SIARAN MEDIA
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah menyantuni masyarakat Orang Asli semasa Program Sembang Santai bersama Pekebun Kecil Sawit Negeri Selangor bersempena Trek Komoditi (Zon Tengah Semenanjung) yang diadakan di Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey, Selangor hari ini.
Berdasarkan rekod semasa MPOB, anggaran Orang Asli di Pulau Carey yang terlibat dalam sektor sawit sebagai pekebun kecil adalah seramai 200 orang.
Semasa sesi sembang santai tersebut, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof menyeru agar semua pekebun kecil Orang Asli di negeri Selangor untuk menyertai KPSM kerana ia menawarkan pelbagai faedah bagi meningkatkan produktiviti dalam penanaman sawit. Sehingga Jun tahun ini, sebanyak 69 buah Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) telah ditubuhkan di seluruh negara dengan 24 daripadanya berada di Semenanjung. Daripada jumlah ini, dua KPSM telah ditubuhkan di Selangor iaitu Kuala Selangor Selatan Berhad dan Kuala Langat Berhad.
Sehingga Jun tahun ini, sebanyak 69 buah Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) telah ditubuhkan di seluruh negara dengan 24 daripadanya berada di Semenanjung. Daripada jumlah ini, dua KPSM telah ditubuhkan di Selangor iaitu Kuala Selangor Selatan Berhad dan Kuala Langat Berhad.
Kerajaan melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menyalurkan pelbagai bantuan kepada pekebun kecil sawit persendirian. Bantuan-bantuan ini antaranya ialah Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS), Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS), Skim Insentif Integrasi Tanaman (ITa) dan Skim Insentif Integrasi Ternakan (ITe).
Sebanyak 27 pekebun kecil sawit di Selangor terlibat dalam Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) merangkumi keluasan 36 hektar kawasan tanaman sawit.
Selain daripada itu, Kerajaan melaksanakan program bantuan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian melalui aktiviti penternakan di bawah Skim Insentif Integrasi Ternakan (ITe). Manakala Skim Insentif Integrasi Tanaman (ITa) merupakan program bantuan yang disediakan untuk meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit persendirian melalui aktiviti penanaman tanaman kontan.
Sehingga 30 Jun 2023, sebanyak 25 projek Skim ITe bagi ternakan ayam dan itik telah dilaksanakan di negeri Selangor. Di bawah Skim ITa untuk tanaman pisang, nanas dan tembikai, sebanyak tujuh projek telah dilaksanakan.
Kementerian melalui MPOB juga sedang mempergiat usaha untuk meningkatkan lagi penyertaan pekebun-pekebun kecil sawit bagi mematuhi prinsip-prinsip kemampanan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang merupakan langkah strategik Kerajaan untuk meningkatkan imej industri sawit negara di peringkat global.
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof bersama rombongan Trek Komoditi Kementerian Perladangan dan Komoditi juga telah ke ladang sawit di East Estate, Sime Darby, Pulau Carey untuk meninjau demonstrasi peralatan automasi dan mekanisasi sawit.
Dalam usaha memperkasa sektor komoditi sawit negara, Kementerian sentiasa komited dan prihatin bagi menjamin kesejahteraan pekebun kecil sawit negara termasuk golongan Orang Asli. Antara inisiatif mempertingkat pengetahuan pekebun kecil dilaksanakan di lapangan menerusi MPOB adalah seperti Lawatan Khidmat Nasihat Sawit, Lawatan Amalan Pertanian Baik (GAP), Prgoram Kursus Sehari Sawit, Taklimat MSPO dan GAP serta pelbagai program latihan lain.
SIARAN MEDIA
206 PMG DI NEGERI SEMBILAN GUNA PAKAI APLIKASI RRIMNIAGA
BAGI URUSAN JUAL BELI GETAH
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Yusof, Menteri Perladangan dan Komoditi telah turun padang dan menyantuni lebih 150 orang pekebun kecil getah dan komuniti serta belia dalam sesi sembang santai di Kampung Sawah, Rantau, Negeri Sembilan. Program ini merupakan sebahagian dari kerangka program Trek Komoditi anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) Zon Tengah Semenanjung yang diadakan bermula pada 5 Ogos 2023 hingga 6 Ogos 2023.
