http://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1681165
Sumber: BERNAMA | Tarikh kemaskini: 03/01/2019

PUTRAJAYA, 3 Jan (Bernama) -- United Kingdom (UK) akan mengikuti rapat perkembangan berhubung usaha Malaysia memastikan kelestarian industri minyak sawit dan industri itu tidak dibangunkan sehingga menyebabkan kemusnahan hutan yang menjejaskan alam sekitar, kata Setiausaha Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Komanwel UK, Jeremy Hunt.

Ketika bercakap pada sidang media bersama dengan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah selepas mengunjungi Saifuddin di Wisma Putra di sini hari ini, Hunt berkata beliau mengambil peluang untuk mengetahui lebih lanjut tentang usaha Malaysia itu semasa perbincangan.

"Memang baik kerana berpeluang mengetahui kemajuan yang dicapai oleh Malaysia dan dalam hal ini, UK akan mengikuti rapat usaha ke arah itu," kata beliau ketika ditanya mengenai pendirian UK berhubung keputusan Kesatuan Eropah (EU) untuk menghentikan penggunaan minyak sawit menjelang 2030.

Hunt kini dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula hari ini.

Hunt berkata Malaysia, sebagai negara yang UK menjalin hubungan perdagangan, diplomasi dan juga persahabatan yang erat terjalin beratus-ratus tahun adalah destinasi pertama dalam lawatannya bagi 2019.

"Malaysia ialah negara terbaik untuk UK menunjukkan betapa erat hubungan kami dengan negara-negara di seluruh dunia ketika kami menggariskan hala tuju pasca Brexit di dunia," kata beliau.

Hunt berkata beliau dan Saifuddin mengadakan perbincangan yang berhasil tentang bagaimana untuk mengukuhkan perdagangan antara kedua-dua negara.

Sementara itu, Saifuddin berkata hubungan antara Kuala Lumpur dan London sentiasa amat baik dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara sejak 10 tahun lalu mencecah RM2 bilion hingga 17 bilion setahun.

"Saya memberitahu bahawa Malaysia mengikuti dengan penuh minat mengenai isu Brexit dan Kuala Lumpur menaruh harapan untuk terus mengukuhkan kerjasama dan keterlibatan sebagai contoh untuk memperkukuhkan lagi proses demokrasi pentadbiran baharu Malaysia selepas Pilihan Raya Umum," kata beliau.

Saifuddin berkata Malaysia juga mengalukan-alukan tawaran oleh kerajaan Britain untuk membantu Malaysia dalam beberapa agenda pembaharuan terutamanya transformasi perkhidmatan awam.

"Seramai 16,500 rakyat Malaysia kini menuntut di UK dan saya percaya jumlah itu akan meningkat pada masa akan datang. Malaysia sentiasa menghargai kualiti pendidikan UK dan sebab itulah mengapa ramai rakyat Malaysia melanjutkan pengajian di UK dengan sesetengah daripada mereka ditaja oleh kerajaan,” katanya.

Turut dibangkitkan dalam perbincangan ialah isu Rohingya dan menurut Saifuddin, Malaysia dan UK mempunyai pandangan yang sama mengenai banyak perkara yang mendapat perhatian kedua-dua negara.

-- BERNAMA