KENYATAAN MEDIA
YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI
PERLADANGAN DAN KOMODITI
MESYUARAT PERTAMA MAJLIS BIODIVERSITI NEGARA
22 MAC 2023
1. Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Biodiversiti Negara (MBN1) pada 22 Mac 2023. Mesyuarat ini telah dihadiri oleh 7 orang YB Menteri dan Timbalan Menteri Persekutuan serta YAB Menteri Besar Perak, YAB Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Timbalan Ketua Menteri Sabah, YB Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Sarawak; dan 11 orang Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Semenanjung Malaysia.
2. Majlis Biodiversiti Negara (MBN) merupakan platform utama bagi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri membincangkan hala tuju dan strategi biodiversiti di peringkat kebangsaan.
3. Sebanyak 3 Kertas Pertimbangan dan 4 Kertas Makluman yang merangkumi inisiatif konservasi biodiversiti di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak telah dibentangkan dan MBN1
bersetuju dengan Terma Rujukan Majlis Biodiversiti Negara; dan penyelarasan Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework ke dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025. MBN1 juga bersetuju supaya penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia (Malaysia Biodiversity Centre - MBC) diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri bagi meningkatkan pengurusan biodiversiti negara dan merealisasikan penubuhan Muzium Sejarah Alam Semulajadi Malaysia (Natural History Museum Malaysia).
4. MBN1 turut mengambil maklum mengenai status konflik manusia dan hidupan liar di Semenanjung Malaysia; cadangan usaha konservasi spesies pokok Gelam (Melaleuca cajuputi); pelaksanaan akses dan perkongsian faedah di Sabah; dan projek Sarawak Reef Ball.
5. MBN1 menekankan kepentingan mengarusperdana pengurusan biodiversiti melalui pendekatan keseluruhan negara (whole-ofnation approach). Keputusan MBN1 ini seterusnya akan dibentangkan untuk pertimbangan dan keputusan Jemaah Menteri.
6. Saya telah berkesempatan menanam pokok Cempaka Hutan (Gardenia carinata) di laman Kompleks Parlimen Malaysia sebagai simbolik dan tanda sokongan kepada usaha pemuliharaan
biodiversiti negara sempena Hari Hutan Antarabangsa yang disambut pada 21 Mac setiap tahun.
7. Saya juga telah melancarkan Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) bagi menghubung, mengekalkan dan memelihara serta memulihara kawasan-kawasan hutan yang terpisah di Semenanjung Malaysia di kawasan Central Forest Spine (CFS).
8. Saya yakin kesepakatan dalam mengukuhkan pengurusan biodiversiti negara melalui MBN akan meningkatkan lagi imej dan reputasi negara dalam pengurusan biodiversiti yang akan menjadi senjata ampuh dalam mematahkan kempen-kempen negatif yang dibuat oleh pihak luar bagi mencemar nama baik negara khususnya apabila menyentuh mengenai sektor perladangan dan komoditi negara.
DATO’ SRI HAJI FADILLAH BIN HAJI YUSOF
YAB TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN MENTERI
PERLADANGAN DAN KOMODITI
22 MAC 2023
KENYATAAN MEDIA
UPACARA PENGHANTARAN GERMINATED SEEDLING (GS) KE
HONDURAS OLEH MAJLIS NEGARA-NEGARA PENGELUAR MINYAK
SAWIT (CPOPC)
Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (Council of Palm Oil Producing Countries - CPOPC) bersama-sama pemain industri dari Malaysia dan Indonesia telah bersetuju untuk menyumbang sebanyak 102,000 biji benih bercambah kelapa sawit (Germinated Seedling - GS) kepada Honduras yang dilanda bencana ribut taufan Eta dan Iota pada bulan November 2020. Sumbangan ini adalah susulan permohonan daripada Secretary of State in Dispatch of Agriculture and Livestock of the Republic of Honduras (SAG) kepada Ketua Setiausaha CPOPC.
CPOPC dan pemain industri Indonesia masing-masing menyumbang sebanyak 20,000 dan 62,000 GS. Manakala Malaysia melalui Minamas Plantation menyumbang sebanyak 20,000 GS. Sumbangan ini dijangka akan membantu pekebun-pekebun kecil sawit di Honduras untuk membina semula hidup mereka yang telah terkesan akibat bencana ribut taufan tersebut. Proses penghantaran GS ini dilakukan melalui udara dari Jakarta, Indonesia dan dijangka akan mendarat di San Pedro Sula, Honduras pada 27 Mac 2023.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia yang juga Pengerusi CPOPC, Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof, menyatakan bahawa sumbangan ini melambangkan kerjasama erat di antara negaranegara pengeluar minyak sawit. Sumbangan ini juga merupakan satu pengiktirafan kepada Honduras yang kini telah memuktamadkan proses accession dan dijangka menjadi negara ke-3 ahli penuh CPOPC pada bulan Mei 2023.
YAB Dato’ Sri Haji Fadillah Yusof berharap usaha ini akan membantu memperkukuh hubungan dalam kalangan negara ahli-ahli CPOPC.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
20 MAC 2023
SIARAN MEDIA
PERSIDANGAN ANTARABANGSA PENSIJILAN KAYU: EXPLORING
FUTURE FRONTIERS BENTANG HASIL PENYELIDIKAN
PELAKSANAAN PENSIJILAN HUTAN
Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) dan Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pensijilan Kayu: Exploring Future Frontiers di Hotel Sunway Putra, Kuala Lumpur. Persidangan antarabangsa ini merupakan anjuran bersama Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC). Persidangan selama dua hari ini telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, YAB Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof.
Persidangan antarabangsa yang turut diadakan secara hibrid ini membentangkan hasil Projek Penyelidikan The Impact of Malaysian Timber Certification Scheme (MTCS) on Forest Management, Industry and Trade yang telah dilaksanakan oleh MTCC dan LESTARI selama tiga tahun yang bermula pada akhir tahun 2019. Objektif persidangan ini adalah:
i. memberi gambaran secara keseluruhan pengalaman dalam pelaksanaan MTCS di Malaysia;
ii. menjadi platform perkongsian pengalaman negara-negara lain dalam pelaksanaan pensijilan hutan;
iii. meneroka idea untuk mengarusperdanakan pensijilan hutan melalui penerimaan oleh industri dalam perdagangan dan pasaran kayu domestik dan global; dan
iv. mewujudkan pilihan dan keyakinan serta keterdapatan produk kayu mampan dalam pasaran domestik dan global.
Sejak Sidang Kemuncak Bumi Rio pada tahun 1992, kepentingan hutan untuk mengekalkan integriti ekologi bumi semakin ditekankan, dan ini dimeterai dalam Matlamat dan Sasaran Hutan Global di bawah Pelan Strategik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Hutan 2030. Perkembangan ini adalah seiring dengan peningkatan permintaan terhadap bahan dan sumber binaan yang boleh diperbaharui dan mesra alam. Selain itu, memandangkan terdapat perubahan ke atas keperluan kawal selia serta permintaan pengguna dan pasaran global, kepentingan pensijilan kayu amat kritikal dalam memastikan pengurusan hutan lestari dan pengeluaran produk kayu dari sumber yang mampan kekal efektif dan inovatif.
Persidangan ini memberi tumpuan kepada tiga tema iaitu;
i. Mengarusperdanakan Pensijilan Kayu untuk Pengurusan Hutan Mampan, Perindustrian dan Perdagangan yang membincangkan pelaksanaan dasar, termasuk perkongsian pengalaman komuniti dan industri. Sesi ini diketuai oleh Cik Sheam Satkuru, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kayu Tropika Antarabangsa (ITTO) sebagai penyampai ucaptama;
ii. Inisiatif untuk Kelestarian Masa Hadapan Pensijilan Kayu yang memfokuskan kepada inisiatif lain yang menyokong pematuhan pensijilan pengurusan hutan dan rantaian jagaan serta memastikan keberkesanan amalan mampan dalam industri perhutanan dan perkayuan di Malaysia. Ucaptama bagi sesi ini telah disampaikan oleh Dr. Michael Berger, Ketua Pegawai Eksekutif Programme for the Endorsement of Forest Certification (PEFC); dan
iii. Pelengkap dalam Pensijilan Kayu Mampan Menjelang dan Melangkau Tahun 2030 mengkongsikan pengalaman dan strategi negara lain dalam melaksanakan pensijilan kayu dan tindak balas terhadap permintaan global untuk produk dan perkhidmatan yang mampan.
Sejak permulaan pada tahun 2001, MTCS terus berkembang melalui proses penambahbaikan dan penglibatan berterusan dengan semua pihak berkepentingan berkaitan perhutanan. Sehingga 31 Disember 2022, terdapat 37 unit pengurusan hutan dengan sejumlah 5.81 juta hektar hutan dan 360 syarikat rantaian jagaan yang dipersijilkan di bawah MTCS.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
15 MAC 2023
SIARAN MEDIA
WOOD & LIFESTYLE FAIR (WLF)
(MTIB 50 TAHUN TEGUH SEIRING USIA)
MALAYSIA GRAND BAZAAR, KUALA LUMPUR
YAB Dato' Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri II & Menteri Perladangan dan Komoditi, hari ini merasmikan pameran Wood & Lifestyle Fair (WLF) (MTIB 50 Tahun Teguh Seiring Usia) bertempat di Malaysia Grand Bazaar (MGB), Kuala Lumpur. Pameran ini diadakan sempena sambutan Jubli Emas Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) yang ke 50 tahun pada 1 Jun 2023. WLF (MTIB 50 Tahun Teguh Seiring Usia) akan berlangsung mulai hari ini sehingga 12 Mac 2023.
Pelbagai acara telah dirancang bersempena sambutan Jubli Emas MTIB. Pameran ini juga merupakan kolaborasi MTIB bersama Persatuan Pengusaha Kayu-Kayan dan Perabot Bumiputra Malaysia (PEKA) dan Jaringan Usahawan Laser Bumiputera (JULB). Penganjuran WLF (MTIB 50 Tahun Teguh Seiring Usia) merupakan satu platform promosi dan jualan untuk usahawan Bumiputera dalam industri perkayuan.
Pameran ini juga akan menjadi hab kepada Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Bumiputera dalam memacu industri perabot dan kraf kayu ke peringkat yang lebih tinggi serta berdaya saing. Pameran ini melibatkan sebanyak 20 usahawan perkayuan bumiputera yang terdiri daripada usahawan perabot kayu, laser, ukiran kayu, produk biokomposit dan produk gaharu. Pameran ini turut dijangka akan menarik seramai 20,000 orang pengunjung.
Pelbagai aktiviti yang menarik telah diaturkan sepanjang berlangsungnya pameran ini selama empat hari. Antaranya adalah demonstrasi produk ukiran kayu dari usahawan Bumiputera, sesi taklimat oleh Key Opinion Leader (KOL) dalam industri perkayuan, padanan pekerjaan dan pendidikan dalam industri perkayuan, “From Waste to Wealth Activities”, sesi padanan perniagaan dan pameran woodcraft dan perabot kayu, produk biokomposit serta produk-produk gaharu.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi MTIB akan terus mempergiatkan pelaksanaan program bagi agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera sebagai misi nasional dan Kerajaan. KPK juga sentiasa proaktif dalam mengukuhkan kedudukan usahawan Bumiputera industri perkayuan agar mampu bersaing secara kompetitif di peringkat global. Pemerkasaan Bumiputera juga menjadi salah satu teras utama fokus KPK di dalam Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN 2030) iaitu di bawah teras Keterangkuman: Meningkatkan penyertaan Bumiputera dan menjaga kesejahteraan pekebun kecil.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
9 MAC 2023
Pelawat Hari Ini : 446 | Pelawat Bulan : 12016