SIARAN MEDIA 2023

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

M A L A Y S I A

KENYATAAN MEDIA

 

MISI KE KESATUAN EROPAH, BRUSSELS, BELGIUM DAN UNITED KINGDOM OLEH YAB MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI, 28 MEI – 4 JUN 2023 

 

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof akan mengadakan Misi ke Kesatuan Eropah (EU) di Brussels, Belgium disusuli dengan Lawatan Rasmi ke London, United Kingdom pada 28 Mei 2023 hingga 4 Jun 2023. 

Misi ke EU merupakan misi bersama Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan Indonesia di bawah Majlis Negara-Negara Pengeluar Sawit (CPOPC) berikutan persetujuan antara YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof dan Menteri Koordinator Bidang Perekonomian Indonesia (KOMENKO), Dr. (H.C) Ir. Airlangga Hartarto, pada 9 Februari 2023 di Jakarta, Indonesia untuk terus menjaga kepentingan sektor sawit menerusi pemerkukuhan usaha menangani diskriminasi terhadap minyak sawit.

Hal ini merupakan tindak balas susulan pengumuman pelaksanaan European Union Deforestation Regulations (EUDR) oleh EU pada 6 Disember 2022 yang bertujuan menghalang penyahhutanan oleh aktiviti pertanian di seluruh dunia. Tindakan tersebut boleh dianggap sebagai suatu kawalan bukan tarif yang boleh memberi kesan negatif terhadap perdagangan bebas dan adil, khususnya apabila ia lebih disasarkan kepada produk agrikomoditi tropika daripada negara-negara membangun melibatkan jutaan pekebun kecil sekali gus boleh menjejaskan rantaian bekalan global.

Semasa Misi di Brussels, kedua-dua pemimpin negara dijangka akan mengadakan pertemuan serta sesi libat urus dengan barisan kepimpinan tertinggi EU bagi menjelaskan pendirian negara anggota CPOPC ke atas pelaksanaan EUDR yang bukan sahaja menindas sektor agrikomoditi secara amnya dan industri sawit secara khususnya malahan menjejaskan mata pencarian jutaan pekebun-pekebun kecil.

Sebagai salah sebuah negara anggota CPOPC, Malaysia komited untuk terlibat secara aktif dalam platform bersama ini di peringkat global untuk meneruskan agenda memerangi kempen negatif pihak Barat ke atas minyak sawit. Sesi libat urus dengan EU bagi mencapai hasil yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara pengeluar dan pengguna sawit akan dipergiat.

United Kingdom (UK) adalah rakan dagangan ke-23 paling penting kepada Malaysia. Pada ketika ini, UK masih dalam proses rundingan untuk menjadi negara anggota Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). Semasa sesi rundingan ke-5 yang diadakan pada 27 Februari hingga 4 Mac 2023 lepas, UK telah bersetuju untuk memberikan penghapusan tarif sepenuhnya ke atas semua baris tarif produk Agrikomoditi Malaysia secara Entry Into Force (EIF). 

Justeru, adalah penting bagi Sektor Agrikomoditi Malaysia untuk memperkukuhkan lagi hubungan dagangan dengan UK melalui Jawatankuasa Bersama Bagi Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan Dua Hala Antara Malaysia dan United Kingdom (MUKJC) dan Forest, Agriculture dan Commodity Trade (FACT) Dialogue iaitu sebuah platform dialog antara negara pengeluar dan negara pengguna untuk menjadikan perdagangan agrikomoditi global lebih mampan.

Bagi lawatan rasmi di London, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof akan mengadakan pertemuan dengan beberapa menteri yang berkaitan dengan sektor agrikomoditi di United Kingdom. Selain itu, beliau juga akan menyampaikan ucaptama dalam Forum International Sustainable Palm Oil Forum (ISPOF) anjuran KSI Strategic Institute for Asia Pacific (KSI) dan Malaysia-Link UK dan lawatan kerja ke Tun Abdul Razak Research Centre (TARRC), yang merupakan salah satu pusat penyelidikan dan pembangunan getah utama dunia.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berharap kedua-dua misi ke Eropah dan United Kingdom ini mencapai hasrat negara untuk menyampaikan maklumat yang tepat secara langsung kepada pihak-pihak berkepentingan bertujuan bagi menangkis persepsi negatif dan sebarang usaha untuk memberi tekanan terhadap sektor agrikomoditi dan perhutanan di negara ini. 

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

27 MEI 2023

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

M A L A Y S I A

KENYATAAN MEDIA

 

49,000 PEKEBUN KECIL GETAH TERIMA BANTUAN KHAS AIDILFITRI

 

Seramai 49 ribu pekebun kecil getah di seluruh negara dianggarkan akan menerima Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) yang melibatkan peruntukan berjumlah RM9.8 juta.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Getah Malaysia akan menyalurkan BKKA sebanyak RM200 kepada pekebun kecil getah berdaftar dengan keluasan kebun getah melebihi 2.5 hektar sehingga 6.0 hektar.

