https://www.utusanborneo.com.my/2019/01/17/malaysia-rancang-perluas-minyak-sawit-ke-pasaran-baharu
Sumber: Utusan Borneo

PUTRAJAYA: Malaysia sedang mengambil langkah untuk meningkatkan eksport minyak sawit, termasuk membuka pasaran baharu di Turki, Iran dan Pakistan, kata Timbalan Menteri Industri Utama Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Beliau berkata negara berkenaan adalah penting, terutamanya Turki yang menjadi pintu masuk ke pasaran Kesatuan Eropah.

“Saya akan berlepas dengan penerbangan ke Pakistan lewat hari ini untuk menghadiri Persidangan Minyak Makan Pakistan dan selepas itu, melawat Iran dan Turki untuk menjalin hubungan dengan menteri perdagangan dan menteri kesihatan masing-masing,” katanya kepada pemberita semasa ditemui pada Seminar Unjuran dan Kajian Semula Ekonomi Minyak Sawit 2019 di sini, hari ini.

Sementara itu, Shamsul Iskandar berkata surat Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden Perancis Emmanuel Macron adalah langkah pertama dalam perjuangan Malaysia untuk mendukung kebenaran dan menghentikan kempen antiindustri minyak sawit.

Semalam, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata Malaysia telah menyerahkan surat kepada Duta Perancis Frédéric Laplanche pada 14 Jan, menjelaskan pendiriannya berhubung keputusan Dewan Negara Perancis pada 19 Dis, 2018, untuk mengubah status minyak sawit sebagai bahan mentah untuk biodiesel dan menghentikan insentif cukai bagi minyak sawit pada 2020.

“Kami tidak akan berdiam diri dan akan berjuang habis-habisan untuk bercakap perkara sebenar. Kajian oleh Bank Dunia menunjukkan penanaman kelapa sawit telah membantu usaha membasmi kemiskinan dan merapatkan jurang pendapatan antara masyarakat bandar dan luar bandar,” kata Shamsul Iskandar.

Berhubung kajian mengenai industri minyak sawit oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang diterbitkan baru-baru ini, beliau berkata Malaysia mahu badan dunia itu menarik balik dan membuat pembetulan terhadap dakwaannya yang menyamakan pemasaran minyak sawit seperti perbuatan melobi oleh pihak industri tembakau dan alkohol.

“Amat terganggu apabila WHO menyamakan perbuatan melobi untuk minyak sawit sama seperti yang dilakukan untuk tembakau dan alkohol. Ia tidak benar. Sebagai badan dunia, WHO sepatutnya bersikap profesional dan bertanggung jawab dengan kenyataanya. Kami akan menggunakan semua saluran supaya laporan salah di dalam bulletin badan dunia itu ditarik balik dan dibetulkan,” katanya. - BERNAMA