SIARAN MEDIA 2024

SIARAN MEDIA

LADA SARAWAK LONJAK IMEJ MALAYSIA DI PERINGKAT GLOBAL

 

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Chan Foong Hin hari ini telah menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia 2024 anjuran Lembaga Lada Malaysia (MPB) di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. 

Persidangan Kebangsaan Industri Lada Malaysia 2024 yang julung kalinya diadakan pada tahun ini telah mengangkat tema “Memantapkan Pertumbuhan Industri Lada” sejajar dengan usaha ke arah kemampanan industri lada di bawah Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN2030) yang menghimpunkan rantaian pemegang taruh sektor lada. Persidangan ini bertujuan meningkatkan permintaan dan penggunaan lada bagi memperkukuh sektor hiliran lada di peringkat pasaran tempatan dan antarabangsa.

Selain menjadi platform kepada Lembaga Lada Malaysia (MPB) untuk mendekati penggiat industri lada bagi saluran pemasaran lada yang terjamin, persidangan ini memperkukuhkan hubungan perdagangan yang harmoni di sepanjang rantaian pengeluaran sektor lada turut mempererat.

Pada tahun 2023, kadar penggunaan lada global merekodkan peningkatan iaitu kira – kira 291,000 tan metrik berbanding dengan kadar penggunaan pada tahun sebelumnya iaitu sebanyak 251,000 tan metrik.

Perkembangan positif terhadap permintaan lada didorong oleh potensi kegunaan komoditi lada dalam pelbagai bidang seperti bidang farmaseutikal dan kosmeseutikal di seluruh dunia.

Bagi memastikan kemampanan industri lada, kerajaan melalui MPB tekad melaksanakan program dan projek serta bantuan yang lebih dinamik dan bersepadu agar industri lada negara sentiasa kekal relevan dan mampan. 

Kerajaan melalui MPB sedang menawarkan pelbagai insentif dan bantuan bukan sahaja kepada pekebun tetapi juga usahawan lada bagi merancakkan  perkembangan industri lada baik dari segi huluan mahupun hiliran. 

Di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) sebanyak RM53 juta diperuntukkan oleh kerajaan untuk memberi bantuan melalui Skim Tanaman Lada Baharu (STLB), Skim Tanaman Lada Matang (STLM) dan Projek Pengeluaran Lada Premium (PPLP). Skim-skim ini ditawarkan kepada pekebun yang layak bagi meringankan beban kos yang ditanggung dan pada masa yang sama menggalakkan para pekebun untuk menghasilkan lada berkualiti dengan kuantiti yang lebih tinggi. 

Di samping itu, MPB giat membantu usahawan bimbingan melalui pemberian mesin dan pelbagai kursus keusahawanan bagi meningkatkan penglibatan usahawan hiliran yang berdaya saing, berinovasi dan dinamik dalam penghasilan produk hiliran lada. Kerajaan memperuntuk RM5 juta bagi tujuan tersebut.

MPB juga aktif dalam menerokai potensi pasaran baharu bagi memastikan rantaian permintaan dan bekalan yang berterusan. Antara pasaran yang dikenal pasti mampu menawarkan harga premium adalah pasaran di negara-negara Scandinavia seperti Sweden dan Finland. 

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui MPB akan terus komited melaksanakan inisiatif program pemerkasaan sektor agrikomoditi lada yang melibatkan golongan sasar bagi mewujudkan aktiviti nilai tambah di dalam rantaian bekalan bahan mentah demi kelangsungan industri lada negara.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 15 MEI 2024

SIARAN MEDIA

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI MADANI 2024 PERINGKAT NEGERI TERENGGANU PERKUKUH JALINAN PERPADUAN ANTARA

MASYARAKAT TEMPATAN BERSAMA KERAJAAN PERSEKUTUAN

 

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar

Terengganu, YAB Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar telah hadir ke Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI 2024 Peringkat Negeri Terengganu anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri bersama Kerajaan Negeri Terengganu di Pekarangan Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Kuala Nerus, Terengganu, hari ini.

