http://www.bernama.com/bm/ekonomi/pasaran/news.php?id=1801464
Sumber: bernama.com | Tarikh kemaskini: 20/12/2019 | Oleh Zufazlin Baharuddin 

KUALA LUMPUR, 12 Dis -- Kontrak hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatif ditutup tinggi, disokong oleh unjuran permintaan yang kukuh susulan berita mengenai program B20 biodiesel.

Menteri Industri Utama Teresa Kok Suh hari ini berkata program B20 biodiesel untuk sektor pengangkutan dijangka dilancar mengikut fasa tahun depan.

"Beliau mengumumkan peruntukan RM35 juta untuk program itu yang akan meningkatkan harga MSM, yang diunjurkan mencecah RM3,000 setan,” kata Dr Sathia, Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura, kepada Bernama.

Sathia berkata keuntungan di pasaran tempatan juga menjejaki prestasi kukuh semalaman pasaran minyak kacang soya di Chicago Board of Trade (CBOT) susulan pengesahan Agensi Perlindungan Alam Sekitar US (EPA) mengenai kuota biodiesel yang lebih tinggi bagi minyak sawit.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dilaporkan memberi komitmennya bahawa keperluan biofuel akan diperluas pada 2020.

Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata aliran menaik di pasaran tempatan juga disokong oleh jangkaan pengeluaran yang lebih rendah berikutan tempoh monsun bermusim.

“Kami mengesan sokongan seterusnya pada RM2,850 setan dan ketahanan pada RM2,950,” katanya.

Pada penutupan, kontrak niaga hadapan MSM bagi Januari 2020 menambah RM44 kepada RM2,897 setan, Februari 2020 menambah RM46 kepada RM2,915 setan, manakala Mac 2020 menokok RM38 kepada RM2,912 setan dan April 2020 meningkat RM35 kepada RM2,892 setan.

Jumlah dagangan bagaimanapun merosot kepada 37,426 lot berbanding 49,986 lot semalam dan minat terbuka merosot kepada 277,451 kontrak berbanding 286,974 kontrak sebelumnya.

Di pasaran fizikal, Disember selatan meningkat kepada RM2,950 setan berbanding RM2,900 setan pada Khamis.

-- BERNAMA