YAB Perdana Menteri pada 29 Mac 2023 telah mengumumkan bahawa Kerajaan bersetuju untuk menyalurkan BKKA sebanyak RM200 dengan jumlah keseluruhan peruntukan RM170 juta kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan.

KPK telah mengambil tindakan bagi memastikan kumpulan sasar yang terdiri daripada pekebun kecil getah mendapat manfaat BKKA. Penyaluran bantuan ini akan dikreditkan ke dalam akaun pekebun kecil sebelum atau pada 14 April 2023.

Pada masa yang sama, BKKA akan turut disalurkan oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kepada pekebun kecil yang memiliki kebun getah dengan keluasan 2.5 hektar ke bawah.

BKKA 2023 khusus kepada pekebun kecil getah ini diharapkan dapat meringankan beban pekebun kecil getah di seluruh negara dalam memenuhi keperluan sempena sambutan Aidilfitri yang menjelang tiba.

 

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
12 APRIL 2023

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

M A L A Y S I A

 

KENYATAAN MEDIA YAB TPM DAN MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI

 

 

Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia (KPK) mengalu-alukan kemasukan UK ke dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongisan Trans-Pasifik (CPTPP) yang dianggap sebagai peluang terbaik dalam memperkukuhkan hubungan sedia ada Malaysia dengan UK sebagai rakan dagangan utama rantau Indo-Pasifik.

Kementerian ini turut mengalu-alukan kenyataan Setiausaha Perdagangan UK Kemi Badenoch yang menangkis idea penyahhutanan dalam sektor sawit dan mengakui bahawa produk-produk sawit adalah baik untuk kegunaan harian.

Sektor Minyak Sawit Mampan Malaysia berada di kedudukan terbaik dalam memenuhi permintaan pengguna dari serata UK dan Eropah ke arah alternatif minyak masak yang lebih mampan.

KPK mendukung kepentingan menjaga alam sekitar dan memelihara biodiversiti dan Malaysia komited untuk menjadikan Sektor Minyak Sawit Mampan Malaysia sentiasa mesra alam sekitar.

Kementerian ini berharap agar dapat bekerjasama rapat dengan UK sebagai rakan baharu dalam CPTPP dan akan memberikan usaha sepenuhnya dalam mempromosikan perdagangan di antara kedua-dua negara.

DATO’ SRI FADILLAH YUSOF

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi

2 April 2023

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN  KOMODITI M A L A Y S I A

KENYATAAN MEDIA

 

 

BAYARAN INSENTIF PENGELUARAN GETAH (IPG) BERSIFAT MENYELURUH KEPADA SEMUA PEMILIK KEBUN DAN PENOREH GETAH

 

Kerajaan tidak pernah mengabaikan pekebun kecil getah ketika harga komoditi tersebut diparas rendah. Kerajaan sentiasa prihatin dengan kebajikan pekebun kecil getah yang mana pendapatan mereka akan terjejas apabila harga getah merosot. Seperti komoditi lain, getah asli juga berorientasikan eksport dan harganya ditentukan oleh permintaan dan penawaran antarabangsa dan diluar kawalan mana-mana pihak.

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) ingin menegaskan bahawa penyaluran IPG melalui Lembaga Getah Malaysia (LGM) adalah bersifat menyeluruh kepada semua pemilik kebun dan penoreh getah yang berjumlah lebih 320,000 orang. Oleh itu, Kenyataan tular yang menyatakan berlaku ketidakadilan dalam bayaran IPG adalah tidak berdasarkan fakta sebenar.

Kerajaan telah melaksanakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) sejak tahun 2015 yang bersifat serampang dua mata iaitu bertujuan untuk mengurangkan beban ekonomi pekebun kecil ketika harga getah di pasaran rendah di samping menggalakkan mereka untuk terus menoreh bagi meningkatkan pengeluaran getah negara.

Bagi menggalakkan pengeluaran getah, penyaluran IPG adalah bersifat menyeluruh yang merangkumi pemilik kebun getah dan juga pengusaha (penoreh) berdasarkan takrifan rasmi semasa pekebun kecil di Malaysia. Penoreh yang mengambil upah menoreh secara pawah (pajakan) juga layak untuk memiliki Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) dan seterusnya menerima bantuan IPG. 

Kerajaan menyalurkan bantuan IPG kepada kedua-dua pemilik dan penoreh dengan mengambil kira keperluan kedua-dua pihak.  Pemilik kebun getah memerlukan bantuan IPG bagi membeli input pertanian seperti baja dan racun serta penyelenggaraan kebun. Manakala penoreh getah memerlukan bantuan untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kenyataan baru-baru ini mengenai peruntukan Kerajaan untuk IPG berjumlah RM2 bilion dan bayaran IPG berjumlah RM575 juta sejak 2015 hingga 2022 adalah tidak tepat. Rekod sebenar perbelanjaan IPG oleh Kerajaan adalah sebanyak RM446 juta telah disalurkan kepada pekebun kecil seluruh negara sejak 2015 hingga kini.

