https://mediapermata.com.bn/stok-minyak-sawit-malaysia-meningkat/
Sumber: Media Permata.com | January 11, 2019

KUALA LUMPUR, 10 Jan – Stok minyak sawit Malaysia bagi Disember 2018 meningkat 6.92 peratus, mencatat rekod tinggi sebanyak 3.22 juta tan berbanding 3.01 juta tan pada November.

Stok minyak sawit mentah (MSM) naik 8.40 peratus kepada 1.94 juta tan pada bulan tersebut daripada 1.79 juta tan pada bulan sebelumnya.

Stok minyak sawit diproses meningkat 4.73 peratus kepada 1.27 juta tan daripada 1.22 juta tan sebelum ini, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerusi laporan ‘Prestasi Industri Minyak Sawit Malaysia bagi Bulan Disember 2018’ yang dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun katanya pengeluaran MSM menyusut 2.02 peratus kepada 1.81 juta tan pada Disember daripada 1.85 juta tan pada bulan sebelumnya.

Pengeluaran isirung sawit juga menyusut 1.15 peratus kepada 446,528 tan pada Disember berbanding 451,724 tan pada November.

MPOB berkata eksport minyak sawit meningkat 0.57 peratus kepada 1.383 juta tan pada Disember daripada 1.375 juta tan pada November, manakala eksport oleokimia naik 2.75 peratus kepada 253,941 tan daripada 247,135 tan.

Eksport biodiesel berkembang 61.75 peratus berbanding 44,091 tan pada November dan eksport dedak isirung sawit naik 21.36 peratus kepada 201,727 tan daripada 166,217 tan.

Pada Disember, eksport minyak isirung sawit menyusut 38.59 peratus kepada 61, 218 tan daripada 99,684 tan pada bulan sebelumnya. – Bernama