Tujuan utama penganjuran majlis ini adalah untuk memupuk semangat muhibah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat di samping membolehkan pemimpin bertemu dan beramah mesra dengan rakyat. Sambutan Aidilfitri MADANI ini juga merupakan platform masyarakat di sekitar negeri Terengganu tanpa mengira latar belakang berkumpul bersama dalam suasana harmoni selain membina jalinan perpaduan bersama Kerajaan Persekutuan.

Melalui majlis ini juga, rakyat Terengganu berpeluang mengenali fungsi, peranan dan perkhidmatan KPK dan agensi kementerian dengan lebih dekat melalui informasi dan pameran interaktif khalayak ramai. Antara perkhidmatan kaunter disediakan adalah perkhidmatan dan khidmat nasihat berkaitan sektor Agrikomoditi serta promosi program pembangunan kapasiti dan modal insan melalui program dan kursus peningkatan kemahiran (upskilling dan reskilling) di bawah Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC).

Selain mengeratkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Terengganu,  majlis sambutan ini juga signifikan kepada KPK dari  aspek peningkatan ketampakan KPK kepada masyarakat tempatan di Terengganu selaku Kementerian yang bertanggungjawab terhadap Sektor Agrikomoditi Negara. 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 

9 Mei 2024

 

 

SIARAN MEDIA

KERJASAMA LEMBAGA KOKO MALAYSIA DAN NESTLE (MALAYSIA)

BERHAD HASILKAN PRODUK COKLAT DARIPADA  BIJI KOKO BORNEO  

Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah melancarkan produk baharu KitKat® Dark 52% keluaran Nestlé (Malaysia) Berhad dengan kerjasama Lembaga Koko Malaysia (LKM) di Pusat Inovasi dan Teknologi Koko LKM, Nilai, Negeri Sembilan, hari ini. 

Produk KitKat® Dark 52% merupakan produk coklat single origin Borneo yang menggunakan 100 peratus biji koko Malaysia daripada Sabah dan Sarawak. Pengeluaran sumber koko daripada Borneo tersebut adalah menerusi kaedah pengurusan tanaman mampan (sustainable agriculture) yang berpotensi untuk dimajukan serta berupaya mengangkat nama biji koko Borneo agar lebih dikenali di persada antarabangsa.


Kerjasama antara LKM dan Nestlé merupakan inisiatif Nestlé Borneo Cocoa untuk memberi fokus kepada pengeluaran koko mampan serta memupuk kesedaran kepada petani serta komuniti mengenai pentingnya penjagaan alam sekitar di samping mengamalkan aktiviti penanaman berasaskan teknologi hijau. Kerjasama seumpama ini mampu menggalakkan impak positif dari segi peningkatan hasil pengeluaran biji koko tempatan mampan serta berkeupayaan meningkatkan sumber pendapatan petani koko secara umumnya.

Turut hadir di majlis pelancaran, Pengerusi LKM, YB Datuk Matbali Musah; Ketua Pengarah LKM, YBhg. Datuk Dr. Ramle Haji Kasin dan Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé (Malaysia) Berhad, Encik Juan Aranols.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 

6 Mei 2024

 

SIARAN MEDIA

MAJLIS PERASMIAN ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG  2023 DAN SAMBUTAN HARI RAYA AIDILFITRI ANJURAN MTIB  

 

YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi hari ini telah menyempurnakan Majlis Perasmian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC 2023) MTIB dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2024. Program ini telah dianjurkan oleh Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) bertempat di Dewan Persidangan MTIB, Tingkat 13 Menara PGRM.

Objektif program ini adalah untuk meraikan 36 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MTIB 2023 sebagai tanda penghargaan MTIB kepada semua warga kerja MTIB yang telah membantu dalam memastikan industri perkayuan Malaysia terus kekal di arus perdana.  

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) merupakan penghargaan Kerajaan kepada pegawai perkhidmatan awam yang telah memberi perkhidmatan cemerlang di samping pengiktirafan terhadap perkhidmatan yang bermutu tinggi berdasarkan prestasi tahunan pegawai. Pemberian APC diberi kepada sejumlah maksimum 8 peratus daripada jumlah pegawai yang sedang berkhidmat pada 31 Disember tahun penilaian bagi setiap Agensi. Seramai 36 orang warga kerja MTIB telah dipilih oleh Mesyuarat Panel Pembangunan Sumber Manusia 1 (PPSM 1) untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) berdasarkan kepada prestasi kerja yang cemerlang pada tahun 2023.  

