SIARAN MEDIA 2023

KENYATAAN MEDIA

 

PELANCARAN MODEL BAHARU PROJEK RINTIS INSENTIF

PENGELUARAN LATEKS (IPL) DAN PROJEK RINTIS GETAH ASLI

MAMPAN MALAYSIA (MSNR)

 

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi pada hari ini telah merasmikan Majlis Pelancaran Model Baharu Projek Rintis Insentif

Pengeluaran Lateks (IPL) dan Projek Rintis Getah Asli Mampan Malaysia

(MSNR) bertempat di Dewan SIGMA, Pusat Latihan Statistik, Sungkai, Slim

River, Perak. 

Model Baharu projek rintis IPL bertujuan membantu pekebun kecil getah menambah pendapatan dengan galakan untuk beralih kepada penghasilan susu getah (lateks) berbanding getah sekerap (cuplump), selain membantu meningkatkan pengeluaran lateks bagi menampung bekalan lateks di sektor hiliran negara.

Melalui model baharu IPL, peserta dari kalangan pekebun kecil getah akan menerima beberapa manfaat insentif yang akan dinilai berdasarkan produktiviti lateks yang bakal dihasilkan dengan kadar tertentu yang telah ditetapkan. 

Kilang pemproses lateks yang terpilih dalam projek rintis model baharu IPL akan memperoleh manfaat melibatkan kebenaran khas mengutip lateks dengan syarat-syarat tertentu dan pinjaman kemudahan serta peralatan seperti RRIMMeter bagi memudahkan penentuan kadar kandungan getah kering di lapangan dengan lebih cepat dan sistematik.

Projek rintis model baharu IPL dibangunkan dengan memendekkan rantaian pemasaran melalui jualan lateks secara terus daripada pekebun kecil kepada kilang pemproses, yang boleh membantu meningkatkan harga jualan lateks dan pendapatan pekebun kecil getah.

Pada majlis ini juga, Projek Rintis Getah Asli Mampan Malaysia (MSNR) dilancarkan. Projek rintis MSNR merupakan persediaan LGM bagi menyediakan industri getah Malaysia melaksanakan pematuhan MSNR di peringkat kebangsaan, selain meneraju penghasilan getah asli dan produk getah mampan dunia. 

Projek rintis MSNR akan dimulakan di beberapa negeri terpilih di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan penyertaan oleh pekebun kecil, peniaga getah, dan kilang pemprosesan. 

Pada majlis ini juga, YAB Menteri turut melancarkan van Kaunter Bergerak LGM. Van ini akan menyediakan perkhidmatan di kawasan-kawasan pedalaman atau yang jauh dari pejabat LGM sedia ada. 

Perkhidmatan Van Kaunter Bergerak LGM bertujuan menyantuni pekebun kecil dalam mempermudahkan urusan permohonan dan pembaharuan kad PAT-G, memberi penerangan mengenai bantuan-bantuan Kerajaan seperti Insentif Pengeluaran Getah (IPG) dan IPL, memberikan khidmat nasihat kepada pekebun kecil dan pelesen getah serta mempromosikan teknologi dan inovasi terkini LGM.

Kementerian sentiasa komited dalam memastikan industri getah sentiasa dipelihara, mampan dan berdaya saing melalui pelaksanaan inisiatif dan projek-projek berimpak tinggi untuk kemanfaatan rakyat dan negara.

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI 23 OKTOBER 2023

 

T I M B A L A N  P E R D A N A  M E N T E R I

D A N

M E N T E R I  P E R L A D A N G A N  D A N  K O M O D I T I

              M A L A Y S I A     

         KENYATAAN MEDIA

BELANJAWAN 2024 MEMPERKUKUH SEKTOR AGRKOMODITI, MENGANGKAT DARJAT RAKYAT

 

