http://www.astroawani.com/berita-malaysia/isu-minyak-sawit-kita-anggap-ini-jihad-melawan-persepsi-negatif-shamsul-iskandar-196228
Sumber: Astroawani.com | Firdaus Azil, Astro Awani | Januari 17, 2019 15:13 MYT

PUTRAJAYA : Kerajaan Malaysia bertegas tidak akan membiarkan negara ini terus diperbudak-budakkan oleh sesetengah negara dari Kesatuan Eropah (EU) dalam hal berkaitan industri minyak sawit negara, kata Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md Akin.

Beliau berkata, Malaysia tegas akan memperjuangkan komoditi itu kerana ia merupakan antara hasil utama negara, serta melibatkan ramai pekerja di negara ini.

“Kita anggap ini jihad melawan negative perception(persepsi negatif), dan kita tak lawan tanpa parameter jelas. Kita telah beri penjelasan kepada masyarakat, kepada pengguna bahawa minyak sawit keluaran negara ini sihat dan sebagainya, malah kita pun sedang rancak mengatur misi perdagangan ke negara yang ada potensi pemasaran.

"Saya percaya Tun (perdana menteri) telah punyai strategi yang dirancang, dan tentunya ia bermula dengan surat, bagi menjelaskan pendirian Malaysia,” katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini," katanya lagi.

Beliau ditemui pemberita selepas selesai merasmikan Seminar Semakan dan Unjuran Ekonomi Minyak Kelapa Sawit hari ini.

Semalam Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menghantar satu surat bantahan kepada Presiden Perancis, Emmanuel Macron sebagai membantah keputusan negara itu tidak mengiktiraf minyak sawit sebagai sumber penghasilan biodiesel.

Keputusan Perancis yang ditentukan dalam bajetnya pada Disember 2018 turut akan menghentikan insentif cukai bagi minyak sawit menjelang tahun 2020.

Sementara itu, Shamsul Iskandar, yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, kerajaan turut kesal dengan kenyataan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menyamakan pemasaran minyak kelapa sawit sama dengan tembakau dan alkohol.

“Kita merasa terkesan dengan kenyataan tersebut, because it’s not true. WHO tidak meneliti kajian yang telah dibuat kerana sebagai badan dunia, saya fikir WHO perlu lebih profesional dengan ambil kira dan kaji semua kajian yang menunjukkan bagaimana minyak sawit kita sihat.

“Mengenai perkara ini sudah tentu kita akan guna kesemua saluran yang ada untuk mendesak WHO perbetulkan laporan yang dibuat,” katanya lagi.