 

Tiada sebarang karenah birokrasi dalam penyaluran bantuan IPG oleh LGM. Mulai 1 Januari 2021, pembayaran IPG telah dibuat secara terus ke akaun bank pekebun kecil dan mereka tidak perlu lagi membuat permohonan secara manual di pejabat-pejabat LGM ataupun RISDA. Pekebun kecil yang memiliki PAT-G diwajibkan untuk menjual getah kepada peniaga getah berlesen LGM.

 

Pekebun kecil adalah seseorang yang memiliki dan mengusahakan satu atau lebih kebun getah yang jumlah keseluruhannya tidak melebihi 40.46 hektar. Berdasarkan Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014, pekebun kecil diwajibkan memiliki PAT-G. PAT-G merupakan permit jualan getah yang dikeluarkan secara percuma oleh LGM. Dengan adanya PAT-G, ia bukan sahaja dapat mengekang kes kecurian getah, malah dapat membantu mempermudahkan penyaluran bantuan Kerajaan kepada pekebun kecil.

Walaupun bayaran IPG telah dibayar secara automatik, terdapat segelintir pekebun kecil yang gagal untuk menerima bayaran disebabkan masalah akaun bank yang tidak aktif dan PAT-G yang tamat tempoh.

Bagi menangani isu ini, LGM sentiasa komited turun ke lapangan melalui pembukaan kaunter One Stop Centre (OSC) di seluruh Malaysia bagi menyantuni pekebun kecil dalam mempermudahkan urusan PAT-G dan IPG. Terkini bagi negeri Kedah, kaunter OSC telah dibuka di Baling, Sik, Bukit Selambau, Jitra, Padang Terap dan Kuala Nerang. Malahan kaunter OSC juga telah diadakan di negeri-negeri lain seperti Perak, Negeri Sembilan, Johor, Selangor, Kelantan dan Terengganu.

 

Saranan sesetengah pihak supaya sebahagian dana IPG dikeluarkan dan disalurkan dibawah Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) adalah tidak sesuai. Ini   kerana objektif pelaksanaan BMT dan IPG adalah berbeza. BMT adalah bantuan secara sekali beri (one-off) bagi membantu  pendapatan pekebun kecil yang terjejas ketika musih tengkujuh. Manakala IPG adalah bantuan secara berterusan bagi menggalakkan pekebun kecil kekal menoreh dan meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

KPK dan LGM sentiasa komited dalam memastikan kebajikan pekebun kecil getah dipelihara dan memastikan bantuan bersifat adil dan saksama kepada semua golongan sasar. Kerajaan juga sedang meneliti beberapa inisiatif atau projek berimpak tinggi yang sedia dan berpotensi dilaksanakan khususnya dalam menjaga kebajikan pekebun kecil getah.

KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI

31 Mac 2023

 
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
MALAYSIA
KENYATAAN MEDIA
TPM FADILLAH YUSOF TERIMA KUNJUNGAN HORMAT
SETIAUSAHA KEWANGAN HONG KONG, PAUL CHAN MO-PO
 

Pada pagi Selasa, 28 Mac 2023, saya telah menerima kunjungan hormat daripada rakan sejawat saya, Setiausaha Kewangan Hong Kong, Paul Chan Mo-Po di Bilik Kunjungan Hormat, bangunan Parlimen.

Perjumpaan ini merupakan perjumpaan peringkat tertinggi yang pertama di antara Malaysia dan Hong Kong dalam tempoh 3 tahun.

Pertemuan yang berlangsung kira-kira 30 minit itu turut disertai oleh En. Abdul Hadi Omar, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik dan Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), Cik Belvinder Kaur Sron, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan para pegawai daripada KPK.

Seiring dengan peralihan pusat ekonomi ke rantau Asia, Hong Kong merupakan antara rakan dagang terpenting bagi Malaysia dan menjadi detinasi eksport Malaysia yang ke-5 terbesar. Nilai dagangan di antara
Malaysia dengan Hong Kong juga telah mencatatkan peningkatan sebanyak 20% pada tahun 2022, iaitu daripada USD21.68 billion pada 2021 kepada USD25.69 billion pada 2022.

Dalam pertemuan itu saya telah menyentuh mengenai kepentingan memperkukuhkan hubungan dua hala dan membuka peluang baharu kepada sektor lain yang berpontensi tinggi seperti perkhidmatan, agrikomoditi, pelancongan dan kebudayaan, pendidikan, perkhidmatan, dan ekonomi digital.

Paul Chan Mo-Po turut menjemput saya untuk mengadakan lawatan rasmi ke Hong Kong dan melawat hub ekonomi terbaharu iaitu the Greater Bay Area (GBA) yang menghubungkan wilayah Guangzhou-Hong Kong-Macao. GBA ini merupakan sebuah kawasan yang mempunyai potensi besar pelaburan khususnya dalam sektor teknologi tinggi.

Malaysia berharap kunjungan ini akan membuka lebih banyak peluang kerjasama dan mengeratkan lagi hubungan dua hala kedua-dua negara, selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia untuk memulihkan ekonomi negara pasca COVID-19.

Dato’ Sri Fadillah Yusof
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan
Komoditi
28 Mac 2023