  1. Pembentangan Belanjawan 2024 oleh YAB Perdana Menteri membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkasa pertumbuhan ekonomi serta agihan manfaat kerajaan dilaksanakan secara adil kepada semua lapisan masyarakat selaras dengan konsep Malaysia MADANI.
  1. Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyambut baik pengumuman Belanjawan 2024 yang menterjemah tekad kerajaan untuk mengorak langkah dalam perjalanan pembaharuan Malaysia, membina semula negara supaya gemilang, terangkum dan mampan, seterusnya mengagihkan limpahan hasil bagi mengangkat darjat rakyat untuk menikmati kehidupan lebih berkualiti terutamanya kepada golongan yang terlibat dalam sektor agrikomoditi.
  1. Belanjawan 2024 merangkumi reformasi dasar yang mendokong prinsip dan nilai Ekonomi MADANI menerusi penekanan terhadap dua (2) perkara iaitu menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia serta menaik taraf kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia. Sejajar dengan dasar jangka sederhana hingga panjang khususnya Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMKe12) yang mengetengahkan pembangunan sosioekonomi, tiga (3) fokus utama diperkasakan iaitu Memperkukuhkan Kemampanan, Membangunkan Masyarakat Sejahtera dan Mencapai Negara Berpendapatan Tinggi. Justeru, Belanjawan 2024 dilihat mampu menyasarkan peningkatan daya saing Sektor Agrikomoditi menjadi industri High Growth, High Value (HGHV) melalui penerimaan pakai teknologi dan amalan mampan.
  1. Setakat Jun 2023, sektor agrikomoditi telah menyumbang RM38 bilion atau sekitar 5 peratus kepada KDNK dan RM77.4 bilion atau 11 peratus kepada eksport negara. Belanjawan 2024 memberi fokus kepada pembangunan Sektor Agrikomoditi dengan secara keseluruhannya sebanyak RM732.7 meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM428.31 juta serta perbelanjaan pembangunan pula sejumlah RM304.39 juta, melibatkan perkara-perkara berikut:
  • RM100 juta bagi Insentif Program Tanam Semula Sawit akan ditawarkan secara geran dan pinjaman kepada 7,000 pekebun kecil sawit persendirian.
  • RM70 juta bagi meningkatkan tahap kemampanan industri sawit serta memperhebat Kempen Menangani Antiminyak Sawit di pentas antarabangsa.
  • RM10 juta bagi melaksanakan projek rintis penggunaan gas stimulan untuk manfaat pekebun kecil getah di ladang seluas 1,000 hektar.
  • Peruntukan RM400 juta bagi kenaikan Harga Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.70 dinaikkan ke paras harga pengaktifan IPG kepada RM 3.00 sekilogram.
  • Bagi peningkatan produktiviti hasil perladangan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing melalui mekanisasi dan automasi seperti dron dan kenderaan pandu sendiri, skop galakan cukai automasi akan diperluas untuk meliputi sektor komoditi di bawah KPK.
  1. Sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab terhadap Sektor Agrikomoditi negara, Kementerian berazam memastikan kemampanan jangka panjang menerusi pelaksanaan reformasi dasar demi kelangsungan Sektor Agrikomoditi serta mengangkat darjat ekonomi rakyat terutamanya pekebun kecil yang merupakan nadi penghasilan produk komoditi negara agar sumber kekayaan negara dapat diimbangi secara saksama.
  1. Menerusi Belanjawan 2024 ini juga, sudah pasti Kerajaan Persekutuan terus komited dalam meneruskan rundingan dan melaksanakan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Antaranya Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (Pindaan) 2023 telah diluluskan di Dewan Rakyat bagi memperuntukkan wakil Kerajaan Negeri Sabah yang dinamakan Ketua Menteri Sabah dan seorang wakil Kerajaan Negeri Sarawak yang dinamakan Premier Sarawak selaras dengan hasil Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) 1963.
  1. Di samping itu, Kerajaan Persekutuan bersama-sama Kerajaan Sabah telah mencapai kesepakatan berhubung penyerahan kuasa kawal selia bekalan elektrik yang bakal berkuat kuasa pada 3 Januari 2024.
  1. Kerajaan Persekutuan juga sedang berunding untuk merealisasikan penyerahan Pelabuhan Bintulu dan pengoperasian Perkhidmatan Udara Desa (RAS) kepada Kerajaan negeri.
  1. Kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam memperjuangkan kesejahteraan Sabah dan Sarawak menyaksikan peruntukan untuk kedua-dua negeri berkenaan terus meningkat dalam Belanjawan 2024 berbanding 2023.
  1. Peruntukan pembangunan untuk Sarawak meningkat kepada RM5.8 bilion berbanding RM5.6 bilion ringgit pada 2023. Manakala, peruntukan bagi Sabah meningkat kepada RM6.6 bilion berbanding RM6.5 bilion ringgit pada 2023. Penurunan kuasa untuk projek pembangunan di bawah nilai RM50 juta kepada agensi teknikal Sabah dan Sarawak dan peningkatan kadar pemberian khas interim juga membuktikan komitmen padu Kerajaan Perpaduan dalam memperkasakan pembangunan infrastruktur di keduadua negeri.
  1. Belanjawan 2024 sesungguhnya jelas memperlihat tekad Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan agenda dan dasar yang memberi keutamaan rakyat Malaysia secara keseluruhan khususnya untuk menjaga kebajikan dan hal ehwal Sabah dan Sarawak.

