http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1683407
Sumber: BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) membidas dakwaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kononnya industri kelapa sawit telah menggunakan taktik yang sama dengan industri tembakau dan alkohol bagi mempengaruhi penyelidikan ke atas kesan kesihatan terhadap produk-produk sawit.

Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Dr Kalyana Sundram memberitahu artikel daripada WHO itu amat berat sebelah, editor kepada laporan tersebut tidak menggunakan proses yang seimbang sehingga ia menimbulkan ketidaktentuan di kalangan ahli akademik.

"Penulis dari Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan ahli akademik United Kingdom telah menggunakan fakta yang hanya memberi faedah kepada diri mereka bagi mengkritik minyak sawit untuk mewujudkan kesan sensasi.

"Lebih merisaukan ialah WHO, sebagai sebuah entiti yang paling dihormati, telah membenarkan dirinya dijadikan alat bagi memanipulasikan komoditi makanan yang telah terbukti menjadi santapan berjuta-juta orang di peringkat global," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel itu yang disiarkan dalam buletin WHO mendakwa mereka telah menemui sembilan keping kertas penyelidikan daripada pertubuhan-pertubuhan kesihatan yang amat positif ke atas komoditi itu tetapi empat daripada mereka telah ditulis oleh MPOC.

Kalyana berkata pada 1980-an, minyak kelapa sawit dikatakan penyebab risiko untuk sakit jantung kerana kandungan lemak tepu yang lebih tinggi sehingga menyebabkan industri terpaksa campur tangan dan menaja penyelidikan global bagi mengetahui perkara yang sebenar.

"Kebenaran yang ditampilkan melalui pembiayaan industri, telah dijadikan sasaran kritikan dalam laporan itu. Hasil penyelidikan minyak kelapa sawit daripada 150 penerbitan dalam jurnal-jurnal kesihatan dan sains pemakanan telah menjelaskan bahawa penggunaan minyak sawit pada tahap pengambilan yang disyorkan adalah tidak membahayakan jantung.

"Penulis dengan sengaja mengabaikan artikel mengenai kebenaran yang diterbitkan dalam jurnal-jurnal tersohor, sebaliknya, memilih maklumat yang bersesuaian dengan kepentingan diri bagi melengkapkan hipotesis mereka," katanya.

Kajian tersebut kemudiannya disokong sedekad kemudian apabila perbahasan mengenai lemak tepu membuahkan hasil yang positif dan minyak sawit terbukti bukan menjadi penyebab utama kepada risiko penyakit jantung.

Beliau meminta penulis artikel dan WHO menyediakan bukti-bukti bagi menyokong tuntutan mereka, dan menambah bahawa MPOC akan memberikan jawapan berasaskan sains yang diiktiraf kepada artikel berkenaan dan kepada Ketua Pengarah WHO.

-- BERNAMA