Di kesempatan majlis ini juga, Polisi Keselamatan Siber (PKS) MTIB dilancarkan bagi menggantikan Dasar Keselamatan ICT (DKICT) yang telah digunakan sejak tahun 2007. Polisi ini menyenaraikan peraturan dan menerangkan peranan semua pihak yang terlibat selaras keperluan pengurusan keselamatan maklumat di ruang siber yang luas serta risiko dan ancaman yang semakin meningkat.

   

Untuk makluman semasa, nilai keseluruhan eksport kayu dan produk kayu negara pada tahun 2023 adalah berjumlah RM21.84 bilion. Manakala nilai import kayu dan produk kayu negara pula adalah berjumlah RM7.60 bilion.

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 

25 April 2024

             

SIARAN MEDIA

MEMORANDUM PERJANJIAN PROJEK RINTIS MACHINE SPECIALIST

IMPAC-SDPB DIJANGKA HASILKAN 100 PEKERJA TEMPATAN BERKEMAHIRAN DALAM SEKTOR PERLADANGAN SAWIT

 

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Chan Foong Hin hari ini menyaksikan pemeteraian Memorandum Perjanjian ( Memorandum of Agreement ) Projek Rintis Machine Specialist antara Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) dan Sime Darby Plantation Berhad (SDPB) semasa sesi lawatan kerja beliau di Sime Darby Plantation R&D Centre, Pulau Carey, Selangor hari ini.

Inisiatif kerjasama menerusi projek rintis ini membuka peluang pekerjaan kepada warga belia (dikenali sebagai Projek Lokal) untuk meningkatkan penglibatan pekerja tempatan dalam sektor perladangan yang berkebolehan secara praktikal serta memiliki pengalaman dalam bidang spesialisasi mesin. Antara objektif program yang berorientasikan jaminan kerjaya ini adalah bagi menyediakan 100 peluang pekerjaan bernilai tinggi (high value job) dalam bidang Machine Specialist di sektor perladangan sawit.

Projek yang akan dilaksanakan di Akademi Sime Darby Plantation, Pulau 

Carey, Selangor mengambil masa selama 3 bulan 2 minggu bermula pada Februari 2024 melibatkan 100 orang perantis. Antara kriteria pemilihan perantis adalah mereka yang berkelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), berumur 18 hingga 35 tahun (keutamaan diberikan kepada golongan B40), berminat dalam bidang jentera pertanian, latihan kemahiran teknikal, serta mempunyai kemahiran komunikasi dan interpersonal yang baik.

Perantis yang berjaya menamatkan latihan dan lulus ujian penilaian akan ditempatkan di Sime Darby Plantation Berhad dan pemain-pemain industri lain. Kolaborasi IMPAC dan SDPB merupakan kerjasama sinergi antara pemain industri dan agensi dalam menyokong inisiatif Kerajaan ke arah menggalakkan penggunaan mekanisasi dan automasi dalam operasi perladangan.  

Sebelum itu, YB Datuk Chan Foong Hin turut menyaksikan sesi menandatangani perjanjian kerjasama antara SDPB bersama Universiti Malaya bagi Projek Alat Pemotong Laser (Laser Cutter Project) Fasa 2. Projek kolaborasi tersebut telah bermula sejak 2021 bagi tujuan pembangunan teknologi pemotongan menggunakan laser bagi bidang kerja penuaian dalam industri perladangan kelapa sawit. Di acara tersebut juga, pihak Universiti Malaya turut menyerahkan projek prototaip Alat Pengesan Kematangan Buah Sawit Laser (Laser Ripeness Sensor) kepada SDPB yang telahpun diselesaikan pada akhir tahun 2023.  

Kementerian sentiasa menyokong penuh inisiatif SDPB dalam mencapai hasrat meningkatkan penglibatan pekerja tempatan berkemahiran dan berkualiti secara tidak langsung mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI  23 FEBRUARI 2024