Selain sesi sembang santai, YAB Menteri Perladangan dan Komoditi telah melawat ke kebun getah milik penduduk tempatan di Rantau dan melihat sendiri proses pengumpulan cuplump dari pokok getah untuk dibawa ke Pusat Mengumpul Getah (PMG) iaitu Kwong Sang Guan Rubber Dealer. PMG tersebut merupakan lokasi berpotensi yang menyertai Projek Pembangunan Model Adaptasi Teknologi Getah (ADTEG) dan telah mengadaptasi penggunaan teknologi RRIMniaga dan RRIMeter bagi urusan jual beli getah.
Bagi program ADTEG, sebanyak 102 peserta di Negeri Sembilan telah mula menggunakan teknologi rangsangan Hydrobest dengan melibatkan jumlah keluasan 98 hektar di mana Rembau sebanyak 72 hektar, Jempol 10 hektar dan Jelebu 16 hektar.
Di Negeri Sembilan, 206 buah PMG telah menggunapakai aplikasi RRIMniaga di dalam urusan jual beli getah. Dari jumlah tersebut, 2 PMG menggunakan teknologi RRIMeter bagi menentukan kadar kandungan getah kering (KGK) lateks. Keduadua PMG ini merupakan peserta Insentif Pengeluaran Lateks (IPL).
Trek Komoditi (Zon Tengah Semenanjung meliputi Negeri Sembilan dan Selangor dan sektor tumpuan bagi siri kali ini adalah komoditi getah, kayu, sawit dan koko. Program Trek Komoditi ini merupakan merupakan platform YAB Menteri Perladangan dan Komoditi dan KPK untuk turun padang bersama rakyat bagi menerangkan inisiatif-inisiatif serta hala tuju Kerajaan berhubung sektor agrikomoditi, mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pekebun kecil, usahawan, serta masyarakat setempat berkenaan isu-isu semasa dan mengetengahkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada kumpulan sasar.
Kementerian sentiasa komited dalam memastikan pelaksanaan pelbagai inisiatif dan kemudahan bagi pekebun kecil getah bagi menggalakkan peningkatan produktiviti dan kemampanan sektor getah selaras dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030).
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
5 OGOS 2023
KENYATAAN MEDIA
MAKLUM BALAS KEPADA VIDEO KELUHAN PEKEBUN KECIL
MENGENAI HARGA GETAH RENDAH
KENYATAAN MEDIA
INISIATIF PELUNCURAN EKONOMI MADANI DIYAKINI
MAMPU MELONJAKKAN EKONOMI NEGARA
Pengumuman Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Majlis Peluncuran Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat adalah satu tekad yang diyakini mampu untuk melonjakkan ekonomi, serta menambah baik Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menyambut baik visi dan sasaran yang telah digariskan di bawah Malaysia Madani. KPK bersedia untuk mengorak langkah melalui penjajaran program-program dan aktiviti Kementerian bagi menyokong aspirasi tersebut. Dengan krisis makanan yang dihadapi dunia, adalah penting untuk negara terus mengatur strategi supaya tidak bergantung semata-mata kepada penghasilan komoditi diperingkat huluan tetapi turut mempelbagaikan produk hiliran bernilai tambah tinggi.
Selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri untuk mengoptimum penggunaan tanah perladangan sedia ada, KPK melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mempergiat penghasilan baka sawit hibrid yang dapat menghasilkan minyak lebih banyak dengan menggunakan keluasan tanah terhad.
MPOB sebagai institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) juga akan terus memastikan bahawa produk sawit yang dihasilkan sentiasa berkualiti serta mampan, mengambil kira cabaran masa kini yang dihadapi terutamanya penolakan Eropah atas dakwaan pelbagai isu seperti penyahhutanan dan keselamatan makanan.
Umum mengetahui, sektor agrikomoditi adalah penting bagi ekonomi negara, selain dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat tempatan serta meningkatkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara. Dalam hal ini, industri ini akan terus diperkasa melalui pelbagai inisiatif yang akan diperkenalkan Kementerian.
Hasrat untuk mencipta kekayaan baharu negara melalui aset sedia ada negara seperti biodiversiti dalam pasaran perdagangan karbon sektor agrikomoditi akan turut diberi perhatian. Usaha-usaha pemuliharaan dan penghutanan semula yang dilaksanakan adalah bukti bahawa Malaysia amat menitikberatkan pemuliharaan sumber hutan bagi mengekalkan kemampanan alam sekitar.
Bahkan, KPK menerusi agensi di bawahnya telah menggerakkan Program Penghijauan Malaysia yang merupakan agenda nasional bagi menghadapi cabaran perubahan iklim serta meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Kementerian turut menyambut baik usaha Sarawak memperintis kenderaan menggunakan tenaga hydrogen serta CCUS (Carbon Capture, Utilisation & Storage). Justeru, Kementerian turut mendukung inisiatif kerajaan dalam pelaksanaan pemulihan kelestarian alam menerusi pendayagunaan teknologi hijau seperti penggunaan biodiesel sawit.
Semoga hasrat dan inisiatif yang dilaksanakan ini dapat mengangkat darjat dan martabat negara dengan menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi di rantau Asia Tenggara dan dunia, yang akhirnya akan memberi limpahan hasil kepada rakyat dan negara.
DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MENTERI PERLADANGAN DAN KOMODITI
27 JULAI 2023
SIARAN MEDIA
MAJLIS PELANCARAN
PROGRAM PENGUMPULAN MINYAK MASAK TERPAKAI
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dengan kerjasama PETRONAS Dagangan Berhad (PDB) telah melancarkan Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai di Stesen PETRONAS di Putrajaya.
Tiga (3) stesen PETRONAS telah dikenal pasti sebagai pusat pengumpulan minyak masak terpakai iaitu stesen PETRONAS Subang Bestari, Kota Kemuning 1 dan Putrajaya 1.
Inisiatif mesra rakyat ini bertujuan untuk memupuk kesedaran tentang potensi minyak masak terpakai, antaranya memberi peluang kepada komuniti untuk menjana pendapatan sampingan dan memelihara alam sekitar.
Penjualan minyak masak terpakai di stesen PETRONAS akan memberi sedikit pulangan kepada penjual. Hasil jualan tersebut akan dikreditkan dalam akaun aplikasi Setel dan boleh ditebus untuk mengisi minyak atau membeli barangan di Kedai Mesra.
Sebagai salah satu inisiatif ekonomi kitaran agrikomoditi, PETRONAS akan menggunakan minyak masak terpakai ini sebagai salah satu sumber bahan mentah utama bagi menghasilkan bahan api penerbangan lestari atau sustainable aviation fuel (SAF).
Melalui kerjasama antara PETRONAS dan KPK, inisiatif pengumpulan minyak terpakai berpotensi untuk memacu permintaan dan harga minyak sawit, seterusnya meningkatkan pendapatan pekebun kecil sawit di samping dapat menjana pendapatan tambahan isi rumah.
Bagi memenuhi keperluan pematuhan mandat Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation (CORSIA) pada 2027 dan mendukung agenda Negara ke arah karbon sifar bersih menjelang tahun 2050, PETRONAS sedang meningkatkan daya saing melalui keupayaan penghasilan dan kebolehpasaran bahan api penerbangan lestari (sustainable aviation fuel, SAF) berasaskan minyak masak terpakai. Usaha ini adalah bagi mengukuhkan posisi PETRONAS sebagai peneraju pasaran domestik dan rantau Asia Tenggara.
Kementerian Perladangan Dan Komoditi
18 Julai 2023
Pelawat Hari Ini : 510 | Pelawat Bulan : 12080