan perdagangan yang penting antara kedua-dua negara, memanfaatkan Inisiatif Jalur dan Laluan untuk meningkatkan eksport pelbagai produk agrikomoditi ke China," katanya.

Foong Hin juga dijangka menyampaikan ucapan pembukaan pada Dialog Meja Bulat mengenai 'Kerjasama Rantaian Nilai Hijau Malaysia-China: Menggalakkan Pembangunan Rendah Karbon dan Peralihan Adil dalam Minyak Sawit, Meningkatkan Ekonomi Hijau dan Menyokong Pemulihan Berdaya Tahan'.

"Antara mesej ucapan itu ialah komitmen Malaysia terhadap kemampanan melalui pensijilan MSPO dan langkah untuk mengurangkan pelepasan karbon, termasuk pelaksanaan program pencampuran biodiesel yang bertujuan untuk mencapai B30 menjelang 2030," katanya.

-BERNAMA

 

https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/07/1268253/timbalan-menteri-ketuai-delegasi-promosi-agrikomoditi-malaysia-ke

 

Sumber : Berita Harian

 

https://www.bernama.com/bm/pasaran/news.php?id=2314835

 

Sumber : Bernama

 

Bangi: Harga minyak sawit Malaysia akan menjadi tidak kompetitif berbanding negara pengeluar lain jika levi keuntungan luar biasa (WPL) ke atas minyak sawit di negara ini tidak disemak semula.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pihaknya akan meneliti dan menyemak semula WPL sebelum hasil keputusan itu akan dihantar kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, perkara itu juga secara tidak langsung akan menggalakkan penanaman semula tanaman itu apabila produk kelapa sawit menjadi persaingan, sekali gus meningkatkan pelaburan dalam negara.

"Apabila produk ini jadi kompetitif kemudian lebih ramai orang (pelabur) datang dan melabur dalam tanah yang kita sudah ada.

"Sebanyak RM57 juta untuk mereka melabur bagi penanaman semula dan meningkatkan hasil jangka panjang," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, mengenai jangkaan keputusan perkara berkenaan, Johari berkata, pihaknya akan membentangkan semakan itu kepada MOF untuk pihak berkenaan memahami secara tuntas mengenainya.

"Ia untuk pastikan mereka faham kenapa pentingnya untuk kita galakkan penanaman semula supaya produk kita lebih kompetitif dan meningkatkan hasil yang tinggi," katanya.

Dalam pada itu, Johari berkata, Malaysia mempunyai 5.7 juta hektar tanah untuk penanaman kelapa sawit dan negara mengeksport lebih kurang 15 juta tan.

"Jadi, sudah tentu kalau kita banyak buat pembangunan dan penyelidikan (R&D) banyak produk kelapa sawit kita boleh buat untuk aktiviti hiliran atau produk hiliran seperti produk gris gred makanan terbiodegradasi berasaskan sawit," katanya.

 

https://www.hmetro.com.my/bisnes/2024/07/1107859/harga-sawit-tak-kompetitif

 

Sumber : Harian Metro