 

YAB DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF

TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI 

13 OKTOBER 2023

 

SIARAN MEDIA

 

KOPERASI KLUSTER KOKO SARAWAK PERKASAKAN AKTIVITI

AGROPELANCONGAN

 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof hari ini telah merasmikan Hari Berandau dan Koperasi Kluster Koko Sarawak 2023 di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Kota Samarahan.

Sempena Hari Berandau anjuran Lembaga Koko Malaysia (LKM) ini, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah telah menyempurnakan pelancaran aktiviti komoditi-pelancongan (agropelancongan) melibatkan lawatan sambal belajar (education tour) di bawah pengendalian Koperasi Kluster Koko Sarawak yang mampu melestarikan sumbangan agensi komoditi dalam membangunkan ekonomi di wilayah Sarawak. 

Operasi kompleks koperasi ini dijalankan oleh Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad atau singkatan ringkasnya 3KQ. Antara aktiviti agropelancongan meliputi pendedahan aktiviti jual-beli biji koko kering, pemprosesan biji koko, penghasilan coklat blok dan pralin serta galeri jualan.


Aktiviti agropelancongan tersebut bakal dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Residen Samarahan, Sarawak Tourism Board (STB), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan agensi-agensi pelancongan di Sarawak serta Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai dan pelancong mengenai kepentingan dan potensi industri koko di Sarawak, pengunjung bukan sahaja dapat mengadakan lawatan santai tetapi juga mempelajari tentang rantaian pemprosesan koko bermula dari tanaman sehingga ke produk siap coklat. 

Kompleks Kluster Koko Sarawak telah mula beroperasi secara rasmi sejak 12 Disember 2021 dan merupakan kompleks yang pertama seumpamanya di Malaysia yang berkonsepkan koko ‘from farm to table’ dengan sumber biji koko tempatan diproses sehingga menghasilkan coklat Single Origin Sarawak. 

Semasa majlis turut diadakan beberapa perjanjian persefahaman (MoU) antara Lembaga Koko Malaysia dengan pihak industri dan koperasi kluster koko serta penyampaian sijil kepada 10 orang penerima Anugerah ‘Cocoa Excellence’ peringkat Kebangsaan.

Kementerian sentiasa mendukung pelbagai inisiatif yang dilaksanakan menerusi LKM dalam mempromosi dan memperkasa pembangunan industri koko secara berterusan.

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

30 SEPTEMBER 2023

KENYATAAN MEDIA

 

MAKLUMAN PERUBAHAN KETUA DELEGASI MISI EKONOMI YAB MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI KE INDIA,

24-28 SEPTEMBER 2023

 

Kementerian Perladangan dan Komoditi merujuk kepada kenyataan media Kementerian bertarikh 22 September 2023 berhubung YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi akan mengetuai satu delegasi Misi Ekonomi ke India pada 24 sehingga September 2023.

Sehubungan dengan itu, disebabkan perkembangan semasa yang memerlukan keberadaan YAB Menteri di tanah air, misi tersebut akan diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi, YBhg. Dato Mad Zaidi Mohd Karli.

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
23 SEPTEMBER 2023

SIARAN MEDIA

 

WORLD BAMBOO DAY MALAYSIA (WBD) 2023

PERKASA PEMBANGUNAN INDUSTRI BULUH MALAYSIA KE

PERINGKAT GLOBAL

 

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof hari ini telah menyempurnakan perasmian sambutan World Bamboo Day Malaysia 2023 ke-12 anjuran Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dengan kerjasama Insititut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) di Auditorium FRIM, Kepong.

Objektif sambutan WBD ini adalah untuk meningkatkan kesedaran penggunaan buluh di peringkat global, melindungi sumber semulajadi dan alam sekitar, memastikan penggunaan buluh secara mampan dan menggalakkan perladangan buluh sebagai industri baharu. 

Pada tahun 2022, industri perkayuan di Malaysia telah menyumbang sebanyak RM25.21 bilion kepada pendapatan eksport negara dengan peningkatan sebanyak 10.6% berbanding nilai eksport yang dicatat pada tahun 2021. Daripada jumlah tersebut, nilai eksport produk buluh pada tahun 2022 berjumlah RM14.46 juta, meningkat 66.1% berbanding tahun 2021 yang berjumlah RM8.7 juta. Manakala nilai import produk buluh dicatatkan berjumlah RM129.18 juta. 

Pada masa ini, terdapat sebanyak 577 pengusaha buluh yang terlibat secara langsung merangkumi industri papan buluh, perabot, pembinaan tekstil, perladangan, makanan dan arang serta kraftangan. Malaysia mempunyai lebih kurang 70 spesies buluh, di mana 45 daripada spesies tersebut merupakan spesies tempatan yang tumbuh secara semulajadi di kawasan hutan. Dari segi taburan, sebanyak 31% rumpun buluh terdapat di Semenanjung Malaysia, 45% di Sarawak dan 24% di Sabah. 

Bagi memastikan industri buluh di Malaysia terus berkembang maju, Kementerian

Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi MTIB telah membangunkan Pelan Tindakan Pembangunan Industri Buluh Malaysia 2021-2030. Pelan ini memfokuskan kepada 5 Teras Strategik merangkumi:

i. Pengukuhan Dasar dan Perluasan Sumber;  ii. Peningkatan Modal Insan, Kepakaran dan Kapasiti;  iii. Pengukuhan Inovasi, Teknologi dan R&D&C; iv. Pemerkasaan Rantaian dan Jaminan Kualiti; dan

v. Pengukuhan Strategi Pemasaran dan Perkongsian Pintar.

Kementerian menerusi MTIB juga melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan potensi industri buluh negara. Antaranya:

  1. Penubuhan 15 hektar Ladang Buluh contoh yang dibangunkan secara bersama antara MTIB dan Terengganu Timber Industry Training Centre (TTITC) di Hulu Terengganu;
  1. Program Community Farming Buluh yang menyediakan insentif anak benih buluh dan baja bagi penanaman buluh 1 sehingga 9.9 ekar;
  • Penubuhan Bamboo One Stop Centre di Tadom Hill Resort Banting projek kolaborasi antara MTIB, Malaysian Timber Council (MTC) dan Tadom Hill Resort Sdn Bhd sebagai pusat rujukan buluh untuk orang awam;
  1. Kerjasama MTIB dengan Pusat Kraftangan Sabah (PKS) yang telah menubuhkan model Ladang Buluh dengan keluasan 120 ekar melibatkan 60 peserta daripada usahawan PKS;
  1. Pelaksanaan Projek Pembangunan Produk Non-Woven daripada gentian Buluh bagi aplikasi bahan perabot dan binaan oleh Pusat Biokomposit dan Gentian (FIDEC) MTIB; dan
  1. Penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan buluh di FRIM yang merangkumi pelbagai bidang penyelidikan termasuk huluan dan hiliran.

YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof juga telah melancarkan buku berkaitan Industri Arang Buluh di Malaysia yang diterbitkan secara bersama oleh MTIB dan FRIM semasa program pada hari ini. Penerbitan buku ilmiah tersebut  bakal memberi manfaat kepada pemain industri buluh di Malaysia.

Kementerian komited untuk terus memperkasa pelbagai program dan inisiatif berkaitan pembangunan industri buluh agar menjamin lelangsungan buluh sebagai produk agrikomoditi yang boleh menjana pendapatan serta memberi manfaat kepada rakyat khususnya dan negara amnya.

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

21 SEPTEMBER 2023