http://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1740006
Sumber: Bernama.com | Tarikh kemaskini: 27/06/2019

KUALA LIPIS, 27 Jun (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti harga lantai getah bagi menetapkannya pada paras lebih tinggi dalam usaha membantu pendapatan para pekebun kecil yang menghadapi ketidaktentuan harga komoditi itu.

Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata usaha itu juga selaras dengan kemampuan kerajaan untuk melaksanakannya pada masa akan datang.

"Buat masa ini kita sedang meneliti semua cadangan kerana saya hendak maklumkan di sini bukan sahaja getah kita juga berhadapan dengan cabaran komoditi lain seperti kelapa sawit, lada hitam dan putih.

"Jadi, perlu ada satu kaedah jaringan keselamatan sosial yang menyeluruh dan buat masa ini kita hanya mampu memberi komitmen RM2.50 yang diharapkan dapat dinaikkan," katanya.

Shamsul Iskandar berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pekebun Kecil Getah di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Garang Abdul Samad di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Presiden Pertubuhan Usahawan Getah Bumiputera Malaysia, Kameruzaman Ab Rahman dan Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Shamsudin Atan.

Shamsul Iskandar berkata kementeriannya juga berharap lebih ramai pekebun kecil getah menuntut Insentif Pengeluaran Getah (IPG) yang diwujudkan oleh kerajaan sejak tahun 2015.

"Insentif ini adalah mekanisme sokongan harga di mana IPG akan diaktifkan apabila purata harga bulanan getah gred SMR 20 pada bulan sebelumnya kurang daripada RM6.10 sekilogram atau harga di ladang untuk getah sekerap RM2.50 sekilogram.

"Sehingga 30 April 2019, sebanyak RM164.7 juta telah dibayar untuk IPG di seluruh negara manakala bagi negeri Pahang sahaja, RM11.7 juta dibayar kepada pekebun kecil yang membuat tuntutan," katanya.

Beliau berkata sistem terbaru secara dalam talian juga kini sedang diuji bagi memudahkan pekebun kecil getah menjual getah dan menuntut IPG pada masa akan datang.

"Kita berharap tuntutan IPG ini akan dapat ditingkatkan sekali ganda dalam kalangan pekebun kecil, apatah lagi dengan adanya sistem online(dalam talian) tu nanti," katanya.

-